Siswa mengaku khalwat
BH 12/6/2006
KOTA BHARU: Seorang penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
didenda RM1,200 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, selepas
mengaku salah berkhalwat dengan pemain import pasukan bola sepak
Kelantan.
Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan, memerintahkan penuntut tahun dua
jurusan farmasi itu, Farrah Aina Safian Sauri, 21, dipenjara dua bulan
jika gagal membayar denda.
Bagaimanapun, Farrah Aina kemudian membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Farrah Aina didakwa berkhalwat secara berkurung
sehingga boleh mendatangkan syak dengan seorang lelaki bukan Islam
berbangsa Argentina, Gustavo Alberto Romero.
Dia didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah rumah flet di
Bandar Baru Kubang Kerian, di sini, kira-kira jam 1.15 pagi pada 7 Mei
lalu.
Farrah Aina yang berasal dari Machang, didakwa mengikut Seksyen 9(2)
Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan jika sabit kesalahan boleh
dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau
kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Abu Bakar
Abdullah Kutty, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes yang dikemukakan pendakwa, sepasukan penguat kuasa
melakukan pemeriksaan terhadap rumah berkenaan, kira-kira jam 1.15
pagi, bulan lalu.
Abu Bakar ketika membacakan fakta kes berkenaan memberitahu, apabila
penguat kuasa masuk ke rumah terbabit, mereka mendapati sebuah
biliknya berkunci.
Apabila bilik itu diketuk, ia dibuka oleh tertuduh. Dalam bilik itu
terdapat katil besar dan barang-barang kepunyaan Romero.
Farrah Aina yang berbaju kurung jingga serta bertudung putih itu,
hadir di mahkamah dengan dihantar ibu bapanya, kelihatan tenang ketika
pertuduhan dan fakta kes dibacakan.
Dalam rayuannya, Farrah Aina kemudian memohon supaya hukuman ringan
dikenakan terhadapnya berikutan pengakuan bersalah itu dengan alasan
dia masih menuntut.
"Saya masih dalam latihan amali bagi jurusan farmasi di Kubang Kerian.
Saya adalah anak sulong dan harapan keluarga. Saya menyesal dan
bertaubat serta berjanji tidak akan melakukan perbuatan itu.
"Saya hanya kawan biasa dengan lelaki itu. Orang tua tidak tahu yang
saya ke rumah Romero kerana keluarga menetap di Jerantut, Pahang,"
katanya yang mengaku pernah tiga kali ke rumah Romero sejak mengenali
lelaki itu mulai tahun lalu.
No comments:
Post a Comment