Pages

Ads 468x60px

Wednesday, June 21, 2006

Kamariah gagal buktikan sudah keluar Islam – Pendakwa

Kamariah gagal buktikan sudah keluar Islam – Pendakwa

UM 21/6/2006

KUALA TERENGGANU, 20 Jun – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini diberitahu bahawa Kamariah Ali, 51, yang didakwa mengaku keluar Islam bagi mengelak diri daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama, gagal membuktikan sebarang keraguan munasabah terhadap fakta utama yang dikemukakan pihak pendakwa.

Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah berkata tidak ada bukti kukuh yang menyokong keterangan Kamariah, seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Ayah Pin, bahawa dia sudah keluar Islam pada 1999.

Malah, apa yang cuba dibangkitkan oleh peguambela Kamariah, Sa'adiah Din terhadap keterangan saksi pertama pendakwa Yusof Salleh yang mengaku pernah mendengar berita mengenai tertuduh yang telah keluar Islam, tidak boleh diterima pakai kerana ia adalah keterangan dengar cakap.

Katanya bukan menjadi tanggungjawab pihak pendakwa untuk membuktikan tertuduh sudah keluar daripada Islam ketika ia dituduh melakukan perbuatan itu pada 21 Julai tahun lepas, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab tertuduh sendiri.

Mustafar dalam hujahnya yang memohon mahkamah menolak hujah yang dikemukakan tertuduh sebelum ini berkata: "Ia bukan menjadi tanggungjawab pendakwa untuk memikul beban bukti tertuduh bukan Islam kerana tertuduh sendiri yang mengaku bukan Islam. Maka ia menjadi tanggungjawab tertuduh membuktikan hal berkenaan."

Kamariah bekas ustazah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir didakwa mengikut Seksyen 7, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengaku bukan Islam.

Dia dituduh membuat kenyataan keluar daripada Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Sidek kira-kira pukul 12.50 tengah hari pada 21 Julai 2005 di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.

Mengikut Seksyen 7, Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001, seseorang Islam yang mendakwa dirinya sebagai seorang bukan Islam untuk mengelak daripada diambil apa-apa tindakan di bawah enakmen tersebut atau mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

"Segala hujah yang dibawa tertuduh iaitu pernah membuat pengakuan pada 1999 dilakukan tanpa membawa sebarang bukti dan ia hanyalah satu penafian bagi mengelak tindakan diambil keatasnya terhadap kesalahan mengikut Seksyen 10 Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001," katanya.

Katanya, catatan prosiding mahkamah ketika tertuduh melafazkan kenyataan itu di bilik perbicaraan Mahkamah Rendah Syariah Besut juga telah membuktikan 'prima facie' kes ini dan beliau memohon mahkamah untuk mensabitkan tertuduh dengan dakwaan itu.

Hakim Mohamed Abdullah menetapkan 20 Ogos ini sebagai tarikh keputusan kes dan membenarkan Kamariah dibebaskan dengan jaminan sedia ada sehingga tarikh berkenaan.

– Bernama

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text