Pages

Ads 468x60px

Friday, June 23, 2006

Ramai lelaki tidak berkahwin di Johor berbanding wanita

Ramai lelaki tidak berkahwin di Johor berbanding wanita

UM-23/6/2006

JOHOR BAHRU 22 Jun - Golongan lelaki berumur 30 tahun ke atas yang belum berkahwin di Johor adalah seramai 66,185 orang berbanding wanita iaitu 32,117 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Dr. Robia Kosai berkata, hasil kajian penduduk dan keluarga Malaysia pada 2004 mendapati sebanyak 44.7 peratus lelaki memilih alasan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, merasa serba kekurangan dan hantaran terlalu mahal.

Menurutnya, sebanyak 12.6 peratus lelaki pula memberi alasan sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk bertemu dengan pasangan di samping memilih hidup membujang kerana dianggap selesa berbanding berkahwin.

Beliau berkata, mereka juga memberi alasan bahawa tiada calon sesuai, sukar cari pasangan, terlalu memilih dan keluarga terlalu memilih.

Menurut Robia, bagi membantu menangani fenomena tidak berkahwin atau berkahwin lambat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengadakan banci bagi meneliti punca seseorang itu tidak berkahwin atau kahwin lewat.

''LPPKN memandang serius isu itu dan mengambil inisiatif mengadakan seminar yang mensasarkan individu lelaki yang belum berkahwin berumur 25 tahun ke atas dengan tujuan untuk merangsang dan membuka minda golongan itu.

''Ia bagi memberi motivasi untuk berkahwin dengan pengisian program hikmah dan nikmat hidup berumahtangga serta menjadikan kehidupan berkeluarga sebagai satu ibadah," katanya semasa menggulung perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Menurutnya, angka tersebut sekali gus menyangkal dakwaan bahawa wanita lebih ramai tidak berkahwin di Johor.

Mengenai bapa tunggal pula Robia berkata, golongan itu digalakkan mendaftar di LPPKN supaya kehendak dan cabaran yang dihadapi oleh mereka dapat dikenal pasti dan di kaji supaya tindakan dapat diambil.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text