Setiausaha Biro Agama UMNO, Datuk Othman Desa berkata, ketegasan yang ditunjukkan oleh Shahrizat itu menjadi penamat kepada segala kekeliruan, konflik dan kontroversi yang berlaku sebelum ini.
``Saya amat berharap selepas ini tiada lagi mana-mana pihak yang cuba mengelirukan masyarakat Islam dengan berlandaskan fakta-fakta yang tidak benar.
``Bagi saya usaha pihak seumpama ini bukan sahaja mengelirukan masyarakat Islam malah masyarakat bukan Islam turut terkeliru,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Shahrizat bahawa peruntukan undang-undang tersebut menepati hukum syarak dan tidak menindas atau menzalimi golongan wanita.
Sehubungan itu, Shahrizat mahu supaya kontroversi mengenai akta tersebut dihentikan kerana ia akan menjejaskan martabat dan maruah syariah serta agama Islam itu sendiri.
Shahrizat turut memberi amaran keras kepada kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu supaya tidak memperlekehkan kesucian undang-undang syariah di negara ini dengan memberi gambaran kononnya akta itu zalim.
Othman berkata, semua pihak harus sedar bahawa usaha untuk memperkenalkan undang-undang berkaitan hukum Islam digubal oleh pakar yang mahir dan berpengalaman.
Beliau berkata, pakar-pakar terbabit terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk mereka yang mahir dalam bidang wanita.
``Dalam Islam kebajikan wanita menjadi satu keutamaan. Islam tidak pernah mengenepikan hak golongan ini. Oleh itu asas undang-undang Islam berkaitan dengan apa jua aspek mengambil kira kepentingan wanita.
``Perlaksanaan undang-undang ini juga dilakukan secara sistematik dan berlandaskan hukum syarak yang sahih. Oleh itu tidak seharusnya ia dipertikaikan,'' tambahnya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, peruntukan undang-undang itu sejajar dengan konsep Islam Hadhari yang menjadi asas kepada pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
``Di dalam sepuluh perkara Islam Hadhari menjaga salah satunya ialah menjaga kepentingan wanita,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment