Malah, mesyuarat Jabatan Peguam Negara dengan pakar syariah merumuskan peruntukan membabitkan isu harta sepencarian yang menimbulkan kemarahan wanita, tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menegaskan undang-undang itu adalah yang terbaik dalam memelihara hak dan kepentingan wanita berbanding di negara Islam lain.
Beliau berkata, kontroversi yang ditimbulkan pertubuhan wanita terhadap undang-undang itu berbangkit kerana salah faham mengenai beberapa peruntukan dalam akta berkenaan.
Katanya, kebanyakan masalah yang dibangkitkan itu lebih berpunca daripada tafsiran tidak tepat serta pelaksanaan Undang-undang Keluarga Islam oleh Mahkamah Syariah.
"Misalnya dalam isu harta sepencarian, ramai wanita marah apabila mereka menyangka peruntukan mengenai harta sepencarian akan menyebabkan mereka kehilangan atau terpaksa membahagikan harta pusaka, harta persendirian dan juga hibah (hadiah) kepunyaan isteri apabila suami berkahwin lain.
"Sebenarnya sangkaan itu tidak benar kerana berdasarkan rumusan mesyuarat yang diadakan Peguam Negara dengan pakar syariah, peruntukan itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.
"Tafsiran harta sepencarian tidak membabitkan harta pusaka, harta sepencarian dan hibah," katanya pada sidang media khas bagi menjelaskan kekeliruan mengenai akta itu di pejabatnya, semalam.
Hadir sama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Peguam Cara Negara, Puan Seri Zaiton Zawiyah.
Undang-undang yang diluluskan Parlimen Disember lalu ditangguhkan pelaksanaannya pada 11 Januari lalu atas arahan Kabinet supaya ia dikaji semula berikutan kontroversi kerana dikatakan menindas wanita.
Shahrizat berkata, Jabatan Peguam Negara kini berbincang dengan pelbagai pihak untuk meminda beberapa peruntukan dalam akta itu supaya lebih jelas bagi mengelak salah tafsir dan salah faham berpanjangan serta menegakkan integriti dan kesucian syariah.
Beliau berkata, pindaan berkenaan dibuat selaras dengan keputusan Kabinet menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu.
"Semua pihak termasuk pertubuhan wanita dinasihatkan berbincang dan bermuzakarah bagi mencari pendekatan terbaik demi menjaga kepentingan dan hak wanita.
"Bagi pihak kementerian, saya akan memberi ruang seluas-luasnya untuk menyalurkan idea dan pendapat yang boleh memperkemaskan undang-undang ini sebelum dikemukakan kepada kerajaan," katanya.
Sementara itu, Abdul Gani berkata, pihaknya akan meneliti peruntukan itu secepat mungkin supaya dapat dibawa semula ke Parlimen untuk diluluskan.
Katanya, hal membabitkan pindaan undang-undang akan mengambil sedikit masa dan semua pihak perlu bersabar.
Ditanya sama ada tindakan meminda semula akta yang sudah dipinda itu salah dari segi prosedurnya, beliau berkata: "Apa yang kita lakukan mengikut prosedur. Saya tidak nampak apa-apa yang salah dalam pindaan ini."
Beliau mengakui undang-undang itu sudah diwartakan sebaik saja Parlimen meluluskannya pada Disember tahun lalu, tetapi kerajaan mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaannya.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
No comments:
Post a Comment