Pages

Ads 468x60px

Friday, January 22, 2010

Mahkamah Persekutuan sekat pemindahan tanah secara penipuan

PUTRAJAYA 21 Jan. - Kepentingan pemilik asal tanah kini terjamin berikutan keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan hari ini yang menyekat aktiviti pemindahan hak milik tanah melalui penipuan dan pemalsuan dokumen daripada berleluasa.

Keputusan yang menjadi nas undang-undang itu turut memberi kesan bahawa hak milik pembeli tanah kini boleh disangkal jika terbukti wujud unsur-unsur penipuan dalam urusan pemindahan kepada pihak lain meskipun harta itu dibeli atas niat baik.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi memutuskan demikian sebulat suara ketika membenarkan dengan kos rayuan kes pajakan tanah melibatkan ahli perniagaan, Tan Ying Hong selaku perayu dan tiga responden.



Keputusan hari ini menyimpang daripada satu lagi penghakiman kontroversi Mahkamah Persekutuan sembilan tahun lalu melibatkan Adorna Properties Sdn. Bhd. melawan Boonsom Boonyanit @ Sun Yok Eng.

Hakim Zaki dalam penghakiman bertulisnya menyatakan, beliau bertanggungjawab menjelaskan semula undang-undang tersebut kerana kesilapan yang dilakukan dalam kes Adorna Properties sangat ketara.

''Umum mengetahui terdapat pihak-pihak yang tidak berperikemanusiaan mengambil kesempatan terhadap kesilapan penghakiman itu dengan memindahkan hak milik tanah secara penipuan,'' ujarnya.

Sehubungan itu, Hakim Zaki berharap Pejabat Tanah dan Galian akan lebih berwaspada apabila mendaftarkan proses pemindahan hak milik tanah.

Turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin serta Datuk James Foong Cheng Yuen.

Pada 27 Ogos 2001, panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara (ketika itu) Tun Eusoff Chin memutuskan Adorna Properties berhak memperoleh hak milik tanah di Tanjung Bunga, Pulau Pinang bernilai RM12 juta walaupun berlaku penipuan kerana ia dibeli atas niat baik (bona fide).

Penghakiman itu turut memutuskan pembeli tanah merupakan pemilik yang sah asalkan ia dibeli atas niat baik walaupun berlaku penipuan dan pemalsuan dokumen dalam urusan pemindahannya.

Ia disifatkan salah di sisi undang-undang oleh para peguam dan golongan akademik selain dikritik hebat kerana ia membuka ruang kepada tanah dipindah milik sewenang-wenangnya melalui penipuan.

Kes itu dikemukakan oleh seorang ahli perniagaan warga Thailand, Kobchai Sosothikul setelah tidak berpuas hati dengan pembelian tanah ibunya itu oleh Adorna Properties.

Sementara itu, Hakim Arifin dalam penghakiman bertulisnya berpendapat, Mahkamah Persekutuan terdahulu tersilap mentafsir Seksyen 340(1), (2) dan (3) Kanun Tanah Negara sehingga membuat keputusan yang salah dalam kes Adorna Properties.

Beliau berpendapat, panel terdahulu tersilap ketika memutuskan pembeli tanah berdaftar layak memperoleh hak milik mutlak serta merta walaupun wujud penipuan dalam dokumen pemindahan tanah.

Dalam rayuan hari ini pula, pihak responden terdiri daripada Tan Sian San, Cini Timber Industries Sdn. Bhd. dan United Malayan Banking Corporation Berhad (UMBC).

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_04.htm

2 comments:

Myda said...

saya kurang faham mengenai adorna properties?

cubaan je said...

Adorna Properties dalam artikel ini adalah nama Syarikat Hartanah yang membeli harta tersebut.

 

Sample text

Sample Text

Sample Text