Pages

Ads 468x60px

Thursday, June 01, 2006

Tiga Orang Hakim Bicara di Mahkamah Tinggi Tidak Sesuai Di Malaysia

Oleh IZWAR ABDUL WAHID-UM-1/6/2006

KUALA LUMPUR 31 Mei - Sistem panel tiga hakim bagi perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi tidak sesuai digunapakai di negara ini ekoran masih berlaku masalah kekurangan hakim.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Yeo Yong Poh berkata, jika sistem tiga hakim diguna pakai maka akan berlaku lebih banyak kes tertunggak.

``Jumlah kekurangan hakim di negara ini adalah tinggi, jika lebih ramai yang digunakan untuk Mahkamah Tinggi ia akan memburukkan lagi keadaan,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mencadangkan kes-kes Mahkamah Tinggi dibicarakan oleh sekurang-kurangnya tiga hakim bagi mengelak berlaku rasuah.

Menurut Ahmad Fairuz, adalah sukar untuk merasuah tiga hakim sekali gus ketika mengendalikan kes jenayah atau sivil.

Menurut Yong Poh, masih banyak cara lain yang boleh dilakukan bagi mengelak berlaku rasuah tanpa perlu mengubah corak sistem kehakiman Mahkamah Tinggi.

Ujarnya, antara langkah yang boleh dilakukan ialah mewujudkan jawatankuasa bebas pelantikan hakim, sebuah badan kehakiman yang bebas dan kebebasan media.

Langkah-langkah berkenaan boleh diguna pakai bagi mengelak rasuah tanpa perlu mengubah sistem penghakiman Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaitoon Othman berkata, tiada jaminan rasuah dapat dihapuskan walaupun tiga hakim digunakan kerana mereka juga mungkin berkompromi antara satu sama lain.

Justeru katanya, sistem tiga hakim tidak sesuai diguna pakai sebaliknya usaha menghapuskan rasuah perlu dilakukan di peringkat pelantikan hakim.

``Perundangan adalah profesion profesional apatah lagi jika dilantik menjadi hakim. Jadi pelantikan hakim perlu benar-benar terpilih dan mereka perlu daripada kalangan pengamal undang-undang yang berintegriti,'' katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text