Pages

Ads 468x60px

Monday, March 06, 2006

Edisi Tengah: Isytihar murtad

Edisi Tengah: Isytihar murtad

HM-06/03/2006
Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my

TAMPIN: Kelewatan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan memberi kaunseling kepada seorang lelaki Islam, Mohd Yunus Kassim, 62, dari Taman Indah, di sini, yang menyatakan hasrat meninggalkan agama itu pada 1974 menyebabkannya secara terbuka mengaku dirinya kini bukan Melayu dan tidak lagi beragama Islam.

Pengakuan itu dibuat lelaki itu melalui sepucuk surat yang dihantarnya kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tampin Tengah, di sini, pada 27 Februari lalu.

Dalam surat itu, Mohd Yunus yang juga dikenali sebagai Goh Ah Yang menyatakan sudah keluar Islam sejak berusia 13 tahun dan pernah ke Pejabat Agama Islam Tampin ketika berusia 32 tahun bagi menukar agama tetapi permohonannya ditolak.

Pengakuan terbuka ini menyamai kes seorang nenek, Nyonya Tahir, 89, yang mati selepas mengisytiharkan dirinya keluar Islam bulan lalu.

Kes Nyonya Tahir terpaksa dirujuk ke Mahkamah Tinggi Syariah dan mahkamah memutuskan wanita itu mati dalam keadaan bukan Islam, menyebabkan mayatnya diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan di Jirat Cina Simpang Ampat, Melaka mengikut agama Buddha.

"Sejak permohonan ditolak, saya terumbang-ambing dan tiada seorangpun pegawai pejabat agama yang datang memberi nasihat atau kaunseling.

"Saya dibiarkan keseorangan dalam mencari hala tuju hidup sebagai seorang yang beragama Islam.

"Saya juga pernah berjumpa beberapa imam masjid dan tokoh agama berhubung hasrat saya ini sebaliknya saya dimarahi," kata Yunus ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini, dia juga pernah merujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jains) tetapi diarahkan membuat permohonan itu di Mahkamah Tinggi Syariah.

"Saya sudah diberi borang untuk tujuan itu tetapi sehingga kini masih belum mengisi dan menghantarnya semula," katanya.

Harian Metro ke rumah Mohd Yunus bersama Pengerusi JKKK Kampung Tengah, Ali Omar bagi mendapatkan kepastian dan kesahihan mengenai surat yang dihantarnya kepada Omar.

Ketika ditemui, Yunus kelihatan tenang dan mengalu-alukan kedatangan wakil Harian Metro dan menyatakan `biar masuk surat khabar baru cepat masalahnya selesai'.

Yunus berkata, dia juga berkahwin dengan seorang wanita Cina beragama Buddha 40 tahun lalu dan dikurniakan enam anak iaitu empat lelaki dan dua perempuan dikenali sebagai Goh Ah Seng, 39, Goh Sewi Lian, 38, Goh Ah Eng,37, Goh Ah Fatt, 34, Goh Ah Soon,26, dan Goh Sewi Sein ,19.

Menurutnya, dia juga sudah berwasiat apabila mati kelak, mayatnya hendaklah dibakar dan abunya ditanam di Jirat Cina di Semenyih, Selangor.

Sementara itu, Ali Omar berkata, atas dasar tanggungjawabnya supaya kes Nyonya Tahir tidak berulang, beliau sudah menghantar surat diterima daripada Yunus itu kepada pegawai agama Pejabat Agama Islam Tampin, Menteri Besar, Ahli Parlimen Tampin, Pegawai Daerah dan Imam Besar Masjid Jamek Tunku Besar Tampin.

Katanya, sesuatu perlu dilakukan pejabat agama dengan segera bagi mengelak berlaku satu lagi kes Nyonya Tahir di daerah ini.

"Perkara ini adalah serius dan perlu campur tangan segera," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text