DATUK SERI SHAHRIZAT ABDUL JALIL.
Mukadimah
DATUK Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak sedikit pun berselindung tentang apa yang dirasakannya mengenai kontroversi yang berbangkit daripada pindaan terhadap Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (UUKI), baru-baru ini.
``Saya sangat sedih kerana orang salah faham tentang manfaat dan kebaikannya. Ia tidak zalim seperti yang digambarkan,'' kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dalam satu wawancara di pejabatnya, pagi Jumaat lalu.
Tegasnya, adalah sesuatu yang tidak masuk akal sekiranya ada orang yang beranggapan bahawa kerajaan sengaja mahu menzalimi wanita Islam melalui undang-undang ini.
``Kita hendak menjaga kebajikan mereka sebenarnya,'' kata beliau kepada wartawan NORAINI ABDUL RAZAK dan NOOR AZAM SHAIRI.
Sehari sebelum itu, Shahrizat memberikan sidang akhbar bersama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menjelaskan hal yang sama.
Dalam wawancara ini, Shahrizat menjawab beberapa hal lain yang mungkin berbangkit ekoran penjelasannya itu, terutamanya tentang hubungannya dengan NGO selepas ini.
``Saya sedia untuk tidak popular asalkan (pandangan saya) selaras dengan syariah,'' katanya.
MINGGUAN: Kenapa ambil masa dua bulan untuk jelaskan isu ini?
SHAHRIZAT: Saya harus mengikut protokol kerajaan dan membiarkan menteri bertanggungjawab (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Mohd. Zain) menjelaskannya. Saya tidak ada kebebasan penuh untuk buat apa-apa kenyataan kerana undang-undang ini bukan di bawah naungan kementerian saya.
Bagaimanapun, kementerian saya terlibat dalam tidak kurang daripada enam mesyuarat besar mengenai isu ini. Dalam semua mesyuarat itu, kita menyuarakan kebimbangan-kebimbangan NGO.
Saya tahu dua bulan itu bukan masanya untuk saya bercakap terlalu banyak tetapi sebaliknya mendengar pendapat semua pihak. Selain pendapat NGO, saya juga mendengar pandangan pakar-pakar syariah.
Selepas pulang dari Mekah (kerana menunaikan haji), saya rasa tidak boleh lagi berdiam diri kerana isu ini melibatkan hal-ehwal wanita dan keluarga. Saya pun mendapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri untuk mengadakan sidang akhbar itu.
Apakah pemerhatian Datuk Seri tentang tempoh dua bulan itu?
SHAHRIZAT: Saya nampak jelas bahawa ada kontroversi tentang matlamat undang-undang itu. Saya sangat sedih kerana dalam kita membincangkan kekeliruan itu hampir tidak ada orang yang menjelaskan tentang manfaat dan kebaikannya. Semua orang bercakap tentang lima isu itu saja.
Saya sedih kerana kalau kita tidak berjaga-jaga, imej, martabat dan maruah undang-undang syariah akan dihakis. Kita seolah-olah terlupa bahawa ia telah digubal oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang dipengerusikan oleh Datuk Sheikh Ghazali, Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah. Mereka yang duduk dalam jawatankuasa ini bukan calang-calang orangnya.
Datuk Seri hendak beritahu undang-undang ini telah dihalusi oleh pakar-pakar syariah?
SHAHRIZAT: Ya. Saya khuatir kalau kita tidak hormat pandangan dan pendapat alim ulama mengenai tafsiran undang-undang Islam maka akan wujud kecelaruan dalam masyarakat mengenai hukum syarak. Itu yang paling saya bimbang.
Walaupun orang ada idea masing-masing mengenai undang-undang syariah tetapi pada akhirnya kita harus mendapatkan kata putus alim ulama. Ini asasnya. Kalau kita tidak berpegang kepada asas ini kita akhirnya akan menghakiskan kepercayaan kepada alim ulama. Mereka akan dipandang rendah dan tidak dihormati.
Saya masih menghormati alim ulama di negara ini. Saya bimbang dalam kebebasan kita memberikan pandangan, kita akhirnya akan mengetepikan institusi-institusi termasuk alim ulama yang ada kepakaran dan diiktiraf oleh kerajaan.
Tetapi dalam tempoh itu persepsi umum telah dibentuk bahawa undang-undang ini salah.
SHAHRIZAT: Saya faham tetapi kepada pakar undang-undang Islam, hal-hal yang dibangkitkan itu tidak pun melanggar hukum syarak. Masalahnya ialah tentang penggubalan - apa perkataan yang digunakan, di mana tanda koma dan sebagainya - tetapi isi kandungan undang-undangnya selaras dengan syariah.
Masalah pentafsiran ini sesuatu yang biasa; orang ini kata begini, orang itu kata begitu. Itulah yang kita lihat di mahkamah - peguam-peguam berbahas tentang pentafsiran undang-undang. Perbezaan pandangan itu bagaimanapun tidak menjadikan keseluruhan undang-undang itu salah. Ini adalah soal pentafsiran, bukannya hukum.
Apakah kebaikan undang-undang yang mungkin orang tidak tahu atau terkeliru?
SHAHRIZAT: Ketidakseragaman undang-undang keluarga Islam antara negeri-negeri selama ini telah memberi peluang kepada pihak suami yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengelakkan diri daripada terikat dengan perintah Mahkamah Syariah.
Sebagai contoh, sekiranya permohonan untuk berpoligami ditolak oleh mahkamah di sebuah negeri, pemohon boleh membuat permohonan di mahkamah di negeri yang lain kerana undang-undangnya tidak seragam. Dalam soal nafkah pun begitu juga. Perintah nafkah yang diberikan oleh Mahkamah Syariah tidak dapat dikuatkuasakan terhadap suami yang berpindah ke negeri yang lain.
Selain itu, wujud ketidakseragaman dalam mentafsirkan undang-undang keluarga Islam antara negeri-negeri. Hal ini menimbulkan pelbagai kerumitan dan kesamaran terutamanya berkenaan dengan hak-hak isteri. Pendekatan yang diambil oleh Mahkamah Syariah dalam mentadbirkan Undang-Undang Keluarga Islam juga berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain yang boleh menimbulkan ketidakcekapan dalam mengendalikan kes-kes kekeluargaan.
Masanya sudah tiba bagi kita mempunyai undang-undang keluarga Islam yang tunggal dan terpakai di seluruh negara. Ini adalah langkah yang perlu diambil ke arah mengkodifikasi dan menyeragamkan Undang-Undang Islam di negara ini.
Isu-isu ini bagaimanapun tidak ada sesiapa yang bercakap mengenainya.
Orang tidak dapat elak untuk kata kenyataan Datuk Seri sekarang berbeza dengan yang sebelum ini.
SHAHRIZAT: Apabila NGO datang mengemukakan memorandumnya kepada saya sebelum ini, KPWK sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab melihatnya dengan serius. Kami kemukakan isu-isu yang dibangkitkan itu kepada Perdana Menteri dan Jakim. Kalau saya tidak buat begitu maka saya tidak bertanggungjawab.
Saya hanya menyampaikan maklum balas. Kita mendengar pandangan semua pihak, yang menyokong dan yang membantah, dan akhirnya apabila kita perlu membuat keputusan, kita buat keputusan. (Tempoh dua bulan) ini adalah perjalanannya.
Saya juga menghadiri banyak mesyuarat, berbincang dengan pakar-pakar syariah, pejabat Peguam Negara dan Jakim. Saya menimbangkan pandangan kedua-dua belah pihak dan, antara pendapat NGO dengan pandangan ahli-ahli syariah dan alim ulama, saya memilih pandangan mereka yang pakar serta Peguam Negara yang mewakili kerajaan.
Adakah apa yang berlaku dalam tempoh dua bulan ini boleh dilihat sebagai konflik antara golongan yang liberal dan konservatif?
SHAHRIZAT: Ya, mungkin. Saya nampak salah satu daripada sebab kontroversi ini tercetus ialah pemikiran, pentafsiran dan penterjemahan syariah yang dibuat mengikut cara masing-masing. Mereka yang liberal dengan cara yang liberal, yang konservatif dengan cara yang konservatif - yang lain-lain tersepit di tengah-tengah. Tetapi jangan kita jadikan ini seolah-olah tidak ada jalan keluar. Perdana Menteri menyatakan bahawa memang dalam agenda beliau akan ada beberapa perubahan untuk kebaikan semua dan kita mengalu-alukannya.
Perbezaan pentafsiran adalah sesuatu yang lumrah dalam bidang perundangan. Peguam boleh berhujah 1,001 malam tentang satu perkataan dan tidak ada penyelesaian. Itu sebabnya kita ada hakim. Cuma saya khuatir tafsiran yang berbeza yang hangat diperkatakan dalam kontroversi ini memberikan pandangan yang negatif. Saya sedih kerana ada orang percaya kerajaan mahu menzalimi wanita (melalui undang-undang ini).
Apakah betul kerajaan mahu menzalimi wanita? Takkanlah begitu. Kerajaan sudah banyak memperjuangkan hak wanita. Cuba tengok, apa yang wanita di negara ini tidak boleh buat berbanding wanita di negara lain. Ada sesetengah negara lain undang-undang di atas kertas nampak cantik tetapi nasib wanitanya begitu malang sekali. Ada undang-undang tetapi tidak ada pembelaan.
Apakah harapan Datuk Seri sekarang?
SHAHRIZAT: Saya berharap isu ini selesai. We have to move forward. Saya hendak jelaskan juga bahawa kementerian membuat pandangan begini (bersetuju dengan undang-undang itu) kerana ia mematuhi hukum syarak.
Saya boleh membuat kenyataan yang popular di kalangan wanita tetapi ia mungkin tidak betul; sekiranya ia melanggar hukum syarak, saya tidak mahu. Saya lebih bersedia membuat kenyataan tidak popular ini asalkan ia selaras dengan hukum syarak. Kepada saya, apa-apa sekalipun undang-undang syariah itu nombor satu.
Saya hormat pendapat NGO, dan berharap mereka juga hormat pandangan saya. Saya berharap kementerian akan mendapat kerjasama yang biasa daripada NGO kerana kita masih ada banyak lagi isu yang belum selesai.
Saya juga berharap kumpulan pakar syariah boleh tampil berkongsi ilmu mereka dengan masyarakat, menjelaskan isu-isu yang timbul. Mereka harus lebih proaktif. Kita harus ingat bahawa semua orang harus ada keberanian untuk bersuara. Siapa yang berani bersuara, merekalah yang mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat. Kalau kita hanya berdiam diri dan tidak ada usaha untuk berkongsi pandangan, pendapat kita tidak akan dipedulikan.
No comments:
Post a Comment