UM-13/2/2006
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Persoalan siapa betul dan siapa salah berhubung isu Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 tidak harus timbul, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Katanya, sekiranya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merasakan kenyataan beliau sebelum ini salah, mereka juga sebenarnya beranggapan bahawa tafsiran yang dibuat oleh Peguam Negara, ulama, Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) juga adalah salah.
``Jangan timbulkan banyak polemik. Sebenarnya ia hanya masalah tafsiran. Tetapi ini adalah lumrah sekiranya terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan saya sebelum ini,'' katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pasar tani mega di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini yang dilakukan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Shahrizat yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) yang tidak berpuas hati dengan pendirian beliau berhubung isu tersebut yang disifatkan bercanggah dengan pendirian asal.
JAG melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Shahrizat pada Khamis lepas bahawa bahawa undang-undang itu tidak menzalimi wanita sedangkan sebelum itu beliau turut meragui undang-undang tersebut.
Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang diluluskan Parlimen pada 22 Disember lepas mendapat pelbagai reaksi daripada pertubuhan wanita yang khuatir didiskriminasi apabila undang-undang itu dilaksanakan.
Kontroversi yang tercetus menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kemudiannya mengarahkan Peguam Negara menyelesaikan isu tersebut dengan mendapatkan pandangan NGO dalam usaha menambahbaikan undang-undang berkenaan. - Bernama
No comments:
Post a Comment