UM-22/3/2006
KUALA LUMPUR 21 Mac - Mahkamah Tinggi Syariah hari ini mendengar permohonan bekas isteri Datuk Seri Effendi Norwawi, Zariah Hashim (gambar) yang memohon agar bekas suaminya memberi tunjuk sebab kenapa beliau tidak patut dipenjarakan kerana gagal mematuhi perjanjian dan perintah mahkamah.
Zariah atau dikenali sebagai Farida Effendi, 55, memfailkan permohonan tersebut pada 6 Mac lalu melalui Tetuan Rafie Mohd Syafie & Associates.
Melalui afidavit yang difailkan, Farida menyatakan Effendi atau nama sebenarnya Mohd. Effeendi Norwawi, 58, masih belum memindah milik hartanah-hartanah dan saham ke atas namanya walaupun perjanjian persetujuan perceraian telah ditandatangani setahun dua bulan lalu.
Effendi juga didakwa sengaja hendak menggagalkan perintah mahkamah bertarikh 21 Jun 2005 dan perjanjian persetujuan bertarikh 28 Januari 2005 untuk menekan perasaannya.
Hakim Syarie, Mohamad Shakir Abdul Hamid menetap 26 April ini untuk memutuskan sama ada Farida boleh meneruskan prosiding hina mahkamah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
Sebelum itu, Hakim Mohamad Shakir mengarah pemohon meminda permohonan asal bagi mendapatkan kebenaran dari mahkamah untuk meneruskan prosiding itu secara sebelah pihak.
Pasangan tersebut bercerai pada 21 Jun 2005 dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak bahawa Farida diberi nafkah edah serta mutaah sebanyak RM50,000, beberapa hartanah di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, saham syarikat Encorp Utility Sdn. Bhd. sebanyak 100 peratus serta tiga buah rumah termasuk di London yang mencecah jutaan ringgit.
Farida menyatakan dalam afidavit tersebut selepas setahun dua bulan, bekas suaminya yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri masih belum memindah milik hartanah-hartanah dan saham yang dipersetujui.
Dia juga mendakwa mengalami kerugian RM200,000 setiap bulan yang sepatutnya diterima daripada saham-saham syarikat Encorp Utility.
Farida hadir ke mahkamah hari ini ditemani anak lelakinya Ezra dan peguam syarie, Dr. Mohd. Rafie Shafie manakala Effendi diwakili peguam syarie Muhammad Burok. Effendi tidak hadir.
Pasangan yang berkahwin sekitar tahun 1970-an itu juga dikurniakan dua orang anak perempuan, Efeida dan Elyna.
No comments:
Post a Comment