BH-12/4/2006
Bersama M Thillinadan
BULAN lalu, kira-kira 300 pasangan menyertai pesta bercumbu di pulau peranginan Bali, Indonesia, acara tahunan yang dikaitkan dengan upacara untuk menjauhkan malapetaka terhadap pasangan yang mengambil bahagian.
Di bandar Tangerang, juga di Indonesia, pihak berkuasa wilayah bercadang menggubal undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pasangan yang bercium lebih daripada lima minit di tempat awam.
Di sebalik kedua-dua perkembangan itu, pemerintah Indonesia pula bercadang membuat undang-undang negara untuk mengenakan hukuman penjara lima tahun terhadap mereka yang bercium di tempat awam dan 10 tahun jika berbogel.
Ini menimbulkan keresahan penduduk Bali dan Papua kerana mereka mendakwa ia bertentangan dengan budaya dan cara hidup mereka. Penduduk Bali yang bergantung hidup kepada industri pelancongan bimbang ia akan menjejas kehidupan mereka manakala penduduk Papua menentangnya kerana ia mencemari budaya pakaian mereka.
Jadi apabila Mahkamah Persekutuan kita memutuskan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang dan peraturan bagi menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak ramai seperti bercumbu, maka timbul perdebatan di kalangan pelbagai pihak mengenai undang-undang kecil berkaitannya.
Ada pandangan keputusan itu bertentangan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak kebebasan seseorang rakyat manakala pandangan lain ialah ia melindungi rakyat daripada perbuatan tidak bermoral dan tidak sopan.
Bagi pandangan pertama, Mahkamah Persekutuan memutuskan undang-undang kecil PBT mengenai perbuatan tidak sopan tidak ultra vires perlembagaan atas alasan ia bukan norma masyarakat Timur di samping mengambil kira perasaan dan pandangan orang di sekeliling perbuatan itu.
Pejuang kebebasan dan hak asasi manusia tidak boleh berpandangan sebelah pihak dalam hal ini. Tanpa menyentuh soal moralnya, kita juga perlu rasional dan mengambil kira hak orang yang berada di sekeliling perlakuan sedemikian.
Mereka juga perlu mengambil kira perasaan orang lain seperti ibu bapa yang membawa anak mereka ke taman permainan dan disaji dengan pelbagai aksi ghairah pasangan remaja. Bagaimana mereka menjelaskan perbuatan bercumbu yang dilakukan secara bebas dan terbuka kepada anak yang masih kecil.
Apakah pejuang kebebasan dan hak asasi ini sanggup mendedahkan anak kecil mereka dengan aksi sedemikian. Mereka perlu akui sementara pasangan yang bercium di tempat awam percaya itu hak mereka, orang ramai yang tidak mahu melihat aksi sedemikian juga ada hak mereka.
Soalnya hak siapa yang besar. Rasionalnya ialah hak majoriti rakyat. Di negara Barat, perbuatan bercium tidak menjadi isu kerana majoriti rakyatnya sudah menerimanya sebagai budaya mereka.
Hujah bahawa Malaysia adalah negara majmuk, berpeluk dan bercumbu hanya satu cara untuk pasangan kekasih menunjukkan kasih sayang tidak boleh diterima.
Bolehkah kita terima aksi seks secara terbuka sebagai satu cara untuk menunjukkan kasih sayang?
Sementara kita menyokong keputusan mahkamah berhubung isu sopan, kita juga berharap PBT tidak menjadikannya sebagai senjata untuk menjadi ‘polis moral’ bagi menahan dan mendakwa semua pelakuan yang diterjemahkan sebagai tidak sopan.
Undang-undang kecil berkaitan kuasa PBT berhubung isu moral mesti dikaji dan diberi maksud sebenar supaya tidak berlaku penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan. Kajian juga perlu mengambil kira cara hidup, budaya dan adat resam semua kaum. Sebagai contoh, perkahwinan pasangan Kristian yang berakhir dengan ‘you may kiss the bride’, kerana gereja juga tempat awam, maka undang-undang mesti sensitif terhadap keperluan dan kelonggaran sedemikian.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mengkaji keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara mendalam dan menggubal satu undang-undang kecil yang seragam supaya ia dapat dikuatkuasakan di seluruh negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment