Soal Jawab: Liberalisme, pluralisme ciptaan orientalis Barat
APAKAH maksud sebenar fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang kini dikatakan mula mempengaruhi umat Islam.
Liberalisme iaitu kebebasan individu tanpa had ialah fahaman yang timbul pada kurun ke-16 dan 17 ketika zaman kebangkitan atau Renaissance iaitu golongan intelektual menyerang pentadbiran gereja.
Ketika itu agama Kristian dikawal Roman Katolik, jadi orang awam tidak boleh tafsir Kitab Injil, kecuali pihak gereja. Mereka yang menentang pihak gereja akan diseksa seperti dijemur di tengah jalan, dibakar hidup-hidup dan dikurung dalam kotak besi.
Maka, timbul kumpulan dan pendapat mengatakan Kitab Injil itu harus ditafsir semula dan daripada idea itu timbul pelbagai mazhab dalam agama itu seperti Protestan, Anglikan dan berpuluh-puluh lain lagi.
Pendapat mazhab ini jauh berbeza antara satu sama lain sehingga muncul kenyataan 'kebenaran itu tidak selamanya benar dan harus dinilai semula'. Dari situ, timbul fahaman iaitu Kitab Injil itu sendiri diturunkan dalam bahasa tuhan perlu diterjemahkan ke bahasa yang boleh difahami orang lain.
Tindakan itu dengan sendirinya menjadikan kitab itu sebagai unsur manusiawi iaitu masing-masing memahami kitab itu dengan bahasa sendiri. Bila ini berlaku, mereka ada hak mengubah atau mengolahnya bila dirasakan (kandungannya) tidak lagi relevan (dengan keadaan semasa).
Dari situ, timbul pula pendapat dipelopori John Hick bahawa semua agama itu boleh diterima kerana tujuannya satu cuma jalannya berlainan, maka lahirlah pluralisme.
Ia kemudian dijadikan senjata oleh orientalis atau penjajah Barat untuk menyerang Islam kerana serangan lebih 200 tahun dengan senjata nyata tidak dapat menundukkan orang Islam. Walaupun, pada kurun ke 15 dan 16, banyak negara Islam dapat dijajah, mereka tidak dapat menguasai hati orang Islam.
Jadi timbul fikiran bahawa serangan fizikal tidak memberi kesan kepada orang Islam, tetapi menyerang Islam menerusi fikiran maka lahirlah pejuang Kristian yang menghabiskan banyak masa pergi ke negara Islam khususnya di Timur Tengah untuk mengkaji sumber Islam dan mencari kelemahan yang boleh diserang.
Mereka kemudian menubuhkan pengajian Islam di universiti di Eropah dan orang Islam melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dan kedoktoran mendapat pendidikan daripada tenaga pengajar orientalis sehingga menimbulkan 'racun' dalam pemikiran pelajar Islam itu.
Sejak bila pemikiran liberalisme dan pluralisme agama ini mula bertapak di negara ini.
Pemikiran ini mula meresap ke golongan intelektual dan profesional Islam sejak beberapa tahun lalu dan mula menunjukkan kelantangannya sejak akhir-akhir ini, apabila menyeru supaya apa yang berlaku kepada Kitab Injil dilakukan terhadap al-Quran dengan kenyataan meminta al-Quran diolah semula.
Firman Allah jelas menyatakan al-Quran itu diterima terus oleh Rasulullah daripada Allah yang bermaksud ia ayat Tuhan yang tidak boleh diolah.
Mereka lupa bahawa sejak al-Quran diturunkan, jutaan umat Islam menghafaznya dalam bahasanya yang asal dan tiada sesiapa boleh menambah atau mengurangkan walau satu huruf dalam kitab suci itu. Mereka menuduh pula al-Quran sebagai mushaf Quraisy, tetapi berdasarkan sejarah kita sendiri tahu bahawa orang yang menjadi jurutulis al-Quran terdiri daripada pelbagai keturunan termasuk dari Afrika.
Bolehkah kita kenal pasti penganut fahaman ini di Malaysia.
Di Malaysia, golongan ini tidak membuat pengisytiharan terbuka mengenai kedudukan mereka berbanding di tempat lain seperti di Indonesia. Di negara ini, mereka hanya meledakkan idea fahaman itu menyatakan al-Quran mesti diolah semula, ayat berkaitan sistem faraid serta amalan poligami tidak relevan lagi serta kedudukan lelaki sebagai 'superior' dalam rumah tangga juga sudah tidak relevan.
Ia mungkin tidak lagi relevan dalam masyarakat Barat kerana Kitab injil itu mereka karang sendiri. Sebenarnya, Tuhan maha bijaksana dengan menciptakan hukum untuk hambanya.
Walaupun sekarang zaman atom, zaman nuklear, kemudahan untuk manusia dan alam itu tetap wujud maka tuhan mengaturkan sesuatu untuk dijadikan pegangan manusia itu dan ia sesuatu yang sempurna.
Malah, tabiat manusia pun pemimpin dalam rumah tangga itu ialah lelaki. Bangsa apa pun sejak zaman lampau, malah mereka yang tinggal dalam hutan atau gua pun, masih mengekalkan perkara ini. Itu sudah tabiat manusia.
Islam liberal menghalalkan perkahwinan sejenis, manusia normal dan waras mana yang boleh menerimanya kerana perkahwinan itu tetap bertujuan menyambung kesinambungan zuriat manusia. Itu tujuan asas perkahwinan.
Jika perkahwinan sejenis dibenarkan, tiada lagi keturunan manusia (pada masa depan). Tetapi, oleh kerana mereka mahu menerima budaya moden, mereka sanggup mengorbankan akal, fikiran dan nafsu asasi, malah menjual agama untuk kepentingan dunia yang sedikit.
Adakah bilangan pengikut fahaman ini ramai di Malaysia.
Bilangan sebenar sukar dinyatakan kerana mereka tidak berpersatuan. Tetapi kita beranggapan walaupun mereka tidak menganggotai persatuan itu, mereka banyak mendapat sokongan kerana golongan menerima fahaman ini boleh dikategorikan sebagai intelektual.
Golongan profesional tertentu pandai bercakap dan menulis sedangkan ulama dan golongan yang memperjuangkan Islam di negara ini tidak begitu profesional serta tidak cenderung dalam menulis menyebabkan tulisan mereka jarang kita lihat untuk menangkis fahaman ini.
Khususnya serangan ini dibuat dalam bahasa Inggeris, sekali gus mempengaruhi golongan berpengetahuan dalam bahasa Inggeris sedangkan ulama kita kurang sangat tahu bahasa Inggeris serta kurang membuat kajian pergerakan liberal dari segi akar umbinya.
Oleh itu, rahsia penganut fahaman ini sukar diketahui dan hujahnya tidak ditangkis. Ini kekurangan kepada pejuang Islam dan mereka mengambil kesempatan daripada kekurangan ini.
Malah, mereka bergabung dengan (sesetengah pihak) agama lain yang sememangnya juga tidak ingin melihat kekuatan Islam tegak di Malaysia. Masalah lain pula ialah gerakan ini dipelopori golongan berpendidikan tinggi secara Barat dan mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat. Ini agak sulit sedikit berbeza dengan golongan Ayah Pin.
Adakah mereka dibantu atau mendapat sokongan luar.
Saya difahamkan mereka mendapat sokongan luar. Di Indonesia, mereka mendapat imuniti undang-undang iaitu ada pihak tertentu dari luar yang menghalang tindakan undang-undang dikenakan sedangkan ada peruntukan di Indonesia yang boleh mengenakan tindakan terhadap Presiden negara itu jika melakukan kesalahan.
Setakat ini, adakah fahaman ini sudah mula tersebar di kalangan pelajar terutama di institut pengajian tinggi (IPT).
Ya, sekarang mereka cuba meluaskan pengaruh pada peringkat universiti dan golongan intelektual. Itu yang sudah berlaku di Indonesia dengan sasaran mereka ialah pensyarah pengajian Islam.
Sebab itu kita melihat (di Indonesia) golongan memperjuangkan liberalisme dan pluralisme agama adalah intelektual Islam berkelulusan agama dengan menyatakan ini satu pendapat, falsafah dan pemikiran baru berbentuk ilmiah diceduk daripada pendapat sarjana terdahulu.
Sedangkan firman Allah ialah orang beriman dan beramal soleh perlu beriman dengan Allah dan Rasul. Beriman dengan Allah ialah mempercayai kandungan al-Quran yang didatangkan menerusi Rasul.
Tetapi, mereka memperkecilkan (peranan) Rasul. Firman Allah: "Allah mengurniakan kepada orang mukmin seorang rasul daripada kalangan mereka sendiri (manusia) yang membacakan ayat-ayat tuhan dengan terang dan dia mengajarkan kandungan al-Quran dan ilmu lainnya sedangkan sebelum itu mereka orang yang tidak mengetahuinya."
Ayat ini menjelaskan Rasul saja yang berhak mentafsirkan al-Quran kerana Baginda diajar dengan fikiran cukup kuat oleh Jibril mengenai maksud dalam kitab suci itu. Maka orang menafsirkan al-Quran hanya dengan fikirannya semata-mata, adalah tergolong sebagai ahli neraka.
Mungkin kewujudan golongan ini berpunca daripada kelemahan sistem pentadbiran Islam di negara ini, khususnya Mahkamah Syariah yang dikatakan banyak mendiskriminasi wanita.
Sistem pentadbiran agama Islam di negara ini tidak pernah menekan wanita. Mahkamah Syariah sebenarnya membela orang Islam khususnya wanita Islam dengan membicarakan soal nafkah, hak harta sepencarian dan sebagainya dan wujud untuk melahirkan keluarga yang sempurna dan bahagia.
Mungkin wujud kecuaian dalam pelaksanaannya yang kelihatan seperti satu kelemahan. Tetapi, kelemahan ini tidak boleh dijadikan alasan mengatakan agama Islam sebagai tidak sempurna.
Pada masa sama, undang-undang sivil juga khususnya di Barat lebih banyak kelemahannya tetapi kerana mereka dianggap superior ia tidak diperkatakan. Sebahagian daripadanya adalah sikap inferiority complex (di kalangan orang Islam sendiri).
Adakah fahaman ini sebenarnya hanya satu bentuk perbezaan pendapat dalam Islam saja.
Fahaman ini bukan setakat perbezaan pendapat, tetapi amat bertentangan dengan Islam dan boleh menjurus kepada syirik dan mungkin kepada murtad.
Dalam fahaman pluralisme jika kita mengatakan semua agama adalah sama, jadi tidak perlu menganut Islam, apa guna Tuhan memberi amaran yang banyak dalam al-Quran mengenai perbuatan orang kufur dan menolak peringatan Tuhan.
Tidakkah ini akan menunjukkan seolah-olah orang Islam dan agamanya tidak memiliki sifat toleransi kerana tidak mahu menerima fahaman orang lain.
Kita bukan tidak mahu terima fahaman orang lain, tetapi setiap benda yang menggugat akidah dan menafikan syariat, kita tidak boleh terima. Dalam Islam, ada perkara sudah qat'ie (ditetapkan) seperti sifat Tuhan yang kita tidak boleh persoalkan. Begitu juga dalam hukum syarak dan ibadat puasa, solat dan mengucap dua kali syahadah.
Walaupun ada pelbagai mazhab dalam Islam, perkara pokok seperti solat lima waktu, mengucap dua kalimah syahadah dan menghadap kiblat ketika bersolat, tidak pernah dipersoalkan.
Jadi, jika mengubah yang qat'ie ia boleh menjadi murtad sehingga sekarang yang tidak pandai cakap Arab pun membuat kenyataan seolah-olah dia lebih pandai daripada Rasul.
Tetapi, mungkin fahaman mereka yang agak liberal tetapi pada masa sama masih mengaku dan melakukan perkara asas dalam Islam seperti solat, puasa.
Kita perlu melihat liberal dalam bentuk yang bagaimana. Jika sudah menyentuh soal akidah, itu tidak boleh dipanggil liberal (dalam Islam) tetapi sudah menyimpang.
Ia berbeza liberal dari segi hukum yang khilaf seperti isu batal air sembahyang. Bagi Mazhab Hanafi, lelaki sentuh wanita tak batal, Mazhab Shafie kata batal, Mazhab Maliki kata jika sentuh dengan syahwat batal.
Dalam keadaan seperti ini boleh liberal seperti ketika mengerjakan tawaf di Baitullah, saya katakan boleh ambil logik mazhab Hanafi. Cuma perlu tahu juga apa nasnya (bagi membenarkannya), itu saja masalahnya. Tetapi, tidak kita boleh khilaf seperti solat Jumaat ditukar kepada Ahad kerana ia hari cuti umum atau wanita menjadi imam untuk lelaki dan wanita. Perkara ini dilarang kerana ia sudah jadi itjimak ulama.
Kita tidak boleh mengubah semata-mata untuk mewujudkan hak persamaan. Islam tidak pernah mendiskriminasi wanita. Islam sudah mengatur hak wanita dan hak lelaki.
Islam tidak melarang wanita bekerja tetapi biarlah pekerjaan sesuai dengan wanita.
Adakah fahaman ini sebenarnya hanya lanjutan daripada pelbagai fahaman yang wujud dari zaman silam seperti muktazilah, jabariah dan khawarij.
Fahaman seperti khawarij dan syiah lebih berbentuk politik kerana tidak mahu menerima arahan pemerintah ketika itu. Tetapi, kita tidak menafikan ada mazhab dalam Syiah yang terkeluar dalam akidah dan tidak boleh diterima.
Dalam Sunnah Wal Jamaah, walaupun khilaf dari segi fahaman syariat, ia masih tidak terkeluar daripada Islam, hanya berbeza daripada masalah furuk (cabang kecil) dan tidak khilaf dari segi masalah usul (utama).
Justeru, Datuk Seri menganggap fahaman liberalisme dan pluralisme ini bukan cabang daripada perbezaan pendapat dalam Islam.
Fahaman ini sebenarnya daripada Yahudi kerana daripada dulu lagi mereka memang berniat untuk menyesatkan orang Islam.
Bagaimana perkembangan fahaman ini di Malaysia, adakah ia kelihatan semakin berbahaya kepada akidah Islam.
Di Malaysia, bibit-bibitnya sudah kelihatan seperti menafikan azab kubur, hukum aurat dan sebagainya. Ini bibit liberalisme dan ia cukup berbahaya apatah lagi dalam masyarakat ketika ini apabila pelajaran agama tidak lagi dianggap penting, sebaliknya hanya untuk lulus peperiksaan akibat pemisahan pelajaran agama dengan akademik.
Fahaman agama semakin tipis akibat dijajah dan dinafikan hak pendidikan selama 480 tahun oleh penjajah.
Ketika penjajahan, penjajah hanya mendirikan sekolah mubaligh kristian, jadi orang Islam tidak mahu pergi ke sekolah itu, Penjajah kemudian bagi alasan orang Melayu sendiri tidak mahu menerima pendidikan. Ini semua strategi untuk melemahkan orang Islam.
Pada masa sama, fikiran kita masih beku, sejak penjajahan sehingga sekarang saya boleh katakan hanya 10 peratus orang Melayu Islam yang capai tahap profesionalisme sebenar. Kita masih terus dengan khayalan ibarat pepatah 'menang sorak kampung tergadai' kita lupa.
Oleh itu, apa tindakan boleh dilakukan untuk mengekang fahaman ini daripada merebak.
Kita perlu beri kesedaran. Kita tidak boleh membanterasnya tanpa beri kesedaran, khususnya di kalangan ulama dan guru agama. Jika mereka (ulama dan guru agama) sendiri tidak faham, bagaimana mahu berhadapan dengan golongan ini dan mungkin mereka sendiri pula akan terpengaruh.
Bila kami mengadakan seminar hal ini baru-baru ini, ia semata-mata untuk mendedahkan perkara ini kerana tidak mahu ia menjadi parah seperti di Indonesia sehingga universiti Islam sudah kekurangan pelajar, hanya tinggal tujuh atau lapan orang mengikuti pengajian syariah.
Di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama, jika orang Melayu Islam bergaduh dalam pelbagai isu (akibat perbuatan golongan liberalisme dan pluralisme), bagaimana Islam mahu dipertahankan.
Tidakkah Datuk Seri berhasrat mengadakan dialog dengan golongan ini untuk menyedarkan mereka.
Saya memang mencadangkan dialog dengan mereka dengan pembabitan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Jabatan Agama negeri dan Jabatan Mufti setiap negeri.
Adakah Datuk Seri yakin menerusi dialog ini mereka boleh berubah atau masih tetap mempertahankan fahaman dianuti.
Kita tidak boleh memaksa mereka menerima (apa yang kita minta) kerana ini fikiran manusia. Terpulang kepada mereka memilih jalan keluar, sesat daripada Islam atau jalan kebenaran. Kalau mereka memilih jalan sesat, ada firman Allah "Apabila mereka memalingkan diri daripada kebenaran, maka Allah akan memalingkan hati mereka, dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada golongan yang fasik."
Ini bermakna kalau mereka pilih jalan fasik, tuhan tidak mengatakan jalan itu benar, walaupun seluruh manusia mengatakannya begitu.
Bagaimana jika mereka meneruskan usaha menyebarkan fahaman kepada orang ramai.
Liberalisme dan pluralisme ini boleh ditafsirkan sebagai ajaran sesat. Jika dikategorikan sebagai ajaran sesat mengikut Enakmen Jenayah Syariah, mereka boleh dikenakan tindakan jika menghasut orang ramai sama ada secara penulisan atau menggunakan pendekatan pengajaran dan perkumpulan.
Ketika ini, sudah ada fatwa dikeluarkan menyatakan mereka sebagai ajaran sesat.
Setakat ini, hanya pendapat dan belum ada fatwa secara rasmi mengatakan mereka sebagai ajaran sesat. Ia dinyatakan pada Muzakarah Ulama 2006 di Ipoh Selasa lalu, dalam satu daripada resolusinya ialah fahaman liberalisme dan pluralisme ini adalah ajaran sesat.
Seminar itu dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri atau wakilnya, intelektual Islam; Mufti Kelantan, Sabah, Johor, Kedah serta wakil Mufti bagi negeri lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Selain penulisan, difahamkan golongan ini juga menggunakan kaedah internet untuk menyampaikan fahaman mereka.
Kita sendiri tiada laman web khusus menentang mereka. Saya cadangkan setiap Jabatan Agama dan Mufti mengadakan laman web. Malangnya di Jabatan Mufti ini, kita tidak mempunyai kakitangan mencukupi dan golongan profesional yang mahir dalam penyelidikan.
Jabatan Mufti ini mengikut skim penjawatan dalam kerajaan yang mempunyai kategorinya sendiri.
Justeru, saya harap NGO Islam yang mempunyai golongan profesional dan pakar dapat membantu.
Adakah NGO Islam menyedari hal ini.
Alhamdulillah, NGO Islam menyedari hal ini. Di Perak baru-baru ini, 45 NGO Islam mengadakan perhimpunan menyatakan sokongan menentang fahaman ini.
Pada Muzakarah Ulama 2006 lalu, terdapat 23 resolusi menyentuh isu liberalisme dan pluralisme ini, apa tindakan selanjutnya.
Semua resolusi ini akan diperhalusi dan diperbaiki dari segi bahasanya dan apabila siap akan diserahkan kepada Sultan Perak, kerajaan negeri, semua Jabatan Agama Islam negeri dan kerajaan pusat.
Tindakan ini dilakukan untuk memberi ingatan kepada pimpinan kerajaan mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, kerajaan perlu memantau agar klausa ini tidak diusik atau dikacau terutama orang bukan Islam. Mereka (bukan Islam) boleh mengamalkan agama mereka, memajukan diri dengan agama mereka tetapi tidak berhak campur tangan dalam isu agama Islam.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
No comments:
Post a Comment