Pages

Ads 468x60px

Saturday, February 04, 2006

Rang Undang-Undang Keluarga Islam Dibentang Mac 2006

UM 4/2/2006

PUTRAJAYA 3 Feb. - Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang ditangguhkan pewartaannya ekoran kontroversi peruntukan yang didakwa menindas wanita, akan dibentang semula dengan input-input baru pada sidang Dewan Rakyat bermula 13 Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, rang undang-undang itu akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin, selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama.

``Sebelum pembentangan itu diadakan, beliau akan mendapatkan input-input daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang bertanggungjawab terhadap hal wanita.

``Dalam masa yang sama Shahrizat juga perlu menemui sultan-sultan untuk mendapatkan kebenaran bagi membolehkan Rang Undang-Undang Keluarga Islam diselaraskan di semua negeri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Nazri, biarpun undang-undang itu telah diluluskan pada 22 Disember tahun lalu namun atas kuasa kerajaan, ia boleh ditangguhkan sehingga pindaan terhadapnya dilakukan.

Kabinet pada 11 Januari lalu menangguhkan pewartaan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) Pindaan 2005 yang menimbulkan kontroversi kerana dikatakan menindas wanita.

Penangguhan pewartaan undang-undang itu dilakukan setelah mengambil kira dua nota, masing-masing daripada Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, walaupun rang undang-undang itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail untuk mendapat perkenan Seri Paduka.

Sehubungan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kedua-dua nota itu diteliti dan dibincangkan sebelum dikemukakan semula kepada Kabinet.

Sementara Shahrizat pula dilaporkan akan membuat pengumuman mengenai isu pewartaan undang-undang tersebut pada 9 Februari ini.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text