Pages

Ads 468x60px

Friday, April 07, 2006

Mahkamah batal nikah sebab tipu bapa mati


Oleh Sariha Mohd Ali- BH 7/4/2006

KUANTAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam membatalkan
pernikahan seorang jururawat dengan lelaki pilihannya di Pejabat Agama
Daerah Pekan 13 Januari lalu, kerana menggunakan sijil kematian palsu
bapanya untuk bernikah berwali hakim.

Berikutan itu, mahkamah memerintahkan Wan Norerni Murni Abdullah
(gambar), 23, yang mengandung dua bulan, dan pasangannya, Rahmad
Ahmad, 26, difarakkan (dipisahkan) serta-merta.

Mereka hanya boleh dinikahkan semula dengan berwalikan bapanya,
Abdullah Salleh, yang masih hidup. Sijil nikah pasangan itu juga
dibatalkan dengan semua maklumat dipadamkan daripada rekod Majlis
Agama Islam Daerah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus ketika membacakan keputusan itu,
berkata mengikut hukum syarak, perkahwinan tanpa wali mujbir, iaitu
bapa, adalah tidak sah dan dalam kes itu, bapa Wan Norerni Murni masih
hidup dan berhak menikahkan anak perempuannya.

Beliau berkata, tindakan membelakangkan bapa sebagai wali adalah
perbuatan biadab dan derhaka, manakala pihak yang bersubahat
memalsukan dokumen perkahwinan itu juga berdosa.

Abdul Rahman berkata, pihak terbabit boleh disiasat mengikut Seksyen
38 Undang-Undang Keluarga Islam Pahang.

"Mahkamah meminta mereka yang merancang pemalsuan perkahwinan ini
supaya bertaubat dan anak pula perlu meminta maaf kepada ayah. Hidup
sebagai suami isteri perlu mengikut hukum syarak bagi mengelak berlaku
persetubuhan haram.

"Mereka bersekongkol atau membenarkan perkahwinan ini, melakukan
sesuatu yang tidak betul kerana menghalalkan perkara haram," katanya.

Terdahulu, Abdullah memohon mahkamah supaya perkahwinan anaknya
bersama Rahmad difarakkan mengikut Seksyen 11 Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam Pahang 1987.

Mengikut seksyen itu, sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan
memenuhi semua syarat mengikut hukum syarak.

Abdullah dari Tumpat, Kelantan, diwakili peguam Mohd Zuki Che Mat
Ghani, manakala Asaari @ Kamaruddin Yatim mewakili Wan Norerni Murni
dan Rahmad.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text