Pages

Ads 468x60px

Monday, June 26, 2006

Taklik Tambahan Dapat Bela Nasib Isteri


SELAIN mewajibkan bakal pengantin lelaki Islam mengambil insuran sebelum berkahwin, perjanjian pra perkahwinan yang sering diamalkan kebanyakan selebriti Barat juga dilihat sebagai satu cara melindungi kepentingan kedua-dua belah pihak jika berlaku perceraian.


Perjanjian pra perkahwinan yang boleh dianggap sebagai 'taklik tambahan' mengikut perkahwinan Islam dianggap sesetengah pihak dapat membantu membela nasib wanita dalam perkahwinan.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Mohd Naim Mokhtar, berkata tiada peruntukan khusus mengenai taklik tambahan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam selain taklik yang dikanunkan melainkan ada cadangan untuk meminda undang-undang bagi membolehkan penambahan dalam taklik sedia ada.

"Seksyen 2 dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam mendefinisikan taklik sebagai perjanjian dibuat selepas perkahwinan berdasarkan taklik yang sudah dikanunkan iaitu tiga perkara (sila rujuk fakta). Selain daripada tiga perkara itu tiada penambahan boleh dilakukan dan undang-undang syariah tidak mengiktiraf perjanjian pra perkahwinan ini sebagaimana undang-undang sivil.

"Tetapi tidak bermakna apa yang dipersetujui kedua-dua belah pihak dalam perjanjian pra perkahwinan itu tidak sah. Walaupun tidak dikanunkan, jika berlaku perlanggaran sebagaimana yang sudah ditulis dalam perjanjian itu perceraian tetap sah, tetapi tidak jatuh di bawah seksyen 50 (cerai taklik) sebaliknya jatuh sebagai perceraian umum, di luar atau tanpa kebenaran mahkamah (seksyen 55A)," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Berdasarkan pengalamannya sebagai hakim syariah, Mohd Naim berkata, beliau tidak pernah menemui kes membabitkan taklik tambahan tetapi mengakui pernah mendengar mengenainya.

Berbeza dengan taklik yang dikanunkan, taklik tambahan pada dasarnya adalah perjanjian yang dilakukan sebelum perkahwinan sama seperti perjanjian pra perkahwinan tetapi perlu dipersetujui kedua belah pihak pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan itu.

Dalam hubungan ini, Mohd Naim berkata, jika pasangan itu bersetuju dengan taklik tambahan itu, pengantin lelaki perlu melafazkan perkara yang dipersetujui dalam perjanjian itu sejurus akad nikah dilaksanakan.

"Lazimnya, selepas akad nikah pengantin lelaki akan melafazkan taklik yang dikanunkan sebagai perjanjiannya kepada isteri. Tetapi, jika ada persetujuan antara pasangan itu mengenai perjanjian pra perkahwinan atau taklik tambahan itu, suami perlu melafazkan apa yang dijanjikan itu selepas akad, sama seperti taklik yang dikanunkan.

"Tetapi, saya berpendapat jika ini dilakukan perjanjian pra perkahwinan itu sudah hilang nilainya kerana adanya perkataan pra yang bermaksud 'sebelum'. Apabila dilafazkan selepas akad nikah, maka taklik tambahan itu boleh diumpamakan seperti jika suami mengatakan 'jika keluar dari rumah ini, maka jatuh talak satu' yang membolehkan berlaku perceraian jika isteri melanggar kata-kata tadi," katanya.

FAKTA: Taklik yang dikanunkan


  • Suami berjanji tidak akan meninggalkan isteri selama tiga atau empat bulan (bergantung kepada negeri) berturut-turut.
  • Suami berjanji tidak akan gagal untuk memberi nafkah kepada isteri melebihi tiga atau empat bulan (bergantung kepada negeri) berturut-turut.
  • Suami berjanji tidak akan melakukan kemudaratan kepada tubuh badan isteri.
  • No comments:

     

    Sample text

    Sample Text

    Sample Text