Perspektif IKIM: Perintah hakim rasuah tak wajib diikuti
Oleh Mat Saad Abdul Rahman -BH 13/6/2006
Pemerintah perlu memecat individu kehilangan sifat adil, jejas syarat pelantikan
INSTITUSI kehakiman perlu dipelihara kerana ia adalah badan yang
bertanggungjawab dalam menegakkan keadilan di dalam sesebuah
masyarakat dan negara.
Institusi ini tidak harus dicemari dengan pelbagai gejala buruk
seperti rasuah dan tidak harus ada campur tangan daripada mana-mana
pihak dalam urusannya. Ia adalah badan yang semestinya bebas daripada
sebarang gangguan dalam apa juga keputusan yang diambil.
Hakim, sebagai penggeraknya, hendaklah daripada mereka yang terpilih
dan tunduk kepada adab yang diterima pakai di dalam bidang ini (rujuk
maksud ayat 135, surah al-Nisa' dan ayat 152, surah al-An`am).
Dalam Islam, institusi kehakiman hanya dianggotai oleh mereka yang
benar-benar layak bukan saja dari segi ilmu, malah ketinggian akhlak,
peribadi dan kemampuan diri.
Syarat utama dalam pemilihan seseorang hakim, antaranya:
# Bersifat adil, berilmu serta kefahaman yang mendalam (supaya dengan
itu keputusan yang dibuat akan membawa manfaat, bukannya membawa
kepada kemelut dan kezaliman).
# Mampu melaksanakan tugasnya dengan sempurna (boleh melihat,
mendengar, bertutur, sempurna akal dan baligh).
# Bersifat amanah, jujur, berupaya menegakkan keadilan tanpa gentar dan curang.
# Bersifat sabar, tegas, bersopan dan bertimbang rasa (al-Nawawi,
11:92,94-97, Jurnal al-Ahkam, Jld 5:54,61).
Seseorang yang tidak berkelayakan untuk menjadi hakim dilarang sama
sekali menerima pelantikannya (jika ditawarkan), di samping dia
dilarang memohonnya. Malah, pelantikannya ke jawatan itu dihukum tidak
sah (al-Nawawi, 11:92,123).
Pelantikan seseorang hakim adalah menjadi tanggungjawab pemerintah –
mencari dan mengenal pasti siapa antara rakyatnya yang layak untuk
ditugaskan sebagai hakim.
Pelantikan seseorang yang tidak berwibawa dan tidak sempurna syarat
kelayakannya sebagai hakim menyebabkan pelantikan itu sendiri tidak
sah dan terbatal. Hinggakan dalam pelantikan seorang yang layak,
tetapi dengan kehadiran calon lain yang lebih utama, maka pelantikan
itu dikira tidak sah.
Seorang ilmuwan yang berkelayakan menjadi hakim wajib memperkenalkan
dirinya kepada pemerintah jika tiada calon lain yang berkelayakan.
Apabila dilantik, dia tidak harus menolak atas apa juga alasan
sekalipun (al-Nawawi, 11:92-93).
Jika hakim yang sedang bertugas itu zalim atau jahil, maka digalakkan
bagi calon yang berkelayakan memohon jawatan itu kerana kewujudan
hakim itu dianggap sebagai tiada (al-Nawawi, 11:93).
Seorang hakim adalah terikat dengan beberapa peraturan di luar
mahkamah ketika bertugas. Antaranya:
# Tidak digalakkan menceburkan diri di dalam perniagaan dan apa sahaja
urusan muamalat harta benda.
# Di larang menerima jemputan walimah daripada orang yang terbabit di
dalam kes yang diadilinya.
# Dilarang berusaha memenuhi keperluan dirinya yang boleh menimbulkan
tohmah terhadap dirinya.
# Dilarang menerima rasuah dan hadiah.
# Dikehendaki menaiki kenderaan khas ke mahkamah dan berpakaian khas.
Mengulas isu penerimaan rasuah di kalangan pengamal undang-undang yang
mencabar institusi kehakiman negara, semua ulama mengatakan bahawa
apabila seorang hakim menerima rasuah, maka apa saja keputusan
perbicaraannya tidak harus dilaksanakan.
Justeru, pemerintah wajib memecatnya pada saat itu juga kerana dia
sudah kehilangan sifat adil (malah bertukar menjadi seorang fasik
akibat perbuatannya itu) yang menjejaskan syarat utama dalam
pelantikannya sebagai hakim.
Begitu juga dengan hadiah, dia juga dilarang menerimanya sekalipun ada
hubungan kekeluargaan di antaranya dengan pemberi hadiah berkenaan.
Dengan penerimaan itu boleh menyebabkan dirinya ditohmah (diragui
kejujurannya dalam melaksanakan tanggungjawab) atau dia sendiri akan
bersimpati kepada pemberinya apabila membicarakan kesnya.
Keadaan ini akan memusnahkan hak pendakwa serta menjejaskan keadilan
yang menjadi tanggungjawabnya (al-Nawawi, 11:142-143; Dr. Wahbah
al-Zuhaili, 6:501).
Justeru, pihak berkuasa perlu peka dan mengambil tindakan segera
terhadap setiap individu yang ada kaitan mereka dengan penguatkuasaan
undang-undang, khususnya hakim, yang abai terhadap tanggungjawab
masing-masing akibat penerimaan rasuah, hadiah, salah laku dan
sebagainya.
Renunglah peringatan Allah di dalam surah al-Nisa', ayat 58 yang
mewajibkan seseorang hakim itu dilantik daripada kalangan yang ahli
(memilik kelayakan) dan apabila dia menghukum maka hendaklah dia
menghukum dengan adil. Allah sentiasa mendengar lagi melihat
(memantau) apa yang dilakukannnya.
INTI PATI
# Institusi kehakiman perlu dipelihara demi menegakkan keadilan di
dalam sesebuah masyarakat dan negara.
# Dalam Islam, institusi kehakiman hanya layak diduduki oleh ahli yang
berilmu akhlak dan peribadi yang tinggi serta kemampuan diri
# Seseorang yang tidak berkelayakan dilarang menerima pelantikan dan
memohon sebagai hakim
# Ulama sepakat apabila seorang hakim menerima rasuah, maka keputusan
perbicaraannya tidak harus dilaksanakan dan pemerintah wajib
memecatnya.
# Penulis ialah Felo Kanan Pusat Syariah, Undang-undang & Sains
Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia.
No comments:
Post a Comment