Pages

Ads 468x60px

Wednesday, April 05, 2006

Kes 19 pengikut Ayah Pin ke Mahkamah Tinggi Syariah

BH-5/4/2006
JERTIH: Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mohd Nazri Yusof mengarahkan kes pendakwaan 19 pengikut ajaran sesat Ayah Pin dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.


Mohd Nazri ketika membuat keputusan berkata, kes itu membabitkan beberapa tertuduh yang turut berdepan dengan satu lagi kes pendakwaan yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Selain itu, katanya, Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah dan peguam yang mewakili 18 tertuduh dalam kes itu, Sa'adiah Din daripada Tetuan Sa'adiah, Khoo, Lo & Co turut terbabit dalam perbicaraan 47 pengikut ajaran sesat Ayah Pin yang sedang berjalan.

"Oleh kerana peguam bela tidak membuat bantahan jika kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah dan hakim boleh menggunakan peruntukan mengikut Seksyen 101 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, saya berpendapat kes ini patut dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah," katanya selepas kes terhadap 19 pengikut ajaran sesat Ayah Pin disebut semula di hadapannya, semalam.

Terdahulu Mustafar berkata, antara alasan pihak pendakwa memohon kes pendakwaan terhadap 47 pengikut Ayah Pin yang ditahan pada 21 Julai tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah ialah kerana faktor ruang sempit dewan bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.

Selain itu, katanya, aspek keselamatan turut diambil kira apabila kes berkenaan mendapat perhatian orang awam.

Beliau kemudian memohon mahkamah membenarkan 18 tertuduh termasuk isteri keempat Ayah Pin atau Ariffin Mohamad, 64, Nik Kamariah Nik Pa, 34, dibebaskan dengan jaminan terdahulu sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Sebelum itu, 18 daripada 19 tertuduh membaca wakalah membenarkan Sa'adiah mewakili mereka.

Mereka yang ditahan pada 2 Julai tahun lalu di perkampungan Ayah Pin, Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut didakwa mengikut Seksyen 10, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengingkari arahan mufti yang mewartakan ajaran Ayah Pin sebagai sesat.

Kes itu disebut pertama kali 23 Ogos tahun lalu, diikuti kali kedua pada 15 November tahun sama.

Mahkamah turut memerintahkan waran tangkap terhadap seorang lagi tertuduh, Sulaiman Abu Hassan, 42, dilanjutkan sehingga 5 November ini kerana gagal hadir untuk kali ketiga bagi pendakwaan kes berkenaan

Mustafar yang ditemui berkata, beliau akan memohon supaya kes pendakwaan terhadap 19 pengikut Ayah Pin ditangguhkan sehingga kes pendakwaan terhadap 47 pengikut Ayah Pin selesai pada tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Syariah

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text