Pages

Ads 468x60px

Sunday, June 25, 2006

Ratapan Si Anak Kecil

Ratapan Si Anak Kecil
 Sudut Kreatif
Mimpi yang indah pagi itu tiba tiba menghilang bilamana ibuku mengejutkanku dengan wajahnya yang manis. "Nak! Bangunlah sayang. Bukankah hari ini kamu perlu pergi ke sekolah?". Pertanyaan ibu membuatku yang masih terkebil kebil terus bergegas menuju ke bilik air. Burrrr! Deburan air yang diceduk dari perigi terus membasahi tubuhku. Dinginnya air perigi terasa begitu ngilu hingga ke tulang. Selesai sahaja mandi lantas aku terus bersiap mengenakan pakaian sekolah yang berwarna putih serta biru seluarnya. Aku dibedakkan oleh ibu dengan penuh kasih sayang. Sambil disikat rambutku, aku sesekali merenung wajah ibu yang begitu manis dibalik cermin.


"Nak! Pergilah bersarapan di sana bersama bapamu. Ibu telah menyiapkan kuih kesukaan mu di atas meja". Aku mengucapkan terima kasih kepada ibu sambil tersenyum lalu menuju ke meja makan untuk bersarapan bersama bapaku. Lantas ditepuk bahuku oleh bapa dengan penuh kasih sayang. "Kasihan bapa. Sedari kecil kemalangan yg telah menimpa bapaku menyebabkan kedua kakinya menjadi lumpuh", getus hati kecilku melihat keadaan bapa. Lalu kurenung pula wajah ibu sekali lagi melihatkan wajahnya yang tidak pernah jemu membanting tulang untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Aku menyelesaikan sarapan pagi itu dengan segera lalu mencium tangan ibu dan bapa seraya bermohon diri untuk ke sekolah.

Aku biasa berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 3 kilometer dari rumahku. Namun perjalan tetap kugagahi bersama teman teman persekolahan. Hinggakan diriku langsung tidak sedar kerana asyik bermain bersama teman sehingga sampai ke pintu pagar sekolah. Terus ku meletakkan beg sekolahku di atas bangku seraya merenung keluar tingkap. "Bangun!", terdengar suara yang begitu lazim didengar dalam kelas. Murni ketua kelas memberi arahan agar semua berdiri kerana ketibaan guru. "Selamat pagi Cikgu". Lantas guru memberi arahan kepada semua murid agar duduk. "Bagaimana dengan kerja rumah yang telah cikgu berikan semalam murid-murid? Sudahkah kamu siapkan?" tanya guruku kepada semua.

"Baiklah! Mari kita teruskan dengan pelajaran hari ini", ujar guruku dengan senyuman. Knock knock! Pintu kelas diketuk dan Guru Besar menjengah dibalik pintu. "Maafkan saya cikgu kerana mengganggu. Saya ingin berjumpa dengan Shazli sebentar. Shazli! Kemas sekali beg kamu ya dan sila ikut saya", ujar Guru Besar kepadaku. Aku lantas menuruti perintahnya lalu mengikutnya terus ke pejabat sambil teman teman lain kehairanan. Sesampai diriku di pejabat Guru Besar sekali lagi aku terkejut kerana kelihatan pamanku berada di situ.

"Shazli", sapa Guru Besar dengan lembut sambil memegang bahuku. "Pamanmu ingin menjemput kamu pulang kerana terjadi sesuatu dirumah", terhenti seketika perkataan Guru Besar yang kelihatan sedikit sebak. Aku yang masih belum mengerti hanya terpinga pinga melihat Guru Besarku. "Acik", kali ini pamanku pula yang bersuara. "Acik! Bapamu telah mendapat kemalangan dan telah pergi meninggalkan kita semua nak", jelas pamanku dalam sayu. "Paman ingin membawamu pulang nak untuk melihat bapamu buat kali yang terakhir". "Tidakkkk..." aku terus meraung menurut perasaan. Dalam perjalanan aku tidak henti memandang luar jendela kereta sambil sesekali menyeka air mata yang berlinangan.

Setibanya dirumah aku melihat ramai yang telah menunggu kepulanganku. Masing-masing memandangku dengan wajah hiba dan kasihan. Aku terus berlari ke dalam rumah merapati sekujur tubuh yang kaku. "Bapaaaaaa....", aku meraung semahunya sambil ibuku memautku dengan linangan airmata. "Bersabarlah nak, apa yang terjadi ini sudah memang kehendak-Nya". Ibu terus menahanku dalam sebak melihatku berkeadaan sedemikian. "Kenapa ibu... kenapa mesti bapa yang pergi dahulu..Acik masih perlukan bapa untuk membimbing Acik ibu", tangisku. Selesai sahaja jenazah bapaku dikafankan lalu seluruh tetangga dan kaum keluargaku yang terdekat menyembahyangkan jenazah bapaku.

Hari demi hari berlalu. Namun bayangan senyuman bapaku masih terbayang diruang mataku. Betapa dirinya membelai rambutku dengan penuh kasih sayang dan sering pula mengucup dahiku. Kini semua urusan diambil alih sepenuhnya oleh ibu. Tanpa mengenal penat lelah ibuku terus mencari rezeki untuk mendapatkan sesuap nasi untuk diriku. Selesai persekolahan aku terus menelaah pelajaran. Sesekali mataku memandang jam loceng dimeja. "Nah! Sudah hampir jam 5". Getus hati kecilku. Lantas aku mengemas kembali meja yang berserakan dengan buku buku sekolah. Aku terus keluar rumah dan mengunci pintu menuju ke jalan besar. Tujuanku hanya satu iaitu menyambut kepulangan ibuku.

Begitulah rutin harian hidupku semenjak kehilangan bapa. Kasihan ibu terpaksa berkerja keras demi membesarkan diriku. Melihat sahaja sesusuk tubuh yang turun dari bas kilang membuat diriku tersenyum girang."Ibu", lantas ku mendapatkan ibu serta mencium tangannya. Ibu menyambutku dengan penuh kasih sayang.

Bermula sessi persekolahan darjah 5. Ibu menasihatkan diriku agar sentiasa belajar rajin rajin agar menjadi orang yang berguna satu masa nanti serta boleh merubah kehidupan kami sekeluarga yang sememangnya miskin. Aku bertekad didalam hati agar segala apa yang dicitakan oleh ibuku akan menjadi kenyataan. Hari persekolah ku lalui dengan penuh semangat. Menyedari akan keperitan hidup kami berdua membuatku bersemangat untuk mencapai kejayaan yang diimpikan. "Kringgggg!" Kedengaran loceng berbunyi menandakan selesai sessi persekolahan pada hari itu. Aku segera mengemaskan buku lantas memasukkan didalam beg ku yang sudah agak lusuh. Dalam perjalanan pulang aku bersiul kecil sambil terbayangkan rumah usangku.

Setibanya di rumah aku kehairanan melihat kereta pamanku di laman. "Jangan-jangan ada perkara buruk terjadi", bisik hati kecilku. Aku terus berlari menuju ke muka pintu lantas memberikan salam. Kedengaran agak riuh dari dalam rumah orang berbual mesra sambil ketawa. Senyuman mula terukir tatkala melihat wajah ibu. Ibu terus mendapatkanku seraya berkata "Nak, mari sini nak. Ibu mahu kenalkan kamu kepada seseorang". Aku menuruti langkah ibu sehingga ibu berhenti di hadapan seorang yang tidak kukenali sambil paman hanya tersenyum memerhatikanku."Nak, dihadapanmu ini adalah bakal pengganti bapamu yang telah tiada. Ibu harap kamu dapat menerimanya dan mengganggap dirinya sebagai tempat berlindung".


Aku hanya mengangguk lesu sambil mengukir senyuman. Ku hulurkan tangan sebagai tanda hormat kepada bakal bapa tiriku. "Mudah-mudahan kamu mampu membimbing diriku menjadi insan yang berguna". Ujarku kepada calon bapa tiri sambil disambut dengan deraian ketawa dari ibu dan paman. Sememangnya aku telah diasuh dari kecil agar menjadi seorang yang beradab dengan orang lain. Sebulan selepas pertemuan di rumah maka berlangsunglah majlis pernikahan semula ibu dengan insan pilihan pamanku. Majlis yang diadakan cukup sederhana dengan kehadiran kaum keluarga yang terdekat berserta jiran tetangga. Maka bermula satu episod baru dalam kehidupan bila sinar kebahagiaan menyinari kehidupan kami sekeluarga.

Namun panas yang ku harapkan sampai ke petang tidak kesampaian. Ada ketika bapaku pulang dengan wajah yang tidak menyenangkan. Ada sahaja kesalahan yang cuba dicari oleh bapa tiri terhadapku. Selalu juga tangan kasarnya menyinggahi pipiku. Seringkali juga badanku mendapat kesan lebam kerana di cubit juga di rotan. Kalau selama ini aku sering mendengar cerita ibu tiri yang suka mendera anaknya tetapi yang terjadi sebaliknya pada diriku. Ibu hanya mampu menangis hiba. "Maafkan ibu nak kerana tidak dapat melindungi dirimu". Aku hanya teresak esak dipangkuan ibu menahan kesakitan di seluruh tubuhku.

Boleh dikatakan setiap hari aku pergi ke sekolah dalam keadaan yang tidak terurus. Kalau dulu aku merupakan antara pelajar yang cergas dan riang kini keadaanku begitu jauh berbeza. Setiap ruang tubuhku boleh dilihat kebiru-biruan kerana lebam sehinggakan mendapat perhatian daripada guru. Namun aku hanya berdalih menyatakan bahawa ini terjadi kerana sikap degil dan tidak mendengar kata orang tua. Guru hanya menggelengkan kepalanya sambil menasihati agar aku menurut kata orang tuaku. Aku hanya menganggukkan kepala sambil memandang lantai mendengar nasihat daripada guruku. Rakan-rakan sekelas turut memandangku tanda simpati.

Sepanjang masa guru mengajar aku langsung tidak dapat menumpukan perhatian selain hanya mampu melihat jam di dinding. Semakin hampir waktu pulang dari persekolahan maka semakin kuat pula degup jantungku rasakan di saat itu. Saat ku melangkah kaki pulang ke rumah setiap langkah ku rasakan begitu berat sekali. Rumah yang sudah terpampang di depan mata seakan begitu jauh sekali untuk ku tujui. Aku meneruskan langkah hingga ke muka pintu lalu memberikan salam. "Hah, kenapa baru sekarang baru pulang ke rumah?", terdengar satu suara menengkingku. Kelihatan wajah bapa tiriku yang menyinga kemarahan. "Pang!", satu tamparan hinggap di pipiku. Seketika ku rasakan pandanganku berpinar.


Tidak cukup dengan itu satu tumbukan keras tepat menyinggahi muka ku. Disaat itu juga aku rebah ke lantai lantaran di tumbuk begitu keras sekali. Kebetulan ibu baru sahaja pulang dari kedai kerana membeli barangan untuk sajian makan malam untuk kami sekeluarga. Ibu terus menerpa ke arahku serta memangku diriku. "Abang! Kenapa ni..tidak cukupkan apa yang telah abang lakukan selama ini kepada anak kita. Apa abang sekarang ingin menjadi pembunuh? Kenapa tidak abang bunuh sahaja saya sekali", teriak ibu tidak tahan melihat aku diperlakukan sebegitu. Kali ini ibu bertindak nekad mempertahankan ku. Begitulah kasihnya seorang ibu.

Bermulalah satu lembaran baru dalam hidupku bilamana ayah tiriku yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditukarkan ke syif malam. Setiap hari seawal jam 6 pagi aku dikejutkan oleh ibu untuk bersarapan sebelum ke sekolah. Ibu menasihatkan ku agar sebaik sahaja selesai persekolahan hendaklah terus pergi ke rumah pamanku dan pulang sebaik sahaja malam kerana bapa tiriku akan bekerja syif malam. Manakala setiap hujung minggu pula seperti biasa ibu akan mengejutkan ku di awal pagi. Selesai sahaja bersarapan aku akan menuju ke taman permainan dan menyambung kembali mimpiku di tempat rehat yang disediakan kerana keadaan sekitar yang masih gelap. Bila keadaan sudah bertambah cerah aku akan berjalan kaki menuju ke rumah pamanku.

Ada ketika sewaktu aku senang enak dibuai mimpi, aku dikejutkan oleh pasangan ibu bapa yang membawa anak-anak mereka di taman permainan tersebut. Mungkin kerana kasihan melihat keadaan diriku maka mereka turut sama menjemput ku untuk menikmati juadah berupa kuih yang mereka bawa . Keadaanku yang boleh diumpamakan lari dari rumah ini berterusan sehinggalah ke Sekolah Menengah. Namun itu tidak membuat aku lupakan untuk mengulangkaji pelajaran walaupun diluar rumah. Dengan keadaan keluargaku yang sememangnya bukan dari golongan yang berada membuat aku sentiasa menginsafi keadaan kami itu. Seterusnya aku bertekad dalam mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Tibalah pada waktu itu aku menghadapi peperiksaan SRP dengan berbekalkan sedikit doa serta restu dari ibu. Aku berusaha keras untuk memastikan kejayaan berada dalam dakapanku. Berkat dari sikapku yang mengambil berat akan soal pelajaran walaupun diabaikan serta sering didera oleh bapa tiriku, aku berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Ibu mendengar keputusan peperiksaan ku dengan gembira dan penuh rasa syukur. Permohonan ku untuk memasuki sebuah sekolah berasrama penuh di bandar peranginan Port Dickson telah diluluskan. Kini aku dapat mengemudi kehidupan serta menumpukan pelajaran dengan tenang tanpa gangguan. Setiap bulan aku akan pulang ke kampung untuk melihat ibu bagi melepaskan rindu dendam apabila tinggal berjauhan.

Ibu akan tersenyum gembira menyambut kepulanganku. Ibu seperti biasa akan bertanya khabar diriku. Sekarang bapa tiriku kelihatan tidak lagi bersikap dingin seperti dulu. Kalau dulu dia sering menyambutku dengan garang. Kali ini terpancar sedikit senyuman dari wajahnya. Kini keadaan telah kembali seperti sediakala sebagaimana dahulu. Tibalah saat aku mengambil peperiksaan SPM di ketika itu. Aku cuba membuat yang terbaik untuk semua dengan harapan aku akan menjadi kebanggaan keluargaku. Alhamdulillah aku berjaya juga mendapat keputusan yang cemerlang. Namun pada ketika itu aku telah mengambil keputusan yang aku akan mendapatkan kerja bagi menampung kehidupan kami sekeluarga selain dari punca pendapatan bapa tiriku.

Sedang aku sedang sibuk bekerja pada satu hari, aku telah menerima satu panggilan telefon yang menyuruhku pulang ke rumah segera kerana bapa tiriku sedang sakit tenat. Selepas meminta pelepasan dari penyelia tempatku bekerja aku segera bergegas pulang. Saat ku tiba dirumah aku terus mendapatkan bapa tiriku yang sedang terlantar. Aku merangkul tangannya dan memberi kata semangat buat bapaku yang nazak. Seketika bapa tiriku bersuara dalam nada yang tersekat-sekat, "Anakku! Sesungguhnya bapamu ini telah begitu banyak membuat salah terhadapmu. Walau mungkin sukar bagimu untuk memaafkan perbuatan ku yang lampau, namun pada kali ini bapa ingin sekali mengharapkan kemaafan darimu agar dapat memaafkan bapa nak".

Tanpa ku sedari airmataku mengalir tatkala mendengar permintaan seorang insan yang ku kenali sebagai bapa tiri lantas membisikkan ke telinganya "Bapaku! Sesungguhnya apa yang berlaku satu ketika dahulu telah pun aku maafkan. Tidak pernah sekali aku menyalahkan dirimu di atas segala apa yang berlaku. Kerana mungkin apa yang terjadi adalah atas kesilapanku sendiri. Apa yang kupinta darimu hanyalah secebis kemaafan dari anakmu ini. Ampunkan segala dosaku yang mana mungkin telah membuat dirimu marah". Seketika bapa tiriku mengangguk lemah diselangi dengan batuk yang tidak putus. Lalu ku memperdengarkan kalimah Syahadah dicuping telinganya. Kelihatan mulutnya terkumat kamit sambil menghela nafas nafas yang panjang.

Seraya pada ketika itu juga aku menutup matanya sambil mengucap tasbih ke hadrat ilahi agar menempatkan rohnya dikalangan orang-orang yang beriman. Seketika ku rasakan pada saat itu saat ku memberi kemaafaan kepada bapa tiriku. Seakan telah terlepas satu beban yang telah sekian lama ku pendam. Sekian.

Ps:- Sekadar cerita rekaan.

sumber: www.nyelam.net

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text