Pages

Ads 468x60px

Sunday, June 18, 2006

Episod yang belum selesai

Episod yang belum selesai

Oleh NOOR AZAM SHAIRI-UM18/6/2006


SELEPAS hampir 10 tahun memendam rasa, bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah akhirnya muncul mendedahkan bahawa beliau sebenarnya dipaksa meletakkan jawatan ekoran 'surat layang' yang ditulisnya yang pernah menggemparkan institusi kehakiman negara.

"Saya hilang segala-galanya. Saya hilang pencen. Saya hilang beberapa tahun hidup saya. Selepas meletakkan jawatan, saya menjadi orang halimunan," katanya dalam wawancara dengan akhbar The New Sunday Times itu.

Tentang surat itu, beliau menegaskan bahawa, ia bukan surat layang sebaliknya adalah petisyen kepada Ketua Hakim Negara (ketika itu), Tun Mohd. Eusoff Chin untuk menyiasat salah laku beberapa orang hakim tertentu.

Wu Min Aun dalam artikelnya bertajuk Judiciary at the Crossroads dalam buku Public Law in Contemporary Malaysia (1999) ada membuat ringkasan tentang dokumen yang menamakan 12 orang hakim itu.

"Ia dokumen luar biasa yang mendedahkan 112 dakwaan melibatkan 39 tuduhan rasuah, 21 salah guna kuasa dan 52 salah laku, perlakuan tidak bermoral serta tingkah laku tidak bijaksana. Ia mendakwa wujudnya pemberian rasuah sebanyak RM50,000 dengan penerimanya menerima sehingga berjuta-juta ringgit daripada orang tertentu yang dinamakan."

Integriti

Bukan Syed Ahmad Idid seorang saja sebenarnya yang menerima kesan daripada suratnya itu. Tempiasnya juga, tidak dapat tidak, terkena kepada institusi kehakiman.

Integriti institusi kehakiman yang pernah disegani di seluruh Komanwel, yang kemudiannya mula goncang berikutan penyingkiran Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan dua orang hakim Mahkamah Agung pada tahun 1988, terus terhakis dipandang serong dek surat itu.

Kes surat 33 halaman itu kemudiannya dianggap selesai apabila Peguam Negara (ketika itu), Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah mengumumkan pihaknya berpuas hati bahawa tuduhan-tuduhan yang terkandung dalam surat itu "tidak benar dan tidak berasas sama sekali."

Pengumuman itu dibuat selepas beliau meneliti kertas siasatan yang dikemukakan kepadanya oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pihak polis. Menurut Mohtar, "penulis surat layang tersebut dikenal pasti dengan positif dan beliau sudah meletakkan jawatan."

Walaupun kenyataan rasmi pada ketika itu ialah bahawa tiada apa-apa yang betul tentang semua dakwaan dalam surat 33 halaman itu, ia bukanlah sesuatu yang dapat diterima dengan baik oleh masyarakat secara umumnya. Orang meragui dan bertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku.

Orang bertanya: Kenapa penulis surat itu tidak didakwa? Apakah ada sesuatu yang mahu disembunyikan yang tidak dapat ditutup kalau kes itu dibicarakan? Kenapa penulis itu tidak dinamakan secara terus tetapi disebut dengan penuh teka-teki?

Tanda tanya itu tidak pernah berjawab sampai sekarang.

Apabila Syed Ahmad Idid muncul buat pertama kalinya membuat kenyataan kepada media mengenai apa yang berlaku 10 tahun lalu itu, ia secara tidak langsung ibarat membuka semula balutan luka lama yang tidak pernah sembuh, masih berdarah dan sakitnya terasa sampai sekarang.

Ini kerana dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam surat 33 halaman itu begitu serius. Ia menikam jauh ke dalam jantung institusi kehakiman itu sendiri. Ia menambahkan cemar kepada institusi kehakiman yang sememangnya tidak lagi dipandang tinggi dan dihormati.

Apatah lagi Syed Ahmad Idid turut mendedahkan bagaimana wujudnya campur tangan dalam pengendalian siasatan kesnya itu. Dalam wawancara itu bekas hakim itu mendedahkan bagaimana Mohtar memberitahunya, bahawa beliau dipaksa untuk melakukan apa yang dilakukannya sebagai Peguam Negara pada ketika itu.

"Saya bertanya kepadanya, 'Apakah ada pistol di tengkuk saudara pada ketika itu?' Beliau menjawab, 'Bukan, meriam'," cerita Syed Ahmad Idid.

Kita harus memahami bahawa Syed Ahmad Idid tidak pernah bercakap kepada umum mengenai episod 10 tahun lalu itu. Selama 10 tahun beliau barangkali makan hati sendiri. Tetapi beliau mengakui betapa dalam tempoh itu kesetiaannya kepada negara ini tidak pernah goyah kerana apa yang berlaku itu bukan salah negara atau kerajaan tetapi "seorang dua individu.''

Jauh dalam hatinya beliau masih mahukan kebenaran yang menyelubungi episod 10 tahun lalu itu akhirnya akan diketahui juga.

"Dari sudut keadilan, biar 10, 20 atau 100 tahun sekalipun berlalu, kalau ada sesuatu ketidakadilan yang berlaku kita harus membetulkannya semula," kata Dr. Chandra Muzaffar.

Ketika ditanyakan pandangannya mengenai pendedahan Syed Ahmad Idid itu, Chandra bersetuju bahawa surat 33 halaman itu wajar disiasat semula.

"Sekiranya ada satu siasatan yang bebas, ia tentunya akan meyakinkan masyarakat kepada keutuhan institusi kehakiman negara. Apa caranya tidak penting, tetapi ia mesti disiasat dengan bebas," katanya.

Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat itu adalah antara orang yang lantang memberi komen mengenai kes itu 10 tahun lalu. Beliau menyebut bagaimana dengan mengetepikan surat 33 halaman itu sekalipun, orang memang mempunyai tanggapan bahawa ada hakim-hakim yang bersedia untuk membelakangkan undang-undang dan tunduk kepada tekanan kuasa dan wang.

Kontroversi

Apabila surat 33 halaman itu mula beredar pada sekitar awal tahun 1996, kita tentunya cepat teringat kepada apa yang berlaku dalam institusi kehakiman setahun sebelum itu. Kita jadi teringat kepada penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Ayer Molek yang cukup kontroversi itu yang menunjukkan bagaimana proses kehakiman telah diselewengkan oleh para peguam yang boleh memilih hakim untuk mengadili kes-kes mereka.

Kita juga tentunya tidak dapat mengelak untuk menyebut beberapa insiden yang berlaku selepas daripada episod 1996 itu yang turut menjadi perhatian umum. Ini termasuklah foto seorang hakim yang bercuti di luar negara bersama seorang peguam yang ada kes di hadapannya yang tersebar luas di Internet sekitar tahun 1998, pendedahan Hakim Datuk Muhammad Kamil Ahmad pada Jun 2001 tentang panggilan telefon daripada pegawai atasannya yang meminta beliau menggugurkan petisyen pilihan raya Likas serta cara beberapa kes dikendalikan di mahkamah.

Selain itu, kita juga kerap membaca laporan mengenai ada kecenderungan di kalangan segelintir hakim yang membuat serangan peribadi terhadap hakim-hakim yang lain, secara terbuka dan tidak bijaksana.

Semua insiden ini jelas mengheret seribu satu pertanyaan tentang imej kehakiman.

"Kalau ditanya kepada saya, secara jujurnya saya akan mengatakan bahawa keyakinan masyarakat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya," kata peguam kanan, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau menyebut trauma krisis kehakiman pada tahun 1988 dan menambah, "masih belum wujud satu keadaan yang mana orang ramai baik di dalam mahupun di luar negara benar-benar yakin bahawa hakim-hakim kita bebas, tidak korup dan membuat keputusan hanya berdasarkan kepada semangat perundangan."

Dalam hal itu, beliau juga bersetuju sekiranya dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan dalam surat 33 halaman itu disiasat semula sekarang.

"Kita tidak perlu bimbang dengan siasatan itu kerana ia hanyalah untuk mengembalikan keyakinan umum kepada institusi kehakiman. Kita harus mengembalikan keyakinan itu kerana integriti kehakiman adalah nadi kepada integriti negara," katanya.

Pengamal undang-undang, Prof. Salleh Buang juga mempunyai pandangan yang sama. Beliau yang sedang menyiapkan sebuah buku mengenai legasi bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Mohamed Suffian Hashim berkata, siasatan itu nanti akan menjernihkan keadaan dan menjawab pelbagai pertanyaan yang masih bermain dalam fikiran masyarakat umum.

"Kita patut siasat semula. Ini kerana sehingga sekarang orang masih bertanya-tanya dakwaan-dakwaan itu sebenarnya sudah disiasat atau tidak," katanya.

Tetapi Shaik Daud mempunyai pandangan yang berbeza. Beliau berpendapat bahawa adalah sesuatu yang agak tidak manis untuk membuka semula cerita lama ketika mana sesetengah hakim yang dituding dalam dakwaan-dakwaan surat 33 halaman itu telah bersara dan ada yang sudah meninggal dunia.

"Tetapi ini terpulang kepada kerajaan," katanya.

Dalam hal ini, Zaid berpendapat bahawa siasatan itu bukanlah untuk menghukum mana-mana individu tetapi sebaliknya adalah untuk memastikan keutuhan institusi kehakiman. Tegas beliau, sebuah institusi kehakiman yang bersih, dan dilihat bersih, adalah sesuatu yang sangat penting untuk masa depan negara.

"Ini bukan soal peribadi," katanya.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad juga bersetuju sekiranya episod yang telah ditinggalkan 10 tahun dalam sejarah itu disiasat semula. Beliau yang lantang bersuara tentang integriti juga melihat bahawa siasatan itu penting untuk mengembalikan keyakinan masyarakat kepada institusi kehakiman.

"Daripada dibiarkan begitu saja dan orang ramai terus bercakap mengenainya, eloklah hal ini disiasat semula," katanya.

Malah Shahrir juga melihat bahawa siasatan semula itu adalah sesuatu yang selaras dengan semangat pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan tentang soal integriti, ketelusan dan akauntabiliti.

Tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dalam reaksi awal kepada pendedahan Syed Ahmad Idid itu memberitahu, bahawa kes itu telah selesai dan tidak akan disiasat semula. Beliau menambah bahawa surat layang adalah sesuatu yang tidak harus dilayan, dan penulis surat layang harus dibezakan dengan orang yang mendedahkan maklumat (whistle-blowers).

Dalam hal ini, orang ramai tentunya wajar bertanya apakah surat 33 halaman itu masih boleh dilihat sebagai surat layang ketika mana penulis itu bukan saja sudah dikenal pasti tetapi beliau juga membuat pengakuan sendiri?

Sementara itu, Tun Mohd. Eusoff dalam reaksinya kepada wawancara Syed Ahmad Idid itu dipetik berkata bahawa semua dakwaan itu telah disiasat dengan rapi oleh BPR dan pihak polis. Ketika ditanya mengenai surat 33 halaman itu, beliau secara umum berkata, sekiranya sesiapa yakin mengenai sesuatu perkara, orang itu haruslah memfailkan laporan secara rasmi.

"Tetapi kalau sekiranya laporan itu tidak betul, dia boleh didakwa. Jadi seseorang itu mesti yakin dengan apa yang dikatakannya," katanya.

Beliau kemudian enggan mengulas lanjut dan menegaskan bahawa, "tidak perlu terus bercakap mengenai isu ini. Ia sudah selesai."

Menyatakan bahawa ia sudah selesai adalah satu perkara, meyakinkan masyarakat mengenainya adalah satu perkara yang lain pula. Apa yang pasti, dalam fikiran ramai orang, episod tahun 1996 itu sehingga hari ini masih kekal menjadi satu bab yang masih belum ditutup.

Pendedahan Syed Ahmad Idid baru-baru ini tentang apa yang berlaku ke atas dirinya itu hanya mencetuskan semula pelbagai tanda tanya, apakah yang berlaku sebenarnya dalam institusi kehakiman negara.

Ini satu soalan yang menuntut jawapan. Selagi itu, suka atau tidak, ia akan terus menyelubungi institusi kehakiman. Ini adalah soal keyakinan yang tidak harus diketepikan begitu saja. Apatah lagi Tun Mohamed Suffian, seorang tokoh perundangan yang diakui integritinya, malah pernah menyatakan bahawa beliau "tidak mahu dibicarakan oleh hakim-hakim sekarang, terutamanya kalau saya tidak bersalah."

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text