Datuk Seri ada hubungan yang baik dengan NGO. Selepas ini, bagaimana?
SHAHRIZAT: Saya ada hubungan yang baik dengan semua NGO wanita termasuk Sisters In Islam. Dari hari pertama saya menjawat jawatan ini saya bekerjasama dengan mereka sebab saya asalnya dari NGO juga.
Saya tidak bimbang sekiranya saya terpaksa berbeza pendapat dengan NGO. We always agree to disagree. Malah sebagai seorang yang terlatih dalam bidang guaman, itulah pendedahan dan pengalaman saya. Ini perkara biasa. Bagaimanapun saya perlu bertegas dan tidak boleh membiarkan saja sekiranya perbezaan pendapat itu akan memudaratkan.
Apakah episod ini akan menjejaskan hubungan baik Datuk Seri dengan NGO?
SHAHRIZAT: Saya tidak nampak akan ada masalah kerana mereka pun terdiri daripada orang yang berpendidikan tinggi, dan saya kenal mereka baik. Kita hanya bertentangan pendapat secara profesional, tidak ada masalah. Saya tidak simpan dalam hati. Malah saya percaya pada masa akan datang akan ada lagi isu-isu yang kerajaan mungkin tidak bersetuju dengan NGO.
Kami membangkitkan hal ini kerana masih banyak lagi isu wanita yang belum selesai. Adalah sesuatu yang malang sekiranya episod ini mencacatkan hubungan yang baik.
SHAHRIZAT: Mana-mana pihak, baik agensi kerajaan mahupun NGO, tidak boleh berkecil hati. Kita mesti profesional dan bersikap matang. Kita tidak mahu mana-mana pihak memencilkan diri atau berkecil hati.
Saya dan kementerian akan terus bekerjasama dengan semua pihak termasuk JAG (Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak mengenai Persamaan Gender). Mereka profesional, saya juga profesional. NGO telah membuat kenyataan tegas, dan ini masanya untuk saya membuat kenyataan tegas saya.
Cuma saya mengambil sedikit masa kerana saya mahu mendengar pandangan semua pihak, tidak mahu tergopoh-gapah. Malah kerajaan juga tidak mensia-siakan pandangan NGO itu. Kita mendengar semua pandangan tetapi pada akhirnya, tidak kira pandangan siapa, kalau ia betul kita akan terima.
Wanita rata-ratanya berpendidikan tinggi. Tetapi apabila kontroversi ini timbul mereka jadi panik, tertanya-tanya hak mereka dan takut untuk bersuara.
SHAHRIZAT: Apabila bercakap tentang hukum syarak kita semua berhati-hati. Saya sendiri pun amat berhati-hati sebab saya tidak mahu mengingkari syariah. Oleh kerana ilmu dan pembelajaran kita mengenai syariah tidak mendalam, kita tidak berani. Itu juga sebabnya kenapa ramai wanita tidak berani bersuara mengatakan ini betul, ini tidak betul, ini mengikut hukum, ini tidak, walaupun berpendidikan tinggi. Mereka rasa lebih baik hal-hal ini diserahkan kepada alim ulama.
Itu sebabnya kita mesti empower alim ulama supaya mereka bukan saja berilmu tetapi juga mampu untuk menentukan pentafsiran syariah itu mengikut semangat zamannya. Hukum Allah itu tidak berubah, cuma untuk menentukan penggunaannya mengikut zaman kita perlu kepada ijtihad alim ulama. Di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh alim ulama supaya undang-undang yang kita buat itu adil dan saksama.
Saya akui ada NGO yang berani menyuarakan pendapat mereka. Kepada saya, kita boleh dengar suara mereka tetapi selepas itu kerajaan yang akan membuat keputusan dengan mengambil kira juga pandangan alim ulama. Ini bukan bermakna tidak ada sesiapa yang tidak boleh memberikan pandangan mereka.
Kenapa selama ini suara NGO kedengaran lebih lantang dalam isu ini berbanding pakar-pakar syariah mahupun kerajaan sendiri?
SHAHRIZAT: Suara NGO selalunya diberikan perhatian kerana mereka mempunyai kerja-kerja advocacy yang kuat. Mereka tidak ada sekatan untuk menjelaskan apa saja isu berbanding dengan kerajaan yang ada komitmen tertentu, ada protokol dan etika sebagai sebuah kerajaan. Tetapi saya tidak melihat ini sebagai satu masalah, asal saja semua pihak tahu batasan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Perbezaan pendapat antara kerajaan dan NGO ini bukanlah satu masalah.
Kerajaan sudah mendapat maklum balas yang baik daripada kontroversi ini. Oleh kerana kerajaan ada komitmen kepada Majlis Raja-Raja (yang telah bersetuju kepada penyeragaman undang-undang keluarga Islam pada tahun 2001), maka kita luluskan juga undang-undang itu. Bagaimanapun pada masa yang sama kita bersetuju untuk membetulkan kekaburan yang ada secepat mungkin.
Apakah yang kita boleh belajar daripada episod ini?
SHAHRIZAT: Masanya sudah tiba untuk kita menformalkan komuniti syariah yang sekarang dipengerusikan oleh Peguam Negara. Kita harus melibatkan semua pihak, daripada alim ulama, pakar-pakar, pensyarah, NGO dan orang perseorangan. Sekiranya kita berhadapan dengan apa-apa isu syariah, kita boleh berbincang dan berbahas dan akhirnya mencapai keputusan yang bijaksana.
No comments:
Post a Comment