Pages

Ads 468x60px

Thursday, February 23, 2006

NST diberi tiga hari tunjuk sebab

BH-23/2/2006

KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) diberi tempoh tiga hari mulai semalam untuk mengemukakan tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap akhbar terbitannya, New Straits Times (NST), berhubung penyiaran lakaran kartun yang mengaitkan isu karikatur mempersenda Nabi Muhammad SAW.

Perkara itu dinyatakan dalam surat ditandatangani Setiausaha Bahagian Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Abdul Rahim Mohd Radzi, yang diserahkan kepada Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, di pejabat KKDN, Putrajaya, semalam.

Sebelum itu, Hishamuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar, dipanggil memberi penjelasan kepada Ketua Setiausaha KKDN, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof.

Kartun itu yang disiarkan NST Isnin lalu dan sekali lagi semalam, tidak mengandungi karikatur Rasulullah tetapi memaparkan seorang pelukis duduk bersebelahan satu papan notis bertulis Caricatures of Muhammad While You Wait.

Berikutan itu, beberapa badan bukan kerajaan dan Pas membuat laporan polis mengenai penyiaran kartun itu.

Sebelum ini, permit penerbitan akhbar tertua di Sarawak, Sarawak Tribune, digantung serta merta pada 9 Februari lalu kerana menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW yang disiarkan sebuah akhbar Denmark sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Penerbitan edisi petang akhbar berbahasa Cina, Guang Ming Daily, turut digantung dua minggu mulai 16 Februari kerana menerbitkan gambar orang membaca akhbar yang menunjukkan karikatur itu.

Di JITRA, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata kementerian itu sudah memanggil Ketua Pengarang serta pengarang akhbar berkenaan semalam bagi menjelaskan isu penyiaran kartun itu.

Beliau berkata, hasil siasatan terhadap penjelasan itu akan diserahkan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik saja Perdana Menteri pulang dari Perth, Australia.

"Keputusan sama ada permit akhbar NST akan digantung atau ditarik balik terpulang kepada penjelasan ketua pengarang serta pengarang akhbar berkenaan dan laporan yang dibuat pegawai kami,� katanya selepas Majlis Penyerahan Wang Ihsan kepada pesawah mangsa banjir di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) 2 Jitra.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text