HULU SELANGOR - Kerajaan sedang dalam perancangan untuk menaik taraf
Mahkamah Syariah daripada tiga peringkat sekarang kepada lima peringkat,
kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata proses itu membabitkan pertambahan dua lagi peringkat iaitu Rayuan dan Majlis Rayuan Syariah.
"Ketika ini terdapat tiga peringkat iaitu Mahkamah Syariah Rendah,
Pertengahan dan Tinggi. Jadi kami mahu naik tarafnya supaya sama dengan
Mahkahmah Sivil," katanya pada sidang akhbar edia selepas merasmikan
Retreat Pegawai Masjid Seluruh Wilayah Persekutuan Imam Muda Qaryah
(IMQ) di Kalumpang di sini.
Jamil berkata bagi tujuan itu, beberapa siri pertemuan sedang
dijalankan dengan semua Raja-Raja dan Majlis Agama Negeri di seluruh
negara bagi mendapat perkenan dan persetujuan.
"Hanya tinggal dua negeri lagi, dan selepas selesai dan mendapat
persetujuan dari semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak, perkara ini
akan di bawa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja," katanya.
Sementara itu, Jamil berkata semua pendakwah dan penceramah perlu
bertanggungjawab terhadap cara penyampaian mereka bagi memastikan niat
untuk menyampaikan dakwah tidak tersasar.
Beliau berkata tidak dinafikan ada sesetengah penceramah yang mempunyai
pengikut terutama daripada kalangan orang muda yang menerima cara
penyampaian mereka.
Jamil berkata demikian ketika ditanya cara penyampaian sesetengah
penceramah yang gemar menggunakan kata kasar seperti bodoh dan
seolah-olah menjatuhkan individu serta pihak tertentu ketika berceramah.
"Kita kena sentiasa ingat dan contohi Rasulullah yang menggunakan bahasa dan adab ketika berceramah.
"Malah kita juga harap pengikut yang ramai tertarik pada dakwah bukan sebaliknya," katanya. - Bernama
sumber: Sinar Harian
26 Jun 2012
No comments:
Post a Comment