UM-13/6/2006
IPOH 12 Jun - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata,
bibit-bibit fahaman pluralisme iaitu melihat semua agama adalah sama
kini mula menular di kalangan golongan terpelajar di negara ini.
Menurutnya, fahaman itu ada kaitannya dengan fahaman liberalisme yang
memberi kebebasan tanpa sekatan kepada individu dalam ekonomi,
politik, perundangan dan sosial.
Beliau bimbang sekiranya perkara itu tidak diberi perhatian
sewajarnya, ia akan membarah dan merosakkan hidup umat Islam.
''Masyarakat dari segenap peringkat, daripada penggubal dasar sehingga
rakyat jelata perlu faham dan mengetahui bahawa gagasan Islam liberal
dan pluralisme ini sebenarnya sangat asing daripada kesejatian ajaran
Islam itu sendiri," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis
Muzakarah Ulama 2006 di Dewan Bankuet, Bangunan Darul Rizwan di sini
hari ini.
Muzakarah yang diadakan sempena ulang tahun keputeraan Sultan Perak,
Sultan Azlan Shah yang ke-78 dirasmikan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr.
Nazrin Shah.
Harussani berkata, isu poligami, ketentuan sistem faraid, gagasan agar
al-Quran dinilai dan diolah semula, penubuhan Suruhanjaya Antara Agama
serta tuntutannya dan desakan menggugurkan Artikel 121 (1A)
Perlembagaan Persekutuan merupakan antara isu yang boleh dikaitkan
dengan kedua-dua fahaman itu.
Menurutnya, dua tokoh yang amat berpengalaman menghadapi isu kedua-dua
fahaman itu mengakui apa yang berlaku hari ini di Malaysia merupakan
fenomena yang telah berlaku di Indonesia 30 tahun dahulu.
''Jika ia tidak dikekang nescaya akan merebak dan sukar dikawal lagi.
Terjahan serangan pemikiran ini mesti dihadapi dengan berani,
berhikmah dan penuh strategi," katanya.
Para peserta muzakarah yang dijemput terdiri daripada para penggubal
dasar dari Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Perak, mufti
seluruh Malaysia, pegawai agama dari Jabatan Agama Islam seluruh
negara, ahli Majlis Agama seluruh Malaysia, ahli akademik dan badan
bukan kerajaan (NGO).
No comments:
Post a Comment