Rahsia Jenglot belum terjawab
KEWUJUDAN makhluk kenit yang digelar Jenglot sememangnya misteri. Sejak dipertontonkan kepada umum di Jakarta pada 1997, masih wujud pelbagai rahsia yang tidak terjawab malah persoalan mengenai asal-usul makhluk sebesar telapak tangan itu masih menjadi tanda tanya.
|
Adakah ia spesis baru haiwan yang ditemui di dunia ini atau manusia yang disumpah kerana mengamalkan ilmu sihir pada ribuan tahun seperti didakwa pemiliknya, Hendra Hartanto, seorang pengusaha restoran dari Surabaya, Indonesia.
Hendra mendakwa memperoleh makhluk itu daripada 'seseorang' pada 1972 di pantai Ngliyep, Malang, Jawa Timur dan selepas 25 tahun, barulah beliau membuat keputusan untuk mengumumkan kewujudan makhluk itu kepada umum.
Jenglot menyerupai manusia tetapi saiz tubuhnya kecil sekitar 10.65 sentimeter (cm), memiliki bahagian menyerupai kepala, badan, tangan dan kaki. Ia memiliki taring, kuku dan rambut yang lebih panjang daripada saiz badannya iaitu 30 cm.
Pemiliknya mendakwa makhluk seberat 37.2 gram itu tidak bergerak seperti haiwan lain; ia berdiam diri dan kaku ketika dilihat orang dan bergerak apabila bersendirian. Beliau mengatakan keadaan itu disebabkan posisi kaki, tangan dan matanya akan berubah setiap kali ditinggalkan manakala kuku dan rambut makhluk itu akan semakin memanjang.
Hendra memberi darah manusia yang dicampur minyak wangi sebagai makanan kepada Jenglot tetapi tidak pernah melihat bagaimana makhluk itu makan sebaliknya sekitar 18 jam selepas disajikan, bahan makanan itu akan berkurangan.
Bagaimanapun, ramai yang enggan mengakui kewujudan Jenglot sebagai antara hidupan aneh dan baru di dunia ini menyebabkan Hendra membawa makhluk itu ke makmal Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM) Jakarta, untuk diuji secara klinikal.
Di bahagian forensik RSCM, Jenglot diuji menggunakan peralatan Rontgen dan Mamo untuk mengetahui struktur tulangnya selain ujian kimia untuk mengetahui bahan mineral yang membentuk Jenglot. Foto yang dihasilkan peralatan itu mendapati ia tidak memiliki tulang.
Seterusnya ujian CT Scan dilakukan terhadap Jenglot tetapi hasil yang diperoleh tetap sama - struktur dalamannya tidak seperti manusia. Lalu muncul tiga hipotesis mengenai hasil ujian itu.
Kemungkinan Jenglot adalah manusia yang memiliki struktur fizikal yang sudah berubah manakala kemungkinan kedua adalah sel kulit makhluk kecil itu menghalang peralatan perubatan itu daripada melihat bahagian dalamannya. Kemungkinan lain adalah Jenglot adalah spesis kehidupan baru yang belum ditakrif bentuk biologinya oleh dunia sains moden.
Tidak berpuas hati dengan hasil uji kaji itu, pakar forensik dan saintis RSCM menguji DNA (deoxyribose nucleic acid) makhluk itu dengan andaian jika terdapat DNA, maka makhluk itu adalah hidupan dan sebaliknya, ia bukanlah benda hidup.
DNA diperoleh daripada rambut dan kulit Jenglot dan sampel sel itu dianalisis dengan kaedah PCR (Polymerase Chain Reaction) dan ia diuji bagi mengkelaskan hasilnya sama ada DNA berjenis manusia atau haiwan.
Keputusannya amat mengejutkan, DNA Jenglot menyerupai dan mengandungi ciri-ciri DNA manusia! Begitu juga penelitian terhadap struktur rambut makhluk itu yang terdiri daripada akar yang diselimuti gelembung sebagai medan tumbuh rambut, kulit rambut, dan di dalam kulit rambut terdapat sumsum rambut.
Bagaimanapun, struktur rambut Jenglot tidak sama seperti rambut manusia sebaliknya hanya memiliki ciri yang hampir menyamai rambut manusia.
Dengan pengakuan daripada pemiliknya bahawa makhluk itu hanya bergerak apabila tidak dilihat manusia, saintis RSCM menjalankan ujian menggunakan kamera untuk mengambil gambar pada senggang waktu berbeza.
Perbezaan jelas terlihat pada dua gambar yang diambil itu; gambar kedua menunjukkan bola mata Jenglot berubah daripada gambar pertama sekali gus membuktikan kenyataan Hendra.
Saintis RSCM semakin berminat untuk mengkaji hidupan itu dan membuat keputusan untuk menjalankan pembedahan bagi meneliti organ dalaman Jenglot tetapi cadangan itu tidak dipersetujui Hendra yang khuatir ia akan merosakkan makhluk itu.
Hasil ujian makmal itu akhirnya semakin menimbulkan misteri dan tanda tanya mengenai apakah sebenarnya makhluk Jenglot yang dikatakan sudah berusia 300 tahun itu.
Menurut Hendra, Jenglot pada masa ribuan tahun lalu adalah manusia yang bertapa dan mempelajari ilmu dinamakan Bethara Karang iaitu ilmu untuk hidup abadi. Akibatnya, jasad manusia itu tidak diterima bumi manakala rohnya ditolak naik ke langit. Jasad manusia itu kemudiannya semakin mengecil sehinggalah sekarang.
Kesahihan cerita itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan tetapi jelasnya sihir iaitu antara amalan dan ilmu yang bertentangan dengan syariat Islam memang terdapat di dalam Islam seperti firman Allah SWT:
Kewujudan Jenglot sebagai suatu spesis baru juga tidak mustahil kerana di sebalik tumbuhan dan haiwan yang terjangkau pada pandangan manusia, sebenarnya masih banyak hidupan lain yang kewujudannya masih menjadi misteri di dunia berusia jutaan tahun ini.
Malah, dianggarkan kira-kira 2,000 spesies baru hidupan laut ditemui pada setiap tahun sekali gus membuktikan bahawa keupayaan manusia termasuk dalam menerokai rahsia alam sebenarnya amat terbatas seperti firman Allah:
"Katakanlah: jika lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat Tuhanku, habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimat Tuhanku meskipun Kami datangkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan," (al-Kahfi: 109)
On 3/23/06, Abu Bakar Daud <alamkia@gmail.com> wrote:
MENAKUTKAN...
SEPASANG jenglot yang menjadi tumpuan orang ramai pada Pameran Alam Misteri 2006 di Balai Syed Sheikh Al-Hadi, Bastion House, Jalan Kota, Melaka, semalam.
Sepasang makhluk aneh atau jenglot dari Indonesia dan paku puntianak adalah sebahagian daripada benda-benda misteri yang menjadi tumpuan orang ramai pada Pameran Alam Misteri 2006 yang kini berlangsung di Melaka.
Sejak dibuka 12 Mac lalu, lebih 7,000 pelawat begitu teruja untuk melihat dari dekat bahan-bahan pameran yang dipamerkan di Balai Syed Sheikh Al-Hadi, Bastion House, Jalan Kota, Melaka.
Pameran anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) itu yang akan berakhir hujung bulan depan, turut mempamerkan seekor burung cenderawasih, minyak pengasih dan tulang rusuk ikan duyung.
No comments:
Post a Comment