Pages

Ads 468x60px

Tuesday, April 11, 2006

Masalah Ketika Berkomunikasi Dan Cara Mengatasinya - Bahagian 2

Antara masalah ketika berkomunikasi ialah:

 

1. Minda yang tidak stabil

2. Pelupa

3. Spontan

4. Gagal untuk membaca pemikiran orang lain

5. Pengaruh emosi

6. Sukar mencari perkataan yang sesuai

7. Persepsi berbeza

8. Kurang menumpukan perhatian pada perbualan

9. Tidak memberikan penjelasan yang baik

10. Gagal bertanya soalan yang kreatif

11. Tidak mengucapkan terima kasih atau menunjukkan penghargaan

 

Masalah 2: Pelupa

 

Sikap pelupa merupakan satu sifat yang susah untuk dikikis. Sikap ini banyak menimbulkan masalah kepada kita kerana 'terlupa' melakukan sesuatu yang penting itu adalah sangat membahayakan terutama sekali di alam persekolahan. Anda mungkin selalu terlupa apa-apa yang sedang diperkatakan oleh guru kepada anda. Ataupun pengurus anda telah mengarahkan anda membuat sesuatu tugasan, tetapi sedang dia bercakap, anda merasakan yang anda tidak ingat perkara yang diperkatakannya mula-mula tadi.

 

Contoh kes:

 

         Anisah bekerja sebagai seorang setiausaha kepada pengurus besar di sebuah syarikat swasta. Pada suatu hari, Anisah kerap dipanggil oleh bosnya melalui intercom. Dia pun bergegas ke bilik bosnya.

 

         "Anisah, drafkan satu surat kepada Kementerian Kesihatan dan tanya mereka tentang status permohonan kita. Dah lebih sebulan ni, belum ada berita. Selepas itu, kamu suruh driver balik awal hari ini sebab saya tidak perlukan dia untuk ke tempat mesyuarat malam ini. Saya akan drive sendiri," kata bos Anisah.

 

         Anisah hanya mengangguk dan terus keluar. Setelah sampai ke tempatnya, Anisah lupa apa-apa yang dicakapkan oleh bosnya dan dia berasa keliru, "Nak tulis surat kepada driver ke, siapa ni… apa nak cakap ha?" Anisah panik. Dia tentu dimarahi lagi sekiranya dia bertanya sekali lagi.

 

 

Sifat pelupa seperti ini memang mendatangkan banyak masalah dan boleh memberi kesan buruk kepada karier anda. Antaranya:

 

1.      Anda terlupa apa-apa yang diucapkan oleh orang lain sejurus selepas tamat perbualan.

 

2.      Anda juga mudah terlupa apa-apa yang ingin anda katakan.

 

3.      Anda terlalu menumpukan fikiran dengan soalan yang ingin anda utarakan sehingga anda hilang tumpuan pada perbualan tersebut dan kesudahannya anda menjawab soalan lain yang tidak relevan dengan topik sebenar.

 

4.      Anda suka mencelah dan menyampuk apabila orang lain sedang bercakap kerana anda tidak  mahu terlupa untuk memberitahu perkara yang ada dalam fikiran anda.

 

         Perkara sebegini tidak boleh dianggap remeh kerana akan memberikan kesan negatif terhadap personaliti anda. Anda akan dilabel sebagai penyampuk, kurang ajar dan ingin mengawal perbualan. Walaupun perkara ini tidak anda sengajakan, tidak semua orang akan faham situasi yang anda hadapi.

 

 

Cara Mengatasinya

 

1.      Ambil nota semasa anda berbual. Menulis sambil mendengar akan membantu anda supaya dapat mengingati dengan baik.

 

2.      Cuba elakkan tempat yang ramai orang sekiranya anda ingin berbual atau berbincang tentang perkara yang penting. Tempat yang sunyi adalah lebih baik kerana kurang faktor luaran yang akan mengganggu konsentrasi anda.

 

3.      Anda juga boleh menggunakan pita rakaman sekiranya perlu untuk merakam percakapan pensyarah semasa kuliah sedang berjalan ataupun merakam minit mesyuarat.

 

4.      Anda tidak perlu berasa takut atau malu untuk bertanya jika anda tidak faham atau lupa. Apa yang penting, mesej yang anda terima adalah jelas dan tepat.

 

 

Artikel di atas dipetik daripada buku CARA MUDAH UNTUK MENGUASAI KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI terbitan Perintis Books Sdn. Bhd.



********************************************************************

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text