KUANTAN: Seorang bekas imam di Pekan yang dipecat daripada jawatannya tahun lalu, dipercayai terbabit dalam sindiket menguruskan pernikahan termasuk jururawat yang menggunakan sijil kematian palsu bapanya, 13 Januari lalu.
Ketua Pendakwa Syarie Pahang, Abdul Rahim Jaafar, berkata berdasarkan siasatan, sindiket berkenaan dipercayai menjadikan rumah bekas iman itu lokasi pernikahan pasangan yang bermasalah untuk berkahwin.
Katanya, kes memalsukan dokumen untuk pasangan melangsungkan perkahwinan banyak berlaku di Pahang, tetapi penggunaan sijil kematian palsu wali adalah yang pertama di kesan di negeri itu.
"Surat kematian itu disertakan dalam bentuk salinan yang kemudian disahkan individu terbabit. Siasatan terperinci sedang dilakukan bagi membolehkan dakwaan dibuat terhadapnya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mahkamah Tinggi Syariah kelmarin, membatalkan pernikahan seorang jururawat dengan lelaki pilihannya di Pejabat Agama Daerah Pekan 13 Januari lalu, kerana menggunakan sijil kematian palsu bapanya untuk bernikah berwali hakim.
Berikutan itu, mahkamah memerintahkan Wan Norerni Murni Abdullah, 23, dan pasangannya, Rahmat Ahmad, 26, difarakkan (dipisahkan) serta merta. Mereka hanya boleh dinikahkan semula dengan berwalikan bapanya, Abdullah Salleh, yang masih hidup.
Sijil nikah pasangan itu juga dibatalkan dengan semua maklumat dipadamkan daripada rekod Majlis Agama Daerah.
Abdul Rahim berkata, sindiket berkenaan juga terbabit menguruskan perkahwinan pasangan bermasalah dari luar Pahang di bekas itu tetapi sijil pernikahan mereka dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam Thailand.
Katanya, sindiket itu memperoleh upah besar kerana membantu memudahkan urusan pernikahan pasangan bermasalah.
"Berdasarkan maklumat, sindiket itu juga sanggup menggunakan orang lain yang mempunyai nama sama seperti bapa perempuan dan kemudian menyamar sebagai wali untuk membolehkan proses pernikahan,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengelak perkara sama, Jaip kini mensyaratkan semua dokumen untuk urusan pernikahan perlu diberi dalam salinan sebenar.
Abdul Rahim berkata, pasangan yang ingin bernikah perlu memastikan proses pernikahan menepati syarak.
10/4/2006-BH
Tuesday, April 11, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment