Poligami: Isteri baru kena cukai
Oleh Nurul Adlina Kamaludin-BH 12/6/2006
POLIGAMI – perkataan yang sudah cukup membolehkan si lelaki tersenyum
lebar manakala wanita pula bermuram durja. Namun, suka atau tidak,
hakikatnya poligami atau beristeri ramai sudah menjadi sebahagian
daripada masyarakat dunia.
Islam mengharuskan amalan itu dengan syarat lelaki terbabit mampu dari
segi zahir dan batin untuk berbuat demikian, bagi mengelak timbulnya
masalah sosial seperti hidup bersama tanpa ikatan yang cuma
bergelumang dengan dosa.
Namun, sejak akhir-akhir ini kisah rencah kehidupan poligami tidak
hanya membabitkan masyarakat Muslim. Buktinya, ada saja pelbagai kisah
menarik mengenai poligami bagi penganut agama Kristian baik Amerika
Syarikat mahu pun di Afrika.
Bagi dunia Islam khususnya yang belum pun 'kering' dengan kejutan
kisah perkahwinan misyar di Arab Saudi serta harga nilai mas kahwin
yang melambung mengikut harga minyak di negara Arab, kini dikejutkan
dengan tindakan drastik pihak berkuasa tempatan sebuah bandar
Bangladesh – negara ketiga paling ramai umat Islam di dunia, yang
mengenakan cukai poligami.
Apa yang menghairankan, setakat ini, tiada pula sebarang laporan
lelaki bangkit menentang peraturan baru itu di bandar keempat terbesar
Bangladesh, Rajshahi.
Sebuah perkhidmatan berita Islam melaporkan, Rajshahi yang turut
dikenali bandar pendidikan kerana dipenuhi institusi pendidikan serta
dihuni kira-kira 700,000 penduduk menjadi bandar pertama bertindak
berani menguatkuasakan tindakan itu.
Mulai bulan depan, mana-mana lelaki sudah berkahwin tetapi berhasrat
menambah isteri baru akan diwajibkan membayar cukai berkenaan yang
mencecah ribuan ringgit dan bertambah mengikut bilangan perkahwinan.
Alasannya – bagi mengekang amalan yang biarpun sudah lama di negara
majoriti umat Islam itu, tetapi lebih banyak berlaku di kawasan
pedalaman berbanding bandar besar seperti di ibu negara, Dhaka.
Datuk Bandar Rajshahi, Mijanur Rahman Minu, berkata cukai yang
dikenakan bagi lelaki yang mahu berkahwin kali kedua $10,000 taka
(RM530), $30,000 taka (RM1,591) bagi perkahwinan ketiga dan $40,000
taka (RM2,121) bagi seterusnya.
Namun, secara teorinya di Bangladesh, seseorang suami sememangnya
disyaratkan meminta kebenaran isteri sebelum menambah isteri. Malah,
mereka berdepan hukuman denda jika berkahwin tanpa sebarang kebenaran
isteri.
Hakikatnya, amalan poligami di Bangladesh yang mempunyai 140 juta
penduduk – majoritinya beragama Islam, semakin berkurangan sejak 50
tahun lalu terutamanya di kawasan bandar.
Penduduk Muslim mewakili 83 peratus daripada keseluruhan penduduk
Bangladesh manakala Hindu (16 peratus) dan lain-lain (satu peratus).
Tidak dapat dipastikan pula jika konsep cukai poligami itu bakal
berleluasa di negara Islam lain.
Di Nigeria, negara Afrika yang ramai penduduk Kristian juga tidak
ketinggalan diselubungi kontroversi mengenai poligami. Akhbar tabloid
Daily Sun, awal minggu ini melaporkan kisah mengenai Jimmy Comitee
Taylor – Perdana Menteri (Ketua Menteri) kerajaan Egbema di Delta
State – antara negeri di Nigeria.
Taylor, penganut agama Kristian membuat pengakuan menyuarakan rasa
kesal kerana berkahwin tujuh! Berikutan itu, dia menceraikan enam
isterinya dan kini hanya bersama dengan seorang isteri yang
disifatkannya hadiah paling bermakna diberikan Tuhan.
"Sewaktu mula-mula berkahwin, rasa seperti di puncak dunia kerana
menjadi pemimpin dan ramai isteri. Namun, kebahagiaan itu tidak lama
apabila saya mengetahui rancangan jahat enam isteri lagi.
"Malah, mereka merancang untuk membunuh saya demi harta biar pun ada
di antaranya yang saya tanggung belajar sehingga bergelar doktor dan
peguam. Tapi mereka sudah saya usir," katanya.
Taylor, 60, menganggap dirinya seperti dilahirkan semula sebagai
penganut Kristian yang sebenar.
"Tuhan mahukan saya bersyukur dengan seorang isteri dan menyebabkan
kemurkaan apabila melanggar perintah agama."
Di Amerika pula, isu poligami itu muncul berikutan kontroversi lapan
lelaki bandar Colorado, Arizona yang didakwa mengamalkan poligami
dengan gadis di bawah umur yang melahirkan beberapa orang anak.
Perbicaraan mereka bermula 13 Jun ini.
Stesen Fox News melaporkan, kesemua lelaki itu didakwa atas tuduhan
konspirasi dan melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur – dua
kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun
lamanya.
Mereka dipercayai menganggotai fahaman Fundamentalist Church of Jesus
Christ of Latter Day Saints (FLDS) – sebuah kumpulan serpihan fahaman
Mormon yang sememangnya membenarkan poligami.
Penganut FLDS itu percaya perkahwinan banyak yang didakwa diamalkan
sekurang-kurangnya 30,000 pengikut di Utah, menjanjikan kehidupan
lebih aman di syurga.
Kebanyakan pengikutnya mendiami bandar Colorado City atau di Hildale,
Utah. Kumpulan itu menjadi sasaran sejak sekian lamanya kerana
membenarkan perkahwinan gadis bawah umur dengan lelaki lebih tua.
Amalan itu dikatakan ketara selepas ia dipimpin Warren Jeffs pada
2002. Antara pengikutnya berpangkat besar seperti bekas pegawai polis
Utah, Rodney Holm yang terpaksa dihukum penjara setahun pada 2003
kerana amalan bigami. Holm, 32, didapati bersalah kerana mengahwini
Ruth Stubbs yang berusia 16 tahun pada 1988.
Jeffs, 50, pula kini menghilangkan diri selepas waran tangkap
dikeluarkan terhadapnya pada 24 Mei lalu. Dia adalah antara 10 buruan
utama polis dan pihak Biro Siasatan Persekutuan Amerika (FBI) kerana
pelbagai kesalahan jenayah.
Pemburuan Jeffs turut menyebabkan kalangan pengikut Mormon Kanada yang
berkahwin ramai, turut bimbangkan nasib mereka berikutan amalan itu.
Hakikatnya, baik lelaki bandar Rajshahi, Taylor di pelusuk benua
Afrika dan Jeffs serta pengikut FLDS mungkin berbeza agama, fahaman
dan keturunan tetapi persamaan dari segi amalan poligami.
Biarpun Barat sering memperlekeh Islam kerana amalan poligami yang
hakikatnya menetapkan syarat tertentu, terbukti agama Kristian juga
tidak terkecuali walau pun kes mereka lebih terpencil atau kurang
publisiti.
Apa yang pasti, poligami adalah masalah sejagat yang tidak mungkin
lenyap sampai bila-bila
No comments:
Post a Comment