Pages

Ads 468x60px

Wednesday, March 15, 2006

Undang-undang perlu dikuat kuasa oleh pihak sebenar

Undang-undang perlu dikuat kuasa oleh pihak sebenar

UM Online-15/3/2006

Kejayaan rancangan TV3 `Bersamamu' dalam membangkitkan kesedaran masyarakat agar menjadi masyarakat yang prihatin dan penyayang, tidak dapat dinafikan. Golongan yang miskin dan tertindas berjaya mendapat bantuan segera masyarakat. Jika sebelum ini, mereka yang kurang bernasib baik hanya akan dapat dibantu setelah melalui saluran birokratik, kini bakti dapat dicurahkan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sahaja. Nadi penggerak hubungan pula bukanlah jabatan kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat. Tetapi, ejen undang-undang yang sangat berkuasa lewat zaman ini - media.

Kenyataan Datuk Seri Samy Vellu yang bernada menyindir mengeluh apabila orang awam banyak mengadu kepada pihak media dan bukan pihak berkuasa apabila mereka mempunyai masalah sedikit sebanyak membuka mata kita kepada trend baru yang sedang melanda. Kita tidak lagi mengadu kepada jabatan kerajaan, polis atau wakil rakyat. Ramai lagi yang kenal wartawan TV3 yang sinonim dengan masalah alam sekitar, Karam Singh Walia daripada wakil rakyat mereka. Apatah lagi, kenyataan Samy Vellu itu telah diikuti dengan pengumuman tentang nombor telefon bimbit beliau dan penubuhan talian hotline untuk orang awam. Secara tidak langsung, kita mengesahkan bahawa hatta pihak teratas sendiri perlu bersaing dengan media!

Kuasa ajaib media dalam menjadi pemantau dan penguat kuasa undang-undang adalah jelas. Media bukan polis. Media bukan kerajaan. Tetapi kes-kes seperti isu kartun menghina Nabi dan isu ketuk ketampi di dalam penjara oleh seorang perempuan yang dikatakan berwarganegara China (tetapi tidak) baru-baru ini hanya membuktikan bahawa media berperanan sebagai mata, mulut dan telinga yang menyedarkan masyarakat.

Seolah-olah pula terdapat fahaman baru tentang undang-undang. Jika tidak dapat dilaksanakan melalui saluran sedia wujud, kita pergi kepada media. Jika wakil rakyat tidak dapat menyelesaikan masalah alam sekitar, maka wartawan yang dihubungi! Apa yang perlu kita sedari adalah undang-undang memerlukan penguatkuasaan. Terma seperti penghakiman atas kertas atau paper judgment itu bukan satu perkara yang luar biasa. Acapkali kita mendengar terma itu bagi mereka yang sudah ada perintah undang-undang tetapi gagal melaksanakannya. Kes-kes syariah seperti kes cerai seorang wanita bernama Aida Melly, sedikit masa dahulu, mahu atau tidak perlu diakui akhirnya menemui penyelesaiannya hanya setelah diberi perhatian meluas oleh pihak media, walaupun pada hakikatnya bukan pihak media yang memberikan perintah.

Definisi

Namun begitu, walaupun trend perhatian pihak media ini telah mengundang respons positif dan segera pihak berkuasa, trend seperti ini perlu diperhalusi agar tidak menggugat pelaksanaan sebenar undang-undang. Saya lebih gusar dan musykil apabila definisi hak awam menjadi keliru dan dikelirukan. Apabila seseorang di dalam sesuatu kes itu dimohon untuk dijatuhkan hukuman yang `setimpal' memandangkan kes itu merupakan kes hak awam, maka mahkamah akan melihat apakah `hak awam' yang telah dicerobohi. Sesuatu kes itu menjadi `hak awam' apabila ia melibatkan hak atau kepentingan awam dan kesannya bukan terhad kepada beberapa pihak sahaja tetapi `terkena' pelbagai pihak. Antara kes `hak awam' yang terkenal adalah kes Highland Towers, kes Bakun and kes alam sekitar di Bukit Merah dahulu. Tetapi, adalah salah jika ada pihak menyatakan bahawa kes itu menjadi `kes hak awam' kerana kes itu mendapat liputan yang luas di dalam media! Kita perlu ingat bahawa liputan media semata-mata tidak menjadikannya secara definisi, satu kes `hak awam'.

Perebutan kuasa oleh dua kem pimpinan GPMS atau Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung juga telah diberi liputan meluas oleh pihak media. Tetapi pada hakikatnya, kes itu bukan satu kes hak awam atau melibatkan masyarakat awam. Sebaliknya, kes itu tidak lebih daripada isu perebutan kuasa dalaman antara dua kem berbeza. Jika ada percakaran, maka kes itu sekalipun berlanjutan ke peringkat mahkamah sekalipun dan melibatkan ramai orang ahli-ahlinya, tidak membolehkan kes itu dikategorikan sebagai kes hak awam. Sekalipun media merupakan pihak yang memberikannya liputan, liputan itu tidak lebih daripada itu dan tidak menukar korpus kes tersebut.

Paling penting, perhatian yang diberikan oleh pihak media perlulah bertepatan dan tidak berlebihan. Terdapat kes di mana seorang wanita yang mendapat perhatian media kerana berani membuat pendedahan kepada media. Tetapi, perhatian itu hanya sebelah pihak dan bukan kepada kedua-dua belah pihak. Apatah lagi jika kes itu masih dalam proses perbicaraan, maka komen-komen kepada media yang bersifat berat sebelah adalah sub judice (secara literal bermaksud `sedang dalam pemerhatian mahkamah atau undang-undang') dari segi undang-undang. Dalam erti kata mudah, memberi komen kepada media sebegitu adalah salah dari segi undang-undang.

Malah, di dalam keadaan tertentu, jika media dan pihak yang memberikan komen itu memberikan komen yang salah dan mencemarkan maruah orang lain, ia boleh mengundang tindakan undang-undang seperti saman malu. Apa yang paling kita khuatiri adalah jangan sampai berlaku keadaan di mana sesuatu kes itu `diadili' oleh pihak media, dalam ruang lingkup media, sebelum mahkamah sendiri memberikan kata pemutusnya.

Kita mungkin lebih selesa dan yakin jika Karam Singh Walia dari TV3 yang datang untuk membuat liputan dan mengejar pihak yang bertanggungjawab. Tetapi, perkara yang pasti adalah, wakil rakyat, jabatan kerajaan dan pihak-pihak tertentu telah pun digajikan, dengan wang keringat rakyat juga untuk berkhidmat bagi pihak kita.


No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text