UM-27/2/2006
Mukadimah
Wanita Malaysia mungkin antara yang paling bernasib baik berbanding wanita di negara-negara lain di dunia. Mereka menikmati kebebasan dan persamaan taraf hampir dalam semua bidang – pendidikan, pekerjaan, ekonomi dan sosial.
Ironinya, dalam isu berkaitan perkahwinan, rumah tangga dan kekeluargaan, wanita masih digambarkan sebagai golongan yang teraniaya, tertindas dan didiskriminasi.
Malah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang telah diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini, yang bertujuan menyeragamkan Undang-Undang Keluarga Islam antara negeri di Malaysia, turut menimbulkan keresahan di kalangan wanita berikutan dakwaan sesetengah pihak bahawa pindaan undang-undang tersebut menganiayai dan menzalimi wanita.
Sedangkan matlamat asal menyeragamkan Undang-Undang Keluarga Islam itu adalah untuk lebih memudah dan menghapuskan segala kekeliruan yang selama ini berlaku disebabkan tiadanya keseragaman antara negeri.
Wartawan SITI ZALEHA JORIMAI menemu bual Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim yang berpengalaman berpuluh tahun dalam memperjuangkan dan menangani isu-isu berkaitan kepentingan golongan wanita di negara ini.
Kamilia mempunyai pandangan tersendiri mengenai mengapa wanita masih merasakan diri mereka teraniaya dan dizalimi dalam isu-isu berkaitan rumah tangga.
Wanita di Malaysia telah memperoleh segala-galanya, tetapi mengapa masih ada gambaran bahawa wanita teraniaya terutama apabila berlaku masalah rumah tangga?
Kamilia: Memang wanita kita telah memperoleh kebebasan yang mereka perjuangkan. Mereka bebas bekerja, mencari kekayaan, mencari pasangan hidup, bergerak aktif dalam politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Pendek kata, tidak ada sekatan diskriminasi. Bahkan, kalau mereka rajin bekerja, mereka boleh meraih apa saja pangkat yang mereka mahu. Sekarang ini sudah wujud pilihan di mana wanita boleh memilih sama ada untuk maju dalam kerjaya atau sebaliknya.
Persoalannya, mengapa masih lagi kita nampak wanita belum bebas dan terus dibelenggu dengan masalah domestik atau rumah tangga.
Apabila berlaku masalah dalam perkahwinan, wanita masih merasakan mereka menjadi pihak yang tertindas dan nasib mereka tidak dibela. Mereka menjadi mangsa suami yang tidak mahu membayar nafkah, suami berpoligami dan sebagainya.
Atau, mungkinkah wanita masih menganggap dirinya teraniaya walhal sebenarnya tidak. Ataupun masalah itu secara realitinya memang wujud dan wanita tidak boleh lari daripadanya.
Saya rasa mungkin itulah jawapannya. Secara realitinya, masalah masih wujud dan mengikat wanita disebabkan rasa tanggungjawab wanita yang tinggi terhadap dirinya sebagai seorang isteri dan ibu.
Saya rasa itulah yang menyebabkan apabila ada masalah rumah tangga dan keluarga, wanita akan rasa tertekan kerana berasa mereka perlu membela anak-anak dan membela institusi perkahwinan.
Sebenarnya, secara logik kalau suami boleh lepas tangan, wanita juga boleh lepas tangan. Tetapi wanita memilih untuk tidak berbuat demikian kerana rasa tanggungjawabnya yang tinggi.
Wanita berbeza dengan lelaki atau suami. Apabila menceraikan isteri atau berpoligami, suami merasakan isteri dan anak-anak bukan tanggungjawab mereka lagi. Wanita mengambil masalah anak-anak sebagai tanggungjawab mereka.
Adakah maknanya wanita sememangnya tidak mempunyai pilihan kecuali memikul tanggungjawab tersebut?
Seperti yang saya kata tadi wanita sebenarnya ada pilihan kalau dia mahu. Dia boleh kata, “kalau suami boleh kahwin lain dan tidak pedulikan anak, saya juga boleh buat demikian.’’
Tetapi kalau dia ada anak, hati seorang ibu tidak akan sampai ke tahap itu. Wanita tidak akan mengatakan dia mempunyai pilihan untuk meninggalkan keluarganya.
Justeru, wanita ada dan boleh membuat pilihan, tetapi dia tidak akan membuat pilihan itu sebab dia berasa bertanggungjawab.
Sebab itu walaupun wanita berbangga dengan kebebasan dan kesaksamaan yang mereka peroleh dalam pelbagai perkara, tetapi mereka masih terperangkap dengan masalah kekeluargaan kerana mereka memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi.
Bagi lelaki, mereka tidak nampak perkara itu. Bagi mereka, apabila sudah bercerai maka sudah lepas tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.
Bukankah kita mempunyai undang-undang dan mahkamah yang membolehkan wanita mendapatkan keadilan?
Memang, kita sekarang ada undang-undang yang menyebut dengan jelas apa dia hak serta tanggungjawab wanita dan lelaki. Mahkamah pun sudah banyak memperkenalkan peraturan-peraturan yang membolehkan kita mendapatkan hak kita, tetapi persoalannya adakah itu yang dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu wanita.
Itu hanya cara-cara yang boleh kita rujuk apabila sudah timbul masalah untuk memudahkan keadaan. Kita jarang melihat apa yang berlaku di sebalik sesuatu masalah itu. Contohnya, dalam perceraian dan poligami.
Apa yang kita lihat adalah secara zahir tentang nafkah, harta sepencarian dan sebagainya, tetapi bagaimana pula dari segi emosinya, perasaan sebagai wanita yang diceraikan dan kepedihan apabila suami berkahwin dengan wanita lain. Bagaimana pula perasaan ibu melihat anaknya mengalami tekanan akibat perceraian ibu bapa dan sebagainya.
Perkara yang kita tidak nampak ini sukar untuk diukur.
Adakah kita perlu mengubah pendekatan dengan melihat kepada akar umbi permasalahan tersebut?
Mungkin juga. Mengapa masalah wujud. Contohnya, poligami dan perceraian. Selama ini apabila kita bercakap mengenai isu ini, kita fokus kepada wanita dengan menggambarkan wanita teraniaya tidak mendapat pembelaan dan sebagainya.
Mengapa tidak sekarang kita pergi pada lelaki jika mereka yang menjadi punca masalah. Adakah seorang bapa apabila dia meninggalkan keluarganya dan mengetahui keluarganya itu porak peranda boleh membina satu lagi keluarga yang bahagia. Saya tidak fikir boleh. Sedikit sebanyak dia pasti akan berasa bersalah.
Kita mungkin boleh tanya mengapa dia buat sebegitu, apakah kesannya terhadap diri mereka dan apa tindakan mereka.
Mungkin lelaki ini perlu diberi kaunseling supaya lebih bersikap bertanggungjawab kepada keluarga dan masalah yang telah ditimbulkan.
Mengapa lelaki menjadikan dirinya masalah kepada wanita dan keluarganya, sedangkan sepatutnya mereka menjadi pembimbing, mendisiplin dan mendidik keluarga. Perkara ini yang kita tidak pernah sentuh.
Apakah pendekatan terbaik dalam menangani isu-isu domestik?
Pendekatan baru yang ada sepatutnya memberi kesedaran tentang isu-isu keluarga sebagai sebuah institusi yang perlu dibina dan diperkukuhkan. Selain itu, perjanjian perkahwinan adalah perjanjian yang sangat berat yang perlu dipatuhi dan bukan sesuatu yang boleh dipermudahkan, walaupun dalam undang-undang terdapat peruntukan untuk mereka memohon cerai.
Satu lagi aspek ialah pendekatan yang diberi mestilah seimbang. Jangan memfokus kepada wanita saja, sebaliknya fokus juga pada lelaki. Kita perlu mencari pendekatan-pendekatan baru yang boleh melihat kepada punca permasalahan dalam lingkungan rumah tangga.
Apakah pandangan anda mengenai Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang menjadi pertikaian baru-baru ini?
Ada empat perkara yang dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu, iaitu poligami, hak mendapat harta sepencarian apabila berpoligami, hak fasakh kepada suami dan hak untuk mendapat injunksi pembekuan pada harta sekiranya berlaku perceraian.
Matlamat utama pindaan ini adalah untuk menyelaraskan peruntukan-peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dengan sembilan lagi negeri-negeri di Malaysia yang telah menerima peruntukan-peruntukan itu.
Matlamat tersebut adalah satu matlamat yang baik sebab bila kita tidak selaras ia boleh menimbulkan banyak masalah dan kekeliruan.
Saya juga berpendapat bahawa peruntukan ini memberi keadilan kepada suami dan isteri yang menghadapi masalah sama ada perceraian atau poligami. Malah, kalau dikaji dengan teliti ia lebih menguntungkan wanita untuk mendapat harta sepencarian mereka apabila suami berpoligami.
Peruntukan ini perlu dibaca dan difahami dengan teliti. Apa yang harus kita ingat adalah Islam memberi keadilan kepada wanita dan lelaki. Dalam Islam keadilan itu untuk semua.
Monday, February 27, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment