Pages

Ads 468x60px

Thursday, March 23, 2006

Puji sikap hormat kadi terhadap keluarga saudara baru

Puji sikap hormat kadi terhadap keluarga saudara baru

PADA 8 Mac 2006, saya menghadiri satu majlis pernikahan seorang sahabat di Jabatan Agama Islam Daerah Seremban.

Sahabat saya ini adalah seorang saudara baru, bermastautin di Selangor dan pasangannya berasal dari Terengganu.

Majlis turut dihadiri ibu bapa pengantin perempuan dan saudara-maranya yang berketurunan Tionghua dan beragama Buddha.

Apa yang ingin saya nyatakan ialah sikap kadi yang menikahkan pasangan itu. Cara beliau memohon izin daripada ayah pengantin perempuan untuk menikahkan pasangan juga jelas menunjukkan rasa hormat beliau walaupun bapa pengantin beragama lain.

Beliau bukan saja menumpukan kepada rukun pernikahan, malah turut memberi nasihat kepada pengantin lelaki tentang tanggungjawabnya membimbing seorang saudara baru di hadapan keluarga pengantin perempuan tersebut.

Pada pengamatan saya, sinar mata ibu bapa pengantin perempuan itu menunjukkan mereka amat berpuas hati dan terharu dengan apa yang disampaikan oleh kadi ini.

Cara penyampaian dan amanat yang diberikan amat meyakinkan keluarga pengantin perempuan dalam melepaskan anak mereka kepada seorang lelaki yang beragama Islam.

Sesungguhnya kata-kata yang ditekankan oleh kadi bahawa hubungan kekeluargaan tidak akan putus walau anak mereka telah memeluk agama Islam, memang memberi kesan yang mendalam kepada keluarga berkenaan.

Di samping itu juga kadi memberi peluang kepada pasangan pengantin dan keluarga untuk bersanding dan bergambar sepuas-puasnya di dalam bilik beliau.

Sikap beliau amat tidak saya duga kerana di luar berderet lagi pasangan yang perlu dinikahkan. Saya percaya hati semua hadirin turut tersentuh.

Sehubungan ini, saya sebagai sahabat pengantin perempuan, mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada Jabatan Agama Islam Daerah Seremban khasnya kepada Abdul Manas Md. Isa dan semua kakitangan bahagian pernikahan.

- NORIZAH OTHMAN @ SAFFAR,

Nilai, Negeri Sembilan.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text