Pages

Ads 468x60px

Saturday, June 24, 2006

Pengantin ambil insurans disokong

Pengantin ambil insurans disokong


KUALA LUMPUR: Cadangan supaya bakal pengantin lelaki Islam mengambil insurans sebelum bernikah menerima reaksi positif daripada orang ramai malah meminta supaya ia disegerakan.


Tinjauan Berita Harian mendapati, ramai yang menganggap ia sesuatu yang dipuji dan satu langkah bijak bagi memastikan golongan lelaki lebih bertanggungjawab.

Kakitangan kerajaan, Haizal Zakuwan Abdul Halim, 29, berkata kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan, tambahan seperti sekarang kita kerap dengar kes mahkamah iaitu sebilangan lelaki apabila bercerai akan lepas tangan.

"Justeru, pengambilan insurans sebelum berkahwin sedikit sebanyak membantu isteri dan anak untuk meneruskan kehidupan sekiranya apa-apa berlaku," katanya di sini, semalam.

Katanya, beliau tidak menganggap pengambilan polisi insurans sebagai satu bebanan baru kepada golongan lelaki sebaliknya ia boleh dibeli mengikut kemampuan seseorang.

Kelmarin, Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman, berkata bakal pengantin lelaki Islam mungkin perlu mengambil insurans sebelum bernikah bagi menjamin masa depan isteri dan anak apabila berlaku perceraian atau kematian.

Beliau menyarankan sistem takaful insurans perkahwinan diperkenalkan dalam prosiding perkahwinan pasangan Islam di negara ini.

Katanya, pelaksanaan sistem itu dapat membela nasib dan meringankan beban isteri serta anak selepas perceraian atau kematian suami.

Ahli Perniagaan, Che Rosmawati Che Mat, 29, berkata insurans adalah satu keperluan pada masa ini dan tidak hanya terhad kepada bakal pengantin lelaki semata-mata.

"Semua orang harus mempunyai sekurang-kurangnya satu polisi insurans dalam kehidupan mereka.

"Apabila mempunyai insurans sekurang-kurangnya hidup isteri dan anak akan terbela dan boleh membantu mereka meneruskan kehidupan walaupun tanpa suami di sisi," katanya.

Kakitangan kerajaan, Norlida Abdul Kadir, 45, berkata langkah memastikan pengantin lelaki Islam mengambil insurans sebelum bernikah membuktikan keprihatinan kerajaan untuk membela nasib golongan wanita di negara ini.

"Dengan adanya polisi sebegini isteri tidak perlu membawa kes tuntutan nafkah ke mahkamah kerana mereka boleh menggunakan wang insurans untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Peniaga, Md Zainudin Ab Kadir, 41, berkata langkah itu wajar bagi mengelakkan lelaki melupakan tanggungjawab mereka terhadap isteri dan anak selepas berlaku perceraian.

"Cadangan ini bagus dan ia akan menjadi lebih bagus sekiranya dipercepatkan. Kita kena buat dulu, barulah kita tahu benda ini bagus atau tidak," katanya.

Sementara itu, di MELAKA, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Abd Halim Sa'at, berkata pasangan yang ingin berkahwin tidak seharusnya memandang cadangan itu sebagai satu beban.

"Saya yakin kadar yang akan ditetapkan nanti berpatutan dan tidak menjejaskan pendapatan mereka, malah faedah yang diperolehi nanti adalah bermanfaat untuk kehidupan mereka," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text