Pages

Ads 468x60px

Tuesday, February 14, 2006

Adik Lelaki Zanariah Patut Dibenar Jadi Wali - Mufti

UM Online 14/2/2006
KUALA LUMPUR 13 Feb. - Kontroversi `perpisahan' (farakh) di antara Zanariah Abdullah, 24, dan Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin, 24, tidak akan berlaku jika Pejabat Agama Daerah Muar membenarkan adik lelaki pengantin perempuan, Mohd. Shafiq, menjadi wali.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, dengan ketiadaan abangnya, Mohd. Bahauldeen, 25, yang kerap belayar ke luar negara, Zanariah patut dibenarkan berwalikan adiknya yang berusia 19 tahun ketika itu.

Katanya, kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan paling utama dilakukan oleh pejabat agama daerah itu.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, pendaftar nikah atau jurunikah sepatutnya mengutamakan adik lelakinya sebagai wali, bukan wali hakim.

``Sekalipun kedua-duanya (abang dan adik lelaki) berada pada majlis itu, sesiapapun boleh menjadi wali kerana taraf mereka sama.

``Cuma adat orang Melayu mengutamakan saudara yang paling tua,'' ujarnya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka hadapan akhbar ini yang menyiarkan polemik pasangan muda itu selepas mereka diarahkan `berpisah' pada 2 Februari lalu setelah lebih setahun melangsungkan perkahwinan.

Ini ekoran pernikahan mereka pada 5 Februari tahun lalu diisytihar tidak sah oleh Mufti Johor, Datuk Noh Gadut kerana berlaku kekhilafan pada urusan pernikahan yang berwalikan hakim walhal adik lelakinya masih hidup.

Harussani berkata, Zanariah tidak perlu menghubungi abangnya di luar negara jika jaraknya melebihi dua marhalah (90 kilometer).

Pendapat mengutamakan `wali mujdir' mengikut kronologi turut disokong oleh seorang Pensyarah Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Menurutnya, jika bapa perempuan meninggal dunia, keutamaan wali perlu diberikan kepada datuk atau bapa kepada datuk.

``Kemudian ia turun kepada saudara lelaki iaitu abang ke bawah diikuti peringkat ketiga iaitu bapa saudara sebelah bapa, sebelum beralih kepada wali hakim sebagai penyelesaian terakhir,'' ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Peguam-Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Profesor Madya Noor Awang Hamat berkata, pejabat agama perlu menjelaskan kepada orang awam berhubung syarat-syarat penggunaan wali hakim.

Beliau berkata, antaranya termasuk penggunaannya dibolehkan apabila saudara lelaki yang ada tidak cukup umur, gila atau gagal dihubungi.

Selain itu katanya, pengantin perempuan yang ahli keluarganya enggan menjadi wali tanpa sebab-sebab yang munasabah dibenarkan menggunakan wali hakim.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text