Pages

Ads 468x60px

Tuesday, April 04, 2006

Saksi Terkejut Bekas Ustazah Mengaku Murtad


UM - 4/3/2006

KUALA TERENGGANU 3 April - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini bahawa bekas ustazah, Kamariah Ali mengaku telah keluar Islam kerana hendak mengelak diri daripada disabitkan dengan ajaran sesat Ayah Pin.

Malah, Pegawai Penguat Kuasa Syariah Kuala Terengganu, Yusof Salleh mengakui terkejut apabila Kamariah membuat pendedahan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya ketika didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Besut, 21 Julai tahun lalu.

Beliau yang merupakan saksi pertama pendakwa berkata, ketika itu tertuduh bersama 29 tertuduh lain yang kesemuanya wanita dihadapkan ke mahkamah tersebut mengikut Seksyen 10, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Bekas ustazah itu, katanya, mengaku murtad selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh pembantu mahkamah, Salahudin Embong yang juga saksi ketiga pendakwa di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek.

``Setelah pegawai mahkamah bertanyakan kepadanya, adakah dia mengaku bersalah atas tuduhan yang didakwa, tertuduh mengaku tidak salah serta ingin dibicarakan dan mengaku sudah keluar Islam,'' katanya.

Yusof berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah pada perbicaraan pengikut ajaran sesat Ayah Pin di sini.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Mohamad Abdullah, manakala tertuduh diwakili oleh Sa'adiah Din.

Kamariah, seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Ayah Pin, didakwa mengikut Seksyen 7 Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengaku bukan Islam bagi mengelakkan tindakan diambil ke atasnya.

Bekas ustazah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir itu dituduh membuat kenyataan keluar daripada Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Sidek kira-kira pukul 12.50 tengah hari pada 21 Julai 2005 di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.

Mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Yusof berkata, tertuduh mengaku keluar Islam setelah seorang lagi tertuduh warga New Zealand, Judith Lilian Mcdonald, telah digugurkan kes pendakwaan ke atasnya oleh mahkaman selepas mengaku bukan beragama Islam dan mendakwa menganut Kristian sejak kecil.

Ketika ditanya Mustafar sama ada Yusof ingat apa yang diucapkan tertuduh ketika itu, beliau berkata, Kamariah membuat pengakuan tersebut dalam loghat Kelantan `'Sayo telah kelue Isle'' (Saya telah keluar Islam).

Sementara itu, pembantu syariah, Abdul Rahman Abdullah, 40, selaku saksi pendakwa keempat pendakwa, memberitahu bahawa terdapat rekod yang dicatatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut mengenai kenyataan Kamariah yang sudah keluar daripada Islam sebelum itu.

Hakim Mohammad menetapkan 13 Jun ini untuk mendengar penggulungan hujah bagi peguam tertuduh dan 20 Jun bagi pihak pendakwa.


No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text