Oleh: SUNARTI KIBAT (Wartawan Utusan)20/3/2006
Keadilan dan kesaksamaan menjadi asas utama dalam merangka strategi dan membuat dasar perundingan antarabangsa berhubung undang-undang keluarga Islam.
Pembentang-pembentang kertas kerja di majlis diskusi `International Consultation on Trends in Family Law Reform in Islamic Countries,' anjuran Sisters In Islam (SIS) sepakat menyatakan kedua-dua faktor itu mampu mewujudkan kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga Islam di peringkat global walaupun berbeza budaya dan latar belakang.
Menurut Pengarah Eksekutif SIS, Zainah Anwar berkata, keadilan patut menjadi garis panduan utama dalam menentukan penggubalan undang-undang keluarga Islam.
Sehubungan itu, beliau menyokong arahan Kabinet supaya dikaji semula pindaan berikutan kontroversi dikatakan menindas wanita.
Sebelum ini, Kabinet mengarahkan supaya penggubalan terhadap Undang-Undang Keluarga Islam ditangguh pelaksanaannya kerana timbul rasa tidak puas hati ke atas nasib kaum wanita yang didapati akan terus tertindas dengan peruntukan-peruntukan sedia ada.
SIS adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang lantang bersuara supaya penggubalan itu mesti mengambil kira mengenai penindasan yang dilakukan oleh lelaki terhadap wanita dan kanak-kanak serta dilema wanita Islam Malaysia ketika berhadap dengan poligami.
Menurut Zainah lagi, jika pelaksanaan undang-undang itu tidak membawa kepada keadilan terutama kepada golongan wanita, ia akan menghilangkan keyakinan terhadap hukum Islam yang sedia ada.
Katanya, kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan syariah di Malaysia boleh terhakis dan hilang.
``Saya berasa hairan, kenapa orang yang menyatakan mahukan undang-undang syariah dan sayangkan umat Islam, tetapi menggubal undang-undang yang membawa ketidakadilan?'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui dalam sesi perbincangan tertutup antara SIS dan pakar-pakar agama dari pelbagai negara.
Zainah berpuas hati dengan perkembangan terakhir berhubung pindaan tersebut kerana aspek keadilan tidak diketepikan.
Pengasas dan Pengarah Yayasan Rahima, Jakarta, Husein Muhammad berkata, setiap perjuangan membela nasib umat Islam yang mengandungi keadilan dan kesaksamaan sepatutnya disokong tanpa ragu-ragu lagi walaupun pengisiannya tidak disebut di dalam al-Quran dan hadis.
Ini adalah sesuai dengan anjuran Islam sendiri yang membenarkan dan menyuruh umatnya berijtihad (mengkaji Ilmu Islam) apabila berhadapan dengan isu-isu yang memerlukan penyelesaian yang lebih sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa serta tempat.
Ulama Ibu-Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya At-Thurugul Hukmiyyah Fissiyasah Assyariyyah pernah menyebutkan ``Di mana ada keadilan di situlah ada hukum Allah dan di mana ada kemaslahatan (kebaikan) di situ ada hukum Allah.''
Ketika ditanya mengenai pelaksanaan Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Pindaan 2005, yang dikatakan menindas wanita , Husein berkata, ia tidak sepatutnya menjadi perbalahan antara kelompok umat Islam di Malaysia.
Katanya lagi, tidak perlu juga menuduh orang Islam lain tidak betul jika terdapat perbezaan pendapat kerana selagi undang-undang yang ingin diubah itu ada unsur-unsur keadilan dan kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta yang bukan Islam ia patut diterima.
``Ini juga bersesuaian dengan pendapat Imam Shafie yang menyatakan pendapatnya benar tetapi mungkin keliru. Dan pendapat orang lain keliru tetapi mungkin benar,'' katanya.
Husein memberitahu, perjuangan wanita untuk memperoleh keadilan atas hak-hak kemanusiaan terus menghadapi halangan kerana terdapat perbezaan pandangan dalam agama Islam.
Beliau berkata, sehingga kini pendapat arus perdana yang dipakai untuk mentafsir, menilai dan menghasilkan pengetahuan adalah hujah keagamaan `tekstual' yang dihasilkan ketika zaman ketandusan dan kebuntuan pemikiran Islam pada abad Pertengahan.
Katanya, bersetuju dengan pemahaman tekstual akan menyebabkan umat Islam berhadapan dengan sejumlah besar teks-teks al-Quran yang menjunjung tinggi keadilan dan moral kemanusiaan.
Amina Lemrini El Ouahabi pakar kitab-kitab lama Islam dari Maghribi, menyifatkan undang-undang keluarga Islam di negaranya adalah contoh terbaik dalam menjamin keadilan dan kesaksamaan kepada wanita Islam khususnya dalam pelaksanaan poligami.
Beliau berkata, di negaranya perkahwinan, poligami dan cerai hanya boleh dilakukan melalui undang-undang iaitu mesti mendapat kelulusan mahkamah terlebih dahulu.
Katanya, lelaki yang mahu berpoligami mesti terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada hakim atau kadi dan kegagalan melakukannya akan menyebabkan perkahwinan kali kedua, ketiga atau keempat akan dianggap haram atau tidak sah untuk selama-lamanya.
``Begitu juga dengan penceraian ia hanya sah jika dilakukan di mahkamah. Penceraian di luar mahkamah walaupun dilafaz berulang-ulang kali ia dianggap sebagai tidak sah dan tidak pernah berlaku,'' katanya.
Beliau berkata, sejak undang-undang itu dilaksanakan, poligami boleh dianggap tidak berlaku sama sekali dan kadar penceraian semakin berkurangan.
Dalam soal poligami lagi, kata Amina, ia sukar mendapat kelulusan di negaranya kerana konsep keadilan bukan sahaja diukur daripada aspek material semata-mata tetapi meliputi semua aspek.
``Lelaki yang tidak boleh berlaku adil dalam memberikan layanan kasih sayang dan hubungan kelamin di antara isteri-isterinya tidak layak berpoligami,'' katanya.
No comments:
Post a Comment