Pages

Ads 468x60px

Friday, April 07, 2006

PBT kaji undang-undang

Oleh Zuraidah Mohamed dan Rozdan Mazalan
BH 7/4/2006

Peraturan baru digubal selepas Mahkamah Persekutuan mendapati Datuk Bandar Kuala Lumpur ada hak dakwa guru bercumbu



KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyebut pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa membuat undang-undang dan peraturan menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak, disambut baik beberapa PBT di Lembah Klang.

Bagaimanapun, mereka meminta kerajaan mengkaji dan meneliti semula Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi memastikan peruntukan undang-undang sedia ada menepati dan sesuai dengan keadaan semasa.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Ahmad Shafie Saidin, berkata undang-undang sedia ada sudah berusia lebih 30 tahun dan sekarang adalah masa sesuai untuk mengkaji semula akta berkenaan.

“Ada undang-undang yang sudah lapuk, kita takut jika menggunakannya untuk mengambil tindakan pada masa sekarang pihak berkenaan boleh mencabar kewibawaan PBT sekali gus mempersoalkan kewajaran tindakan yang dikenakan kerana tidak relevan.

“Justeru, wajar Akta PBT dikaji semula dengan memasukkan mana yang perlu termasuk kuasa PBT menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohamad Sheriff dan Datuk Richard Malanjum, Selasa lalu memutuskan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah betul mendakwa seorang guru sandaran dan teman wanitanya kerana bercumbu di taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Panel itu turut memutuskan Seksyen 8 (1) Undang-undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan) 1981 (UKT) tidak bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan hak asasi.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Mohd Ariff Abdul Rahman, berkata pihaknya tiada halangan untuk menggubal undang-undang dan peraturan bagi menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak di taman dan kawasan awam.

“Bagaimanapun perkara ini perlu merujuk kepada kerajaan negeri mengenai bidang kuasa yang boleh dilaksanakan.

“Akta yang diperuntukkan itu juga perlu mengambil kira pertindihan kuasa dengan Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Zainal Abidin Azim, berkata kerjasama antara PBT dan Jais perlu bagi membendung gejala kurang sihat seperti tidak sopan di khalayak ramai.

Berikutan itu, beliau meminta Jais memberikan panduan serta latihan bagi membolehkan pihaknya menubuhkan unit penguatkuasaan bagi membendung penyalahgunaan kuasa di kalangan pegawainya.

“Kami sentiasa menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan rekreasi bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin bagaimanapun kami tidak diberi kuasa menyekat sebarang perbuatan tidak sopan,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Datuk Ahmad Termizi Puteh, berkata pihaknya akan mengkaji semula peruntukan undang-undang kecil sedia ada PBT itu bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan semasa.

“Kita akan lihat jika ada yang memerlukan tambahan kita akan lakukan dan cadangan itu akan dikemukakan kepada Penasihat Undang-undang Negeri bagi penelitian.

“Pada masa sama, kita minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengkaji semula Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi membolehkan undang-undang dan tindakan diambil berdasarkan keadaan semasa,” katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text