Kes liwat Sukma Darmawan diperintah dibicara semula
Oleh KAMARIAH AHMAD-UM 15/6/2006
|
|
PUTRAJAYA 14 Jun - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan supaya dibicarakan semula kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang mengaku salah atas tuduhan membenarkan dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Sehubungan itu, pihak pendakwa diarah menyediakan kertas pertuduhan untuk sebutan bagi menetapkan tarikh perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi esok.
Sementara menunggu perbicaraan, Sukma dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Keputusan dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Gopal Sri Ram bersama Hakim Datuk Hashim Yusoff dan Hakim James Foong Cheng Yuen ketika membenarkan rayuan Sukma.
Dalam memutuskan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap Sukma, Hakim Sri Ram berpendapat bahawa ia suatu kes luar biasa yang dibicara secara tidak adil dan melanggar peruntukan undang-undang.
Sukma diwakili peguam Gobind Singh Deo merayu kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan semakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan bagi melanjutkan masa untuk memfailkan rayuannya serta memohon mendapatkan perintah mengetepikan sabitan.
Dia menamakan pendakwa raya sebagai responden yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Huda Noraini Mohd. Noor.
Ketika berhujah membantah rayuan itu, Nurul Huda bersetuju dengan pandangan Hakim Sri Ram bahawa pengakuan yang dibuat oleh Sukma didakwa sebagai sesuatu yang sungguh mencurigakan dan dibuat tanpa kerelaannya.
Namun kata Nurul Huda: ''Kita harus membezakan bagaimana pengakuan itu dibuat. Dia (Sukma) mengubah fikiran kemudian. Apa yang berlaku di Mahkamah Sesyen telah pun diputuskan sama ada pengakuan secara suka rela atau sebaliknya."
Sukma, 45, mengaku salah atas dakwaan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika disabitkan kesalahan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada bulan April 1998, sebelah malam di Kediaman Rasmi, Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) di No. 47, Jalan Damansara di sini.
Sukma, ahli perniagaan dan adik angkat Anwar, berasal dari Indonesia. Dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan tersebut pada 19 September, 1998.
Selepas dia mengaku salah dan mengakui fakta kes, Hakim Mahkamah Sesyen pada masa itu, Hasnah Datuk Mohd. Hashim menjatuhkan hukuman penjara enam bulan berkuat kuasa pada tarikh dia tahan, 6 September 1998.
Ekoran itu, Sukma yang tidak berpuas hati dengan sabitan memfailkan rayuan pada 29 September 1998.
Gobind berhujah menyatakan Sukma telah disabitkan kesalahan selepas mengakui fakta kes yang tidak benar atau meragukan dan ini membawa kesimpulan bahawa ia menyimpang daripada kebiasaan malah tidak baik dalam undang-undang.
Peguam bela itu berkata, Mahkamah Rayuan harus campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan sabitan dan membuat perintah dibicarakan semula.
No comments:
Post a Comment