Pages

Ads 468x60px

Friday, April 07, 2006

Mahkamah berhak tentukan isu moral


Oleh Nurul Hazren Masitom

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak harus mempertikaikan keputusan
mahkamah memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk
mengambil tindakan berhubung perlakuan kurang sopan di tempat awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul
Aziz, berkata sama ada perkara itu subjektif atau tidak, mahkamah
bertanggungjawab membuat interpretasi berdasarkan undang-undang sedia
ada.

"Undang-undang sudah ada dan mahkamah adalah pihak yang membuat
keputusan dan menterjemahnya. Soal sama ada sesuatu kesalahan itu
melanggar kesopanan atau tidak, mahkamah berhak menentukannya dengan
mengambil kira aspek adab kita.

"Kita tidak harus mempersoalkan hak mahkamah menterjemah
undang-undang," katanya selepas menyampaikan anugerah 'Firma Guaman
Tahunan Kebangsaan' kepada Tetuan Zul Rafique & Partners, di sini,
semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Majlis
Peguam, Yeo Yang Poh, bahawa persoalan mengenai moral dan kesopanan
biasanya sesuatu yang subjektif dan tindakan undang-undang berhubung
perkara itu wajar diberi perhatian.

Yeo bagaimanapun berkata, beliau tidak bermaksud untuk mencadangkan
bahawa isu berkaitan moral dan kesopanan tidak boleh menjadi satu
undang-undang, tetapi menegaskan bahawa ia perlu diteliti dengan
mendalam.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan memutuskan PBT mempunyai kuasa untuk
membuat undang-undang dan peraturan bagi menyekat gejala orang ramai
yang melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang
bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohamad
Sheriff dan Datuk Richard Malanjum, sebulat suara memutuskan Datuk
Bandar Kuala Lumpur (DBKL) adalah betul untuk mendakwa seorang guru
sandaran dan teman wanitanya kerana bercumbu di Taman City Centre
Kuala Lumpur (KLCC).

Ditanya sama ada kuasa yang diberi kepada PBT terbabit keterlaluan,
Mohamed Nazri berkata, jika seseorang itu memasuki kawasan awam atau
taman yang ditadbir PBT, mereka perlu mematuhi peraturan yang
ditetapkan.

"Sama ada peraturan itu sesuatu yang betul atau tidak, bukan hak kita
untuk mempersoalkannya, ia tertakluk kepada pihak yang mentadbir atau
PBT yang dipertanggungjawabkan," katanya.

Beliau berkata, oleh kerana mahkamah sudah memberi kuasa kepada PBT
terbabit, maka apa yang diputuskan oleh kerajaan tempatan itu perlu
diterima

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text