Tuntutan cerai bekas finalis PJN ditangguh
BH 16/3/2006
IPOH: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam menangguhkan ke 26 April ini untuk mendengar kes tuntutan cerai seorang bekas finalis rancangan Pengacara Jemputan Nona (PJN) terbitan TV3 pada 2001.
Hakim Syarie, Abdul Rahman Tabrani Mansor, membuat keputusan itu selepas Raja Raminah Begum Raja Muhamad, 30, (gambar) membuat permohonan untuk melakukan beberapa pindaan terlebih dulu pada penyata tuntutan yang dibuat terhadap suaminya, seorang ahli perniagaan perabot, Kamaruzaman Zainuddin, 54.
Bagaimanapun, tiada pengakuan dicatatkan daripada kedua-dua pihak pada sebutan pertama kes itu.
Raja Raminah Begum mempunyai empat anak berumur antara dua hingga lapan tahun, pernah terpilih antara 10 finalis mengacarakan rancangan Nona, seangkatan dengan Datin Norjuma Habib Mohamad.
Dia membuat tuntutan perceraian itu melalu Biro Bantuan Guaman negeri mengikut Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam Perak 2004 atau sebagai alternatifnya perceraian takliq mengikut Seksyen 50 enakmen yang sama.
Selain mengemukakan tuntutan cerai, dia yang dipercayai isteri ketiga Kamaruzaman juga menuntut hak penjagaan anak dan harta sepencarian.
Bekas pengacara jemputan itu yang kini menetap di Bandar Meru Raya, dekat sini, memfailkan tuntutan cerai itu pada 14 Februari lalu selepas hampir sembilan tahun mendirikan rumah tangga.
Dia membuat permohonan itu selepas mendapati tiada persefahaman bersama suaminya, yang juga didakwa tidak memberi wang nafkah tunai bulanan untuk perbelanjaan hariannya dan anak mereka.
Dalam penyata tuntutan itu, Raja Raminah Begum mendakwa Kamaruzaman tidak berlaku adil selain berkelakuan kurang sopan terhadap anak mereka.
Raja Raminah Begum diwakili peguam Safiah Hashim manakala Kamaruzaman diwakili peguam Suhairi Sukor. Kedua-duanya hadir di mahkamah semalam.
Thursday, March 16, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment