Oleh ZULKIFLEE BAKAR (WARTAWAN UTUSAN)1/6/2006
SETELAH menempuh pelbagai perdebatan berhubung perkahwinan misyar, perbahasan seolah-olah sampai ke kemuncaknya apabila Sheikh Al Azhar Mesir, Prof.Dr Muhammad Sayyed Tantawi menegaskan perkahwinan misyar sah dari segi hukum syarak.
Apa yang lebih menarik Tantawi seolah-olah menutup hujah pelbagai pihak sebelum ini yang menganggap perkahwinan berkenaan hanya akan mendatangkan penganiayaan kepada kaum wanita.
Tantawi berhujah soal tersebut seharusnya tidak wujud kerana segala-galanya berjalan mengikut apa yang dipersetujui oleh suami isteri.
Kenyataan Tantawi ini sudah pastilah akan 'menutup mulut' sesetengah pihak yang sebelum ini lebih cenderung melihat perkahwinan misyar dari segi sudut negatif terutamanya semata-mata demi untuk memperalatkan kaum wanita.
Selain itu sebagai ulama besar yang dihormati Tantawi membuat ulasan berhubung isu pernikahan misyar ini kerana menganggap ia bukanlah satu isu remeh-temeh yang boleh dipinggirkan begitu sahaja.
Apa yang perlu difahami perkahwinan adalah satu persoalan besar dalam Islam, ia bakal penentu generasi akan datang.
Justeru jika timbul tanggapan bahawa perdebatan misyar ini hanyalah 'membuang masa umat Islam' dan kononnya ada isu lebih besar yang harus diperbincangkan, kita hakikatnya seolah-olah meraba-raba dalam terang.
Sememangnya, sepanjang isu misyar ini, kita sudah mendengar pelbagai hujah malah sesetengah hujah yang dibentangkan hanya dilihat dari sudut sosial semata-mata tanpa mempertimbangkan bahawa ia adalah perkara yang dibenarkan hukum syarak.
Kesudahannya perbincangan mengenai misyar tidak ke mana hanya berlegar sekitar penganiayaan terhadap kaum wanita dan memudahkan kaum lelaki berpoligami.
Pandangan dangkal seumpama ini seharusnya tidak wujud jika mereka yang bercakap itu memahami erti misyar sebenar.
Misyar bukanlah penganiayaan, misyar bukanlah penderitaan dan sudah tentu misyar juga bukanlah penindasan.
Tetapi ia adalah ikatan perkahwinan yang sah dan hanya istilahnya sahaja yang agak berbeza.
Perkahwinan misyar sama seperti pernikahan biasa mewajibkan wali, ijab kabul dan mas kahwin, soal siapa hendak menyara siapa bukanlah syarat utama.
Apa yang penting, jika si isteri bersetuju untuk menanggung semua nafkah zahir ia bukanlah satu penganiayaan tetapi dilaksanakan atas persetujuan bersama.
Atas sebab itulah para ulama termasuk Dr. Yusuf Al Qaradawi dan Tantawi menganggap perkahwinan misyar wajar dilaksanakan kerana "kalau kedua-dua pihak bersetuju untuk menolak haknya jadi kedua-dua pihak dapat hidup dengan aman sempurna."
Sebenarnya isu misyar seperti juga isu poligami sering sahaja dilihat dari sudut negatif sehingga kita terlupa bahawa ia dibenarkan oleh Islam.
Kesudahannya timbul kecelaruan di kalangan masyarakat Islam sehingga istilah nafkah batin lebih dilihat dari sudut seks semata-mata dan bukannya soal kasih, sayang dan cinta serta keprihatinan.
Justeru adalah diharapkan dengan kenyataan Tantawi tidak ada lagi pihak yang mempertikaikan perkahwinan misyar berdasarkan sentimen emosi.
No comments:
Post a Comment