Pages

Ads 468x60px

Wednesday, June 21, 2006

Kes Moorthy: Peguam diarah hujah bidang kuasa mahkamah

Kes Moorthy: Peguam diarah hujah bidang kuasa mahkamah

UM-21/6/2006

PUTRAJAYA 20 Jun – Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan pihak peguam yang terlibat dalam rayuan oleh balu pendaki Everest, Sarjan M. Moorthy atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah, menyediakan hujah bertulis menyentuh isu sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin yang mengetuai sidang bersama Hakim Datuk Denis Ong Jiew Fook dan Hakim Datuk Abdul Aziz Mohamad membuat perintah itu ketika kes rayuan tersebut didengar hari ini.

Beliau berkata, seandainya mereka (panel hakim) memutuskan Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumpur, mempunyai bidang kuasa maka kes tersebut akan dihantar semula ke mahkamah berkenaan untuk mendengar merit saman pemula itu.

Pada 24 Januari lalu, S. Kaliammal, 31, memfailkan memorandum rayuan di Mahkamah Rayuan di sini untuk mencabar dan mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Md. Raus Sharif.

Hakim itu menolak saman pemula Kaliammal dalam usaha mendapatkan deklarasi bahawa suaminya bukan beragama Islam dan menuntut agar Allahyarham Mohamad dikebumikan menurut adat istiadat agama Hindu.

Beliau (Hakim Md. Raus) pada 28 Disember 2005, dalam penghakimannya berpendapat, memandangkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Mohamad seorang Islam maka Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak ataupun membatalkan apatah lagi tidak menghiraukan sama sekali perintah yang dibuat pada 22 Disember 2005.

Menurut Hakim Md. Raus, ia adalah selari dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan sebarang perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa yang diberikan di bawah undang-undang bertulis.

Sungguhpun begitu, barisan enam peguam Kaliammal (perayu) yang hadir diketuai oleh M. Manoharan dan S. Sivanesan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Allahyarham memang penganut agama Hindu.

Manoharan menambah, ketika perbicaraan, Mahkamah Tinggi Sivil tidak memutuskan merit kes tersebut iaitu sama ada Mohamad seorang Islam ataupun sebaliknya.

Kaliammal dalam rayuannya menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Kerajaan Malaysia masing-masing selaku responden pertama hingga ketiga.

MAIWP diwakili peguam Sulaiman Abdullah, Sahinuddin Sharif, Fakhrul Azman Abu Hassan dan Zainul Rejal Abu Bakar.

Sementara responden kedua dan ketiga diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Naser Disa.

Turut hadir di mahkamah hari ini ialah peguam Edmund Bon, wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Datuk Muhammad Burok mewakili Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), sementara Majlis Peguam Malaysia diwakili oleh Haris Mohamed Ibrahim.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun akan mendengar hujahan bertulis pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pada 22 Disember 2005, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan pihak yang menjaga jenazah Mohamad supaya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan segera mengikut agama Islam dan hukum syarak.


No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text