Komen rambang perkahwinan misyar
Ramai tidak menyokong, anggap sistem tidak menyebelahi wanita, mudah berlaku penceraian
|
SEJAK kebelakangan ini, perkahwinan misyar yang barangkali sebulan lalu tiada siapa pun di negara ini pernah mendengar mengenainya begitu hangat diperkatakan sehingga menjadi tajuk utama akhbar utama tempatan.
Kenapa perkahwinan itu menjadi tumpuan? Jawapannya begitu mudah kerana apa saja yang boleh memudahkan perkahwinan bagi lelaki dianggap kelebihan berbanding poligami yang memerlukan pelbagai syarat termasuk persetujuan isteri.
Di sana-sini orang ramai memperkatakan mengenainya. Tokoh politik, tokoh agama dan tidak kurang juga lelaki biasa yang mungkin sedang memasang angan-angan untuk berkahwin lagi, tertarik untuk membicarakan mengenai perkahwinan misyar.
Kebanyakannya menyokong supaya Malaysia membenarkan pernikahan jenis itu diamalkan, tetapi tiada yang cuba mendapatkan pandangan wanita mengenai isu berkenaan memandangkan alasan bagi memperkenalkan perkahwinan misyar kononnya untuk membantu wanita berharta atau wanita bujang yang sudah lanjut usia untuk menikmati alam perkahwinan.
Tinjauan rambang Berita Harian mendapati kebanyakan wanita yang ditemui tidak bersetuju dengan perkahwinan misyar kerana menganggap amalan perkahwinan itu memberi kelebihan kepada lelaki tetapi pada masa sama tidak melindungi hak wanita apabila berkahwin kelak.
Shahada Mat Nawi berkata, perkahwinan misyar bakal menimbulkan implikasi yang lebih besar kepada institusi kekeluargaan di negara ini termasuk kemungkinan memberi peluang kepada lelaki berkahwin dan bercerai sesuka hati tanpa memikirkan masa depan isteri atau bekas isterinya..
"Saya tidak bersetuju perkahwinan misyar ini dilaksanakan di negara ini. Kita orang perempuan tidak boleh dibuat sesuka hati. Perbuatan seperti itu menganiaya kaum wanita dan memudahkan lelaki mengambil kesempatan untuk berkahwin lebih banyak," katanya.
Pandangan jururawat berusia 20 tahun itu turut dipersetujui Mardiana Rajab. Wanita berusia 25 tahun itu
berpendapat sekiranya perkahwinan misyar dilaksanakan di negara ini, kemungkinan berlaku peningkatan perceraian memandangkan suami berhak menceraikan isteri tanpa pengetahuan isteri berkenaan.
"Tak setuju perkahwinan ini dilaksanakan di Malaysia kerana memberi kesan yang lebih besar. Misalnya berlakunya peningkatan dari segi perceraian. Perkahwinan ini memudahkan si suami untuk menceraikan isterinya pada bila-bila masa saja kerana si suami memegang hak tersebut. Institusi kekeluargaan juga akan menjadi longgar," katanya.
Lihat saja apa yang berlaku kepada warga emas dari Pasir Puteh, Kelantan yang mendakwa penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza sebagai anaknya. Cara hidup beliau yang gemar berkahwin dan bercerai sehingga khabarnya pernah berkahwin 22 kali menyebabkan beliau sendiri tidak tahu di mana dan apa yang berlaku kepada anaknya daripada bekas isteri terdahulu.
Inilah antara kesan yang bakal berlaku sekiranya perkahwinan misyar dibudayakan di negara ini. Cukup menakutkan, lebih-lebih lagi sekiranya anak berkenaan diserahkan kepada keluarga angkat dan mungkin bertemu jodoh dengan muhrim sendiri.
Apa yang menarik, berdasarkan tinjauan yang dilakukan mendapati kebanyakan lelaki yang ditemui jelas mengenai perkahwinan misyar, tetapi wanita pula ada yang tidak pernah mendengar mengenai perkahwinan itu meskipun boleh dikatakan setiap hari sejak kebelakangan ini akhbar memperkatakan mengenai isu berkenaan.
Malah, ada lelaki yang ditemui menyokong sekiranya Malaysia membenarkan perkahwinan misyar diamalkan. Tetapi, ironinya apabila ditanya pandangan mereka sekiranya saudara perempuan termasuk adik atau kakak berkahwin misyar, ramai yang tidak bersetuju kerana tidak mahu saudara sendiri dianiaya.
Dari satu sudut, perkahwinan misyar secara tidak langsung memberi peluang kepada lelaki untuk lari daripada tanggungjawab sebagai pemimpin rumah tangga kepada isteri dan anaknya. Siapa yang bakal membimbing anaknya nanti jika sudah ditinggalkan oleh suami, dan siapa pula yang akan menyara isteri dan anaknya sesudah ditinggalkan terutama kepada wanita yang tidak mempunyai pekerjaan.
Semua persoalan ini perlu diambil kira untuk mengelakkan timbulnya masalah besar kemudian nanti. Mungkin akan bertambah masalah kemiskinan dan keciciran pelajaran dikalangan kanak-kanak di negara ini.
Golongan agama yang ada di negara ini turut menolak perkahwinan itu. Mereka menganggap perkahwinan itu memberi keuntungan kepada pihak lelaki untuk memuaskan nafsu seksnya dengan seramai mungkin wanita yang bersetuju untuk berkahwin dengannya.
Hakikatnya, tiada siapa yang mengatakan perkahwinan misyar itu tidak sah memandangkan wanita sendiri reda untuk berkahwin dengan suami tidak perlu membayar nafkah zahir. Tetapi, perlu diingat apabila cinta menguasai hati, akal tidak mampu berfikir lagi.
Ketika bercinta semuanya reda, tetapi apabila habis madu sepah dibuang mula timbul pelbagai masalah pada kemudian hari. Adakah ini yang masyarakat inginkan apabila ramai kanak-kanak tidak mengenai bapa sendiri gara-gara si ibu terlalu mengikut kata hati untuk merelakan diri dinikahi menggunakan kaedah perkahwinan misyar? Fikirkanlah.
FAKTA:
Sejarah perkahwinan misyar:
Sokong perkahwinan misyar diamalkan:
Tidak sokong perkahwinan misyar diamalkan:
No comments:
Post a Comment