Pages

Ads 468x60px

Friday, February 03, 2006

Enakmen Hudud Mampu Bendung Gejala Murtad - Peguam

Fri | Feb 03, 06 | 06:22:22 PM Oleh Mazlan Jusoh

RANTAU PANJANG, 3 Feb (Harakah) – Biar pun mempunyai kuasa penuh, namun kerajaan Persekutuan tidak serius mengubal undang-undang bagi membendung gejala murtad. Namun di Kelantan keadaan sebaliknya berlaku apabila ada undang-undang khas digubal mengenainya.

Kesalahan itu terkandung Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) atau dikenali juga sebagai hudud, diluluskan pada persidangan DUN Kelantan pada 1993. Enakmen hudud menetapkan secara jelas hukuman bagi penganut Islam yang murtad (riddah atau irtidad).

Fasal 23, Bahagian 1 bagi kesalahan-kesalahan hudud menyebut sesiapa yang disabitkan melakukan kesalahan irtidad, hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya dikehendaki oleh mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia didapati salah.

Perkara 4 fasal itu menjelaskan sekiranya dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya terhadap perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka mahkamah hendaklah mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya dan memerintah supaya hartanya sama ada diperolehi sebelum atau selepas dia melakukan kesalahan hendaklah dirampas untuk dipegang bagi keperluan Baitul Mal.

Seorang peguam, Nordin Noor berkata, enakmen hudud diluluskan di Kelantan adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kes-kes murtad. Bagaimanapun malangnya ia tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat keizinan kerajaan Persekutuan.

“Kelantan telah lama berusaha bagi menyelesaikan masalah tersebut. Lagi pun kes murtad dilaporkan serius di Wilayah Persekutuan sekarang, difahamkan terdapat sebanyak 20 permohonan menukar agama di kalangan orang Melayu dibuat setiap hari.

“Malah setakat tahun 2000 difahamkan terdapat lebih 5,000 permohonan orang Islam mahu menukar agama di negeri terbabit. Namun tidak ada orang yang mahu mengambil berat mengenainya.

“Sepatutnya Perdana Menteri yang menjaja Islam Hadhari berusaha mengatasi masalah itu secara serius,” katanya pada ceramah isu semasa di Markaz PAS Rantau Panjang, malam tadi.

Isu murtad kembali diperkatakan apabila seorang nenek, Nyonya Tahir yang meninggal dunia baru-baru ini disahkan murtad setelah berkahwin dengan lelaki Cina dan meninggalkan ajaran Islam sejak sekian lama.

Nordin turut mencadangkan kerajaan Kelantan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula Undang-undang Keluarga Islam di negeri ini untuk menjelaskan secara terperinci setiap isu.

Kata beliau, dokumen undang-undang yang ada sekarang harus dikembangkan dengan mentafsirkan secara lebih terperinci setiap isu berkaitan.

“Kita sebenarnya mempunyai ramai pakar undang-undang yang boleh dilibatkan dengan jawatankuasa itu antaranya Prof Dr Aziz Bari, peguam Haji Sulaiman Abdullah, Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Mohamed Daud.

“Jawatankuasa itu akan mentafsirkan setiap bab berkaitan Undang-undang Keluarga Islam. Biar pun negeri lain belum melakukannya, Kelantan seharusnya boleh mencetus usaha ke arah itu,” katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text