Pages

Ads 468x60px

Sunday, February 05, 2006

``Seragamkan dulu undang-undang syariah''

Rencana- UM-5/2/2006
 
Mukadimah

TUMPUAN masyarakat kepada dua kes melibatkan isu status agama serta kontroversi pindaan ke atas Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang berbangkit baru-baru ini secara tidak langsung mencetuskan perbincangan mengenai kewibawaan Mahkamah Syariah.

Orang mengulang-ulang pandangan yang lama bahawa institusi kehakiman itu dilihat sebagai mahkamah kelas kedua, kalau dibandingkan dengan Mahkamah Sivil. Pandangan itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh banyak orang termasuk para peguam syarie dan ahli akademik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mohd. Zain juga tidak bersetuju dengan pandangan yang negatif itu. Katanya, pandangan-pandangan tersebut timbul kerana orang tidak mendapat maklumat yang betul mengenai institusi kehakiman itu.

``Kita perlu memberikan masa untuk memantapkan Mahkamah Syariah,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan SAIFULIZAM MOHAMAD, baru-baru ini.

Abdullah mengingatkan tentang Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang masih agak muda, ditubuhkan tidak sampai 10 tahun lalu.

Wawancara ini adalah komen panjang lebar menyeluruh Abdullah sejak isu-isu ini tercetus beberapa minggu lalu. Sepanjang wawancara itu beberapa orang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) duduk bersama mengelilingi beliau.

Sungguhpun diajak berbual dengan lebih mendalam mengenai isu-isu dan cadangan-cadangan yang berbangkit dalam tempoh beberapa minggu ini, Abdullah nyata agak keberatan.

``Tidak usahlah kita mengeruhkan keadaan,'' katanya.

Beliau juga beberapa kali menegaskan bahawa apa yang harus diberikan tumpuan sekarang ialah untuk memastikan penyeragaman undang-undang Islam terlaksana seperti yang dicita-citakan oleh kerajaan.

MINGGUAN: Apakah yang boleh dipelajari daripada episod ini?

ABDULLAH: Ini semua ada kaitan dengan undang-undang Islam secara keseluruhan, termasuk kedudukan mahkamah syariah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Dakwaan sesetengah pihak bahawa Mahkamah Syariah tidak ada tempat untuk orang bukan Islam terbukti tidak betul kerana itu tidak berlaku dalam kes Nyonya Tahir. Kes itu malah memihak kepada warisnya yang bukan Islam.

Ini menunjukkan bahawa mahkamah memutuskan berdasarkan bukti. Tetapi masalahnya orang mempunyai pandangan yang prejudis menganggap Mahkamah Syariah sebagai mahkamah kelas dua, tidak menjalan tugas dengan baik dan sebagainya.

Kepada saya, kes Nyonya Tahir itu menunjukkan keadilan dalam Islam. Apa yang berlaku ini menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah juga mempunyai wibawa.

Kenapa orang ada pandangan bahawa ini mahkamah kelas kedua?

ABDULLAH: Itu pandangan orang, saya tidak boleh hendak marah. Mereka membuat pandangan itu mungkin kerana tidak mendapat maklumat yang betul.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), saya ditanya soalan di Parlimen mengenai banyaknya kes-kes yang tertunggak di Mahkamah Syariah. Tetapi apabila saya check tiada banyak kes tertunggak, serupa juga dengan Mahkamah Sivil.

Kes tertunggak itu kita takrifkan sebagai sesuatu kes yang tidak diusik walaupun selepas setahun ia dikemukakan untuk mendapat keadilan. Sebenarnya angka kes-kes yang semacam itu serupa saja dengan (Mahkamah Sivil) yang lain, cuma apa yang menjadi perhatian ialah kes-kes yang apabila dibicarakan memakan masa yang panjang kadang-kadang sampai tiga bulan, enam bulan atau setahun.

Ini sesuatu yang biasa di mahkamah. Saya percaya tanggapan seperti ini mungkin timbul kerana ada kes sebelum ini yang diberikan tumpuan oleh media. Tetapi kepada saya apa yang berlaku ini adalah sesuatu yang biasa.

JKSM ditubuhkan pada tahun 1998 untuk menyeragamkan pentadbiran undang-undang syariah. Ia masih baru, belum sampai 10 tahun pun. Kita perlu memberikannya masa untuk memantapkan mahkamah syariah, dan penyeragaman undang-undang syariah itu adalah sesuatu yang sangat mustahak.

Kenapa susah sangat hendak menyeragamkan undang-undang ini, sedang ia telah diluluskan oleh Majlis Raja-Raja?

ABDULLAH: Setakat ini sembilan buah negeri telah meluluskan undang-undang keluarga yang seragam di Dewan Undangan Negeri masing-masing telah menguatkuasakannya.

Kepada saya, ini adalah satu kejayaan besar dalam usaha penyeragaman. Saya tidak memandang negatif negeri-negeri yang belum melulus atau menguatkuasakannya kerana mereka tentu akan mengikut kemudian.

Apa yang paling penting dalam penyeragaman ini selepas ini ialah undang-undang pentadbiran Islam yang menyentuh soal penguatkuasaan saman atau perintah mahkamah antara negeri-negeri.

Ini isu yang selalu ditimbulkan: Kenapa tidak boleh dikuatkuasakan perintah mahkamah?

ABDULLAH: Saya sedar tentang ini. Saya tahu orang selalu bertanya kenapa saman atau perintah mahkamah tidak diendahkan. Hal ini berlaku kerana kita tidak ada perintah bersaling di antara satu negeri dengan satu negeri yang lain.

Apabila ada penyeragaman nanti, insya-Allah, saman dan perintah mahkamah itu akan menjadi lebih kuat. Ini membolehkan kita menyelesaikan masalah orang Islam dengan lebih mudah.

Sekarang ini katakan sebuah kes perceraian dibicarakan di Wilayah Persekutuan dan apabila ada perintah-perintah dikeluarkan, pihak yang berkenaan boleh lari ke negeri lain. Tetapi apabila ada penyeragaman nanti kalau mereka lari ke negeri lain pun, ia masih boleh dikuatkuasakan, jadi tidaklah `mewah' seperti dulu.

Apakah tiadanya penyeragaman itu menyebabkan orang menganggap Mahkamah Syariah ini mahkamah kelas kedua?

ABDULLAH: Itu mungkin salah satu sebabnya kerana orang merasakan tidak ada keseragaman antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Sekarang ini katakan sesuatu kes itu sedang dibicarakan di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan misalnya, orang boleh pergi ke Selangor dan bercakap kuat (mengkritik) kes itu. Ini kerana mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa ke atas negeri lain, hanya negeri itu saja.

Itu sebabnya penyeragaman ini adalah sesuatu yang sangat penting untuk kepentingan pentadbiran undang-undang Islam di negara ini. Itu sebabnya kita perlukan kuasa untuk melaksanakan perintah bersaling, supaya apa yang diputuskan oleh mahkamah di sesebuah negeri masih boleh dikuatkuasakan di negeri lain.

Dalam pada itu, sekarang ini pun tujuh buah negeri sudah menerima pakai guna sama pegawai syariah. Apa yang dilaksanakan oleh JKSM untuk Wilayah Persekutuan sudah diikuti.

Saya meminta kita berilah sedikit masa lagi; ia (JKSM) baru tidak sampai 10 tahun. Masa untuk memantapkan Mahkamah Syariah itu masih ada, dengan kekalnya Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi dalam pada itu pun, kita akan mengusahakan proses pemantapan ini secepat mungkin. Saya hendak juga mengingatkan bahawa proses ini sentiasa berjalan dari masa ke masa.

Tanggapan negatif terhadap Mahkamah Syariah ini, kepada saya, adalah sesuatu yang bersifat sementara. Apabila ada penyeragaman nanti kita boleh menguatkuasakan perintah-perintah mahkamah, dan ini tentunya akan meningkatkan maruah Mahkamah Syariah.

Penyeragaman ini adalah untuk memberikan imej yang baik kepada pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang syariah.

Adakah orang faham hasrat itu? Kalau kita lihat sekarang ini ada pihak yang semacam cuba menentang penyeragaman.

ABDULLAH: Saya tidak mahu berpolemik panjang dalam hal ini. Hal ini sedang cuba kita selesaikan. Saya tidak mahu nanti kita berpolemik semula.

Saya menghormati semua pandangan, mungkin ada pandangan-pandangan itu yang baik.

Orang lebih takut kepada perintah majistret berbanding hakim syarie. Kenapa?

ABDULLAH: Ini memerlukan masa, seperti yang saya katakan tadi. Pentadbiran agama Islam adalah urusan negeri. Ini realitinya, dan Kerajaan persekutuan sedar tentang perkara ini.

Kita jangan lupa bahawa usaha untuk membetulkan keadaan ini sudah lama. Ia bermula dengan penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Malah sejarah Jakim itu sendiri bermula daripada hanya sebuah unit kecil yang kemudiannya menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) dan akhirnya Jakim.

Sekarang orang sudah memberi kepercayaan kepada Jakim yang diakui sebagai `gergasi' walaupun tidak ada kuasa yang besar. Gergasi itu maksud saya dari segi pengalaman dan kebaikan-kebaikan yang dilakukannya selama ini.

Kita tidak usahlah bercakap tentang kelemahan. Kita harus melihat bahawa proses untuk memantapkan pentadbiran undang-undang Islam ini baru saja bermula pada tahun 1998.

Saya baru menubuhkan sebuah jabatan baru iaitu Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji. Kita baru mengorak langkah. Ini adalah atas permintaan Perdana Menteri. Ini adalah sebahagian daripada usaha penyeragaman. Kita bukan hendak mengambil kuasa negeri. Kita hanya mahu menyeragamkannya saja.

Ini bukan hendak mengambil kuasa negeri?

ABDULLAH: Kita langsung tidak berhasrat untuk berbuat demikian. Kita hanya hendak menyelaraskan selepas daripada penyeragaman undang-undang itu. Pada peringkat ini kita akan terus menjadikan pentadbiran Islam di Wilayah Persekutuan sebagai contoh terbaik kepada negeri-negeri.

Sebagai misalan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mempunyai Pusat Pungutan Zakat dan baru-baru ini kita memperoleh kutipan RM126.7 juta. Negeri-negeri lain pun hendak belajar daripadanya.

Zakat ini selalu dikaitkan dengan kemiskinan atau mualaf tetapi zaman telah berubah dan wang yang kita kutip juga mencecah jutaan ringgit. Kita sekarang menawarkan biasiswa kepada anak-anak yang layak. Kita mahu menyelesaikan masalah kecemerlangan pendidikan. Ini masalah ummah. Melalui wang zakat itu juga kita boleh membantu umat Islam yang ditimpa kesusahan, termasuk kebakaran dan bencana alam.

Apa yang saya mahu tekankan ialah kita sudah mengorak langkah ke hadapan dalam soal pentadbiran Islam, dan pentadbiran Mahkamah Syariah juga begitu. Kita sentiasa berusaha untuk memartabatkannya. Kita tidak boleh buat sekali gus tetapi kita akan cuba sedaya upaya.

Ada cadangan untuk mewujudkan satu kelompok hakim yang mana jika berlaku satu-satu kes di sesebuah negeri mereka akan pergi ke negeri tersebut. Ia bertujuan untuk memastikan keputusan konsisten dan hukuman yang dikenakan itu konsisten. Apa yang dimaksudkan ada hakim yang arif di dalam bidang mal, begitu juga ada hakim yang arif di dalam bidang keluarga.

ABDULLAH: Saya suka memberitahu hakim Mahkamah Rayuan adalah di bawah negeri namun begitu kita juga ada di sini beberapa hakim Mahkamah Rayuan yang dilantik oleh negeri-negeri yang bukan negeri asal mereka. Ada juga negeri yang tidak melantik hakim Mahkamah Rayuan ini kerana mereka mempunyai hakim mereka sendiri seperti Johor.

Dalam hal ini kita cuba menyiapkan prasarana dan juga dari segi kelengkapan-kelengkapan dan jika hakim-hakim ini dikehendaki kita sedia membantu. Sebagai contoh Ketua Pengarah JKSM Yang Amat Arif Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman juga merupakan Hakim Mahkamah Rayuan di beberapa negeri tertentu. Beliau dilantik kerana kuasa masih di peringkat negeri.

Apa yang kita rancangkan ini berkait rapat dengan soal penyeragaman.

Apakah perkembangan draf Rang Undang-Undang Peguam Syarie untuk penubuhan Majlis Peguam Syarie?

ABDULLAH: Keutamaan saya sekarang ialah menyelesaikan soal penyeragaman undang-undang dahulu. Selepas itu barulah kita menuju ke arah itu.

Penyeragaman ini sepatutnya telah diselesaikan hujung tahun lalu, mengikut tarikh penetapan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Islam (MKI) yang lalu. Tetapi nampaknya kita terpaksa melanjutkan tarikh itu ke beberapa bulan lagi.

Fasa pertama kita ialah untuk menyeragamkan undang-undang Islam di negara ini dan setelah segala-galanya selesai barulah kita bergerak ke hal-hal yang lain pula. Kita perlu menyegerakan penyeragaman ini supaya pentadbiran Islam tersusun dan profesional.

Ada cadangan supaya ditubuhkan satu suruhanjaya untuk pembaharuan undang-undang Islam di negara ini?

ABDULLAH: Perjuangan kita sekarang ialah penyeragaman.

Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini mencadangkan supaya skop bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu diperluaskan, termasuk mengadili kes-kes perbankan Islam dan takaful. Ini sebahagian daripada usaha untuk memantapkan martabat Mahkamah Syariah.

ABDULLAH: Agenda utama saya sekarang ialah penyeragaman undang-undang. Kita telah mengusahakan penyeragaman ini sejak tahun 2002 lagi dan sehingga kini telah mencapai hasil menggalakkan.

Saya terbuka dengan apa saja cadangan. Tetapi keutamaan saya sekarang ialah penyeragaman.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text