Oleh MOHD YUSMADI M. YUSOFF
Moral kita, bukan moral 'dia' atau moral 'awak'. Paling digemari, konsep duniaku untukku dan duniamu untukmu. Sememangnya, masyarakat itu sukar untuk diasing bahagi dan tambah dengan mudah. Pendapatnya pelbagai dan pandangan yang berbeza itu tidak mungkin diseragamkan sekali.
Hakikat inilah yang sebenarnya menyukarkan keadaan dan merumitkan pemerintah dalam mewartakan sesuatu undang-undang.
Apatah lagi apabila perkara yang diwartakan itu dikatakan bertindih dengan perkara moral, yang pada pandangan sesetengah pihak jatuh dalam ruang lingkup persendirian yang tidak perlu diatur pemerintah melalui undang-undang.
Polemik ini bukan baru. Sudah lama para filasuf dan pakar undang-undang memperdebatkan pertembungan undang-undang dan moral.
Kepelbagaian teori yang muncul jelas menunjukkan bahawa mazhab-mazhab dalam kerangka perbincangan undang-undang sivil, buatan manusia (terutama sekali kelompok Positivist) tentang isu ini belum lagi menemukan 'ijmaknya'.
Keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah menarik perhatian saya dan juga pelbagai pihak yang lain. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenarkan untuk mendenda pasangan yang bercumbuan di khalayak ramai. Premis alasan penghakiman tetap di atas dasar moral.
Bahawa perbuatan itu tidak bermoral dan DBKL selaku Majlis Bandaran berhak mewartakan undang-undang kecil tentang tatacara kelakuan, dalam kes ini di taman bunga.
Kes ini menjadi kontroversi kerana dua perkara. Pertama pertembungannya dengan isu moral, yang di dalam kes ini menyentuh pasangan bukan Islam. Oleh itu, hujahnya adalah apa yang dilakukan itu tidak menyimpang daripada fahaman moral peribadi mereka.
Keduanya isu bahawa dakwaan itu berlaku kerana keengganan mereka untuk memberi rasuah kepada penguat kuasa DBKL. Tetapi saya ingin menjuruskan perbincangan ini kepada kontroversi pertama itu.
Jika kita menyelongkar sejarah moral dan undang-undang itu berkait rapat. Kita akan melihat di kalangan para filasuf Jurispruden Barat sendiri terdapat perbezaan pendapat apa yang diistilahkan sebagai moraliti persendirian (private morality) dan moraliti awam (public morality).
Perdebatan moral dan undang ini kembali mendapat tempat di persada politik terutama sekali apabila agama dilihat memainkan peranan yang penting selepas peristiwa 11 September sehingga terbentuk kelompok yang dikenali sebagai 'agama' (religionist) di dalam politik dalaman mahupun politik antarabangsa.
Perspektif para pendukung mazhab anti undang-undang moral akan melaungkan isu hak peribadi di atas tema kebebasan. Manakala kelompok 'agama' melihat dari kaca mata dosa dan pahala itu antara manusia dan Penciptanya.
Tetapi, di sinilah silapnya apabila kita merenung moral dalam erti kata yang sempit, iaitu erti kata dosa yang diinterpretasikan sebagai 'dosa persendirian'.
Hakikatnya, hampir semua undang-undang itu berkait rapat dengan moral. Hatta undang-undang bunuh dan rogol itu juga berkaitan dengan moral! Pengiktirafan kemasukan elemen moral ke dalam undang-undang seolah-olah bersifat double standard.
Kita tidak akan mendengar suara membangkang apabila perbuatan rogol dijadikan suatu kesalahan undang-undang walaupun pada hakikatnya perwartaan undang-undang tersebut juga disebabkan oleh ia bersalahan dengan 'moral' manusia. Sebaliknya, kita melihat protes yang kuat apabila 'bercumbuan' dijadikan sebagai suatu kesalahan undang-undang.
Kesalahan rogol secara definisinya merujuk kepada suatu hubungan kelamin yang dibuat tanpa kerelaan dan ataupun kebenaran si mangsa. Perkara itu diterima sebagai suatu kesalahan jenayah oleh semua masyarakat di dunia.
Kayu ukur
Bagaimanapun hubungan seks dengan kerelaan di antara seorang dewasa dengan seorang remaja di bawah umur 16 tahun juga dianggap sebagai suatu kesalahan undang-undang. Perkara tersebut diterima tanpa bangkangan daripada mana-mana pihak, apabila kayu ukur isu ini adalah moral juga.
Di negara Barat, contoh yang paling kerap disebut sebagai percanggahan di antara undang-undang dan moraliti adalah isu homoseksual. Lebih 40 tahun yang lalu, perbuatan itu dikira salah dari segi undang-undang tetapi tidak kini.
Malah negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom juga telah mewartakan undang-undang yang mengiktiraf perkongsian hidup pasangan sejenis ini sebagai 'perkongsian sivil' yang hak dan kelebihan yang dinikmati di bawahnya adalah serupa dengan perkahwinan biasa. Malah, ada negeri di AS yang mengiktirafnya sebagai 'perkahwinan'.
Tetapi, kita jangan fikir bahawa garis ukur moraliti sudah semestinya berubah 360 darjah. Hatta di negara-negara seperti AS sendiri, pengaruh golongan konservatif dan mereka yang antihomoseksual tidak dapat dinafikan amat kuat sekali. Sehinggakan, kemenangan Presiden George W. Bush untuk penggal kedua juga dikatakan berpunca daripada sokongan lawannya, John Kerry, terhadap perkahwinan sejenis yang tidak dapat diterima oleh pelbagai pihak.
Oleh itu, bolehkah kita menyatakan bahawa apa yang bersifat moral itu tidak mengenal tempat, budaya dan masa? Mampukah kita menyatakan bahawa apa yang moral dan apa yang tidak itu sebenarnya berdasarkan fahaman yang tidak akan ada jauh bezanya kerana yang hak itu tetap hak dan batil itu tetap batil.
Pada persimpangan definisi inilah akan muncul aspek keagamaan dan sosiobudaya. Apa yang terangkum dalam huraian 'hak' dan 'batil' itu mungkin tidak jauh bezanya tetapi menjadi lebih khusus dan tersendiri dengan elemen agama serta sosiobudaya masyarakat.
Kita mungkin boleh 'bertoleransi' melihat pasangan romantis itu bercumbuan di khalayak dengan berjalan terus tanpa menegur. Tetapi, jangan kita marahkan orang yang menegur kerana pihak yang menegur itu merasakan tidak senang dengan perbuatan seperti itu, mungkin malu dan tidak selesa.
Mungkin kerana ada anak-anak kecil yang sedang bersama. Paling mudah, adakah kita mahu anak-anak kecil kita juga menjadi serakah sedemikian rupa? Mungkin itu kayu ukurnya, tentang apa yang kita boleh telan dan apa yang tidak dapat sama sekali kita hadamkan.
- MOHD YUSMADI M. YUSOFF ialah peguam dan koordinator ILHAM, sebuah forum yang menumpukan isu-isu hak awam.
No comments:
Post a Comment