Pages

Ads 468x60px

Wednesday, March 01, 2006

Edisi Nasional: Tiada niat cerai (Cerai SMS)

Edisi Nasional: Tiada niat cerai
Oleh Mohd Razlan Salleh


KUALA LUMPUR: “SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) itu tidak membawa maksud apa-apa dan tidak berniat untuk menceraikan isteri saya,” kata Fareez, suami kepada penyanyi lagu irama tradisional popular tanah air, Noraniza Idris, ketika memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.

Fareez atau nama sebenarnya Mohammad Fauzi Ahmad Tajuddin, 43, mengakui ada menghantar SMS kepada isterinya tetapi ia dilakukan dalam keadaan marah.

Ketika ditanya Hakim Syarie Shamsuddin Hussin sama ada defendan memang berniat mahu bercerai dengan isterinya, Fareez berkata, dia tidak mempunyai niat apa-apa.

HAKIM: Masa kamu menulis SMS itu, memang kamu tidak berniat langsung untuk bercerai dengan plaintif?

FAREEZ: Tidak, Yang Arif.

HAKIM: Ada kamu membaca SMS itu?

FAREEZ: Saya tulis dan terus hantar kepada plaintif.

HAKIM: Maksud saya, adakah kamu menulis dan membacanya dengan suara?

FAREEZ: Tidak.

HAKIM: Kamu pasti tidak membacanya semasa atau selepas menulis SMS itu?

FAREEZ: Tidak.

HAKIM: Pasti kamu tidak membacanya?

FAREEZ: Pasti.

Terdahulu, penyanyi lagu irama tradisional popular tanah air, Noraniza membuat permohonan pengesahan lafaz cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, pada 16 Disember lalu selepas hampir 17 tahun mendirikan rumah tangga.

Pengesahan lafaz cerai itu dibuat berikutan penyanyi lagu irama tradisional itu mendakwa menerima mesej melalui SMS daripada Fareez yang didakwanya membawa maksud menjatuhkan talak.

Walaupun SMS itu tidak menyatakan secara terperinci dia diceraikan, Noraniza merujuk perkara berkenaan kepada mahkamah bagi mendapatkan pengesahan sama ada mereka masih sah sebagai suami isteri atau sebaliknya.

Noraniza atau nama sebenarnya Nor Aniza Idris, 38, yang hadir di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dengan baju kurung serba coklat itu diwakili peguam Syarie, Zuri Zabuddin Budiman.

Ketika ditanya peguam plaintif sama ada defendan faham apa yang ditulis, dia mendakwa tidak faham dan berulang kali memberitahu berada dalam keadaan marah.

ZURI: Adakah kamu faham apa yang ditulis dalam SMS itu?

FAREEZ: Tidak faham kerana saya dalam keadaan marah ketika itu.

ZURI: Kamu tulis guna bahasa apa?

FAREEZ: Ada bahasa Malaysia dan ada juga bahasa Inggeris. Campur-campur.

ZURI: Adakah dengan menghantar SMS itu kepada plaintif, ia menunjukkan bahawa kamu sedang marah ketika itu?

FAREEZ: Saya tidak fikir macam itu.

ZURI: Kamu menaip SMS itu dalam keadaan amat marah?

FAREEZ: Ya.

ZURI: Jadi, SMS itu dihantar dengan niat memarahi isteri kamu?

FAREEZ: Bukan marah, mahu mengajar sebenarnya.

ZURI: SMS berbunyi “...Jadi aku lepaskan engkau...” yang kamu itu adalah untuk mengajar plaintif?

FAREEZ: Ya.

ZURI: Apakah maksud SMS “...Jadi aku lepaskan engkau...’ dan ‘Macam adik kau Nor dgn (dengan) Rizal, Uda dgn K.Zie...kau dengan aku bercerai...berai...” itu? Apa terjadi dengan mereka ini?

FAREEZ: Bercerai.

ZURI: Uda dan K.Zie?

FAREEZ: Meninggal dunia.

ZURI: Semasa kamu taip mesej ini, kamu faham apa yang kamu taip?

FAREEZ: Saya faham.

ZURI: Bermakna kamu berada dalam keadaan sedar?

FAREEZ: Ya.

Mahkamah menetapkan 4 April depan tarikh keputusan pengesahan lafaz cerai yang dibuat oleh penyanyi popular itu dan mengarahkan kedua-dua pihak menyerahkan hujahan bertulis selewat-lewatnya seminggu dari tarikh keputusan dibacakan.

Sementara itu, Noraniza yang ditemui di luar mahkamah, berkata hubungan antara dia dan Fareez masih baik dan sentiasa berhubung antara satu sama lain.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text