Pages

Ads 468x60px

Monday, June 26, 2006

Takaful insurans kahwin penyelesai beban keluarga

Takaful insurans kahwin penyelesai beban keluarga


Syor Ketua Hakim Syarie disambut baik Pertiwi, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, jamin masa depan pasangan pengantin


CADANGAN agar bakal pengantin lelaki Islam perlu mengambil takaful insurans sebelum bernikah bagi menjamin masa depan isteri dan anak jika berlaku perceraian atau kematian, pada dasarnya satu perkembangan baik serta menunjukkan kepekaan untuk mewujudkan institusi kekeluargaan lebih mantap.

Saranan dikemukakan Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman supaya sistem takaful insurans perkahwinan diperkenalkan dalam prosiding perkahwinan pasangan Islam di negara ini dilihat membawa beberapa kebaikan dan memberi lebih jaminan masa depan jika dilaksanakan dengan betul.

Ketua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi), Prof Datuk Nik Safiah Karim, berkata cadangan itu wajar disokong dan diterima baik masyarakat di negara ini kerana ia jelas bertujuan baik demi menjamin masa depan isteri dan anak yang mungkin kehilangan arah serta punca pendapatan bagi menyara keluarga selepas perkara tidak diingini berlaku.

"Cadangan ini datang daripada seorang ulama yang sudah tentunya tahu mengenai undang-undang dan syariat Islam. Jadi, saya fikir cadangan itu tentu berasas serta ada kebaikan. Jika sudah ada negara Islam lain melaksanakannya dan berjaya membela kehidupan golongan berkenaan, ini turut bermakna perkara ini bukan sesuatu yang baru," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Prof Nik Safiah berkata, cadangan itu juga tidak harus dianggap satu lagi bebanan kepada pasangan Islam yang ingin berkahwin dan sudah ditetapkan beberapa syarat lain sebelum ini jika ingin mendirikan rumah tangga termasuk diwajibkan mengikuti kursus khas perkahwinan dan ujian saringan HIV.

Katanya, pihak lelaki khususnya, yang dikatakan terpaksa menanggung bebanan hantaran dan mas kahwin tinggi di tetapkan keluarga pihak wanita, wajar mengambil kira cadangan berkenaan sebagai memenuhi sebahagian daripada tanggungjawabnya membuat persediaan untuk melangkah ke alam rumah tangga.

"Membuat perancangan dan persediaan awal untuk masa depan perlu disemai kepada pasangan yang ingin berkahwin. Begitu jugalah dalam hal ini dan beberapa syarat lain yang sudah diperkenalkan serta dilihat jelas ada kebaikannya. Kursus perkahwinan misalnya, wajib diikuti kerana pada masa ini ramai pasangan yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup untuk mendirikan rumah tangga.

"Perkara ini sama halnya jika cadangan takaful insurans diwajibkan kepada bakal pengantin kerana untuk membina keluarga, mempunyai pendapatan dan pekerjaan adalah aspek utama perlu ditekankan. Jika pasangan yang ingin berkahwin berasa mengambil insurans takaful satu lagi bebanan kewangan, mungkin mereka boleh berpakat mengurangkan perkara lain dalam menguruskan perkahwinan seperti mengurangkan belanja hantaran dan membuat majlis perkahwinan sederhana," katanya lagi.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar, berkata pada dasarnya cadangan itu adalah baik sebagai jalan penyelesaian sementara sebelum tuntutan nafkah dibuat di Mahkamah Syariah selepas perceraian berlaku pada pasangan.

Katanya, pengambilan takaful insurans juga boleh dianggap sebagai perlindungan kepada isteri dan anak yang terabai serta ada kala terpaksa menjalani kehidupan sukar sama ada selepas kematian ataupun diceraikan suami.

"Memang ada banyak masalah bagi isteri dan anak yang ditinggalkan tanpa nafkah. Begitu juga bagi pasangan bercerai dan ingin menuntut nafkah di Mahkamah Syariah, perlu ambil sedikit masa untuk diselesaikan. Apabila kes tuntutan nafkah di bawa ke Mahkamah Syariah, ada pula suami yang menafikan hak itu atau sengaja menggantungkan isteri tidak bertali. Jika ini terjadi, bagaimanakah isteri yang ditinggalkan suami itu ingin menyara diri dan anaknya," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan itu perlu diperhalusi dan dikaji lebih lanjut dalam pelbagai aspek termasuk jumlah premium, tempoh matang dan syarat lain supaya tidak disalah tafsir atau disalah gunakan mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan.

Paling dibimbangi, ada pasangan yang mengambil insurans takaful itu mempunyai agenda tersendiri iaitu hanya ingin mengaut keuntungan dan mempermainkan ikatan perkahwinan dibina.

Maklum balas positif yang diberikan beberapa pihak mungkin satu petanda yang menunjukkan, cadangan pelaksanaan sistem takaful insurans perkahwinan itu ada beberapa manfaat kepada masyarakat Islam di negara ini. Apa yang diharapkan, pelaksanaannya kelak tidak dibuat secara terburu-buru sebaliknya, banyak lagi ruang dan sudut pandangan yang perlu diambil kira serta dikaji secara terperinci.

Jika di Mesir sistem seumpama ini sudah diperkenalkan dan dikatakan berjaya, ia tidak bermakna jika diperkenalkan di Malaysia, hasil yang sama dapat dicapai. Beberapa perbandingan perlu dibuat terlebih dulu kerana apa yang pasti, walaupun Mesir dan Malaysia adalah sama-sama negara Islam, masih ada jurang latar budaya dan nilai berbeza serta tidak sesuai dijadikan amalan mahupun contoh untuk diikuti.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text