Pages

Ads 468x60px

Wednesday, April 12, 2006

Dakwa pasangan berkelakuan tidak senonoh

UM-12/4/2006

PENDAPAT

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan memutuskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh mendakwa dua pelajar sebuah universiti berkelakuan tidak sopan di taman awam adalah satu keputusan yang amat tepat. Ketika berhujah, salah seorang peguam bela berkata, perbuatan bercium dan berpeluk di taman awam merupakan luahan cinta dan perlu digalakkan. Ia satu bentuk kebebasan hidup yang tidak boleh disekat. Namun begitu kebebasan hidup di dunia tidak sama antara cara hidup orang Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.

Keputusan mahkamah tersebut memberi makna yang luas kepada rakyat negara ini tentang peringatan bahawa kita tidak boleh berkelakuan tidak senonoh di depan orang awam. Kita tidak boleh bebas sesuka hati untuk bercium dan berpeluk di sana sini kononnya berpegang pada prinsip kebebasan.

Dalam erti kata lain, tidak perlu bermadu asmara berlebih-lebihan di depan orang ramai walaupun ingin memberitahu bahawa mereka sedang hangat bercinta.

Kita tidak boleh membenarkan kebebasan tanpa had dibiarkan berleluasa di negara ini. Masyarakat kita sering disajikan dengan masalah keruntuhan moral di kalangan rakyat.

Semakin ramai pasangan berani melakukan aksi yang terlampau malah menjijikkan di hadapan orang ramai. Mereka sudah berani bercumbu di taman-taman, di dalam kenderaan awam, pawagam malah di mana-mana sahaja asalkan mereka dapat melepaskan segala kerinduan dan nafsu.

Masyarakat Timur merupakan sebuah komuniti yang kaya dengan sopan santun dan pemalu. Muda-mudi kini semakin bebas bergaul dengan sesuka hati tanpa mengira segala nasihat daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa.

Ketika kerajaan sibuk melaungkan Belia Sihat dan sebagainya, masih banyak pihak cuba menghancurkannya dengan mengadakan pelbagai pesta di pusat-pusat hiburan yang berunsurkan pergaulan bebas.

Kesopanan dan kesusilaan yang menjadi Rukun Negara langsung dilupakan oleh kebanyakan rakyat. Kita tidak harus terkejut pada suatu hari nanti jika remaja semakin hebat mengamalkan prinsip kebebasan. Tanda-tanda kehebatan remaja kita boleh dilihat di mana-mana sahaja termasuk di kawasan pedalaman. Seks bebas sudah semakin berleluasa di mana-mana sahaja.

Terlanjur

Jika hendak bercerita tentang kisah gadis terlanjur di Malaysia ia seperti pasar lambak. Banyak sangat cerita yang kita dengar dan kisah tersebut mudah dibaca di dalam majalah-majalah, akhbar tabloid dan di laman Internet.

Rakyat boleh dikatakan semakin prihatin tentang seks. Buktinya jenama pelbagai produk tongkat ali membanjiri pasaran, pelbagai jenis minyak dihasilkan bagi merangsang tenaga batin, peningkatan khidmat tukang urut tradisional, peningkatan permintaan majalah berunsurkan seks, VCD lucah dan laman web lucah.

Rakyat kita semakin berani dengan seks tanpa rasa segan silu. Walaupun penguat kuasa melancarkan pelbagai operasi, masalah ini akan tumbuh kembali. Kita sudah pening memikirkan segala masalah sosial ini yang sentiasa sensasi dan penuh dengan seribu satu cerita.

Dalam dunia globalisasi ini, ia datang dengan membawa pelbagai pengaruh. Cuma yang masih kuat berpegang kepada agama akan terus kuat dan mampu menahan segala godaan. Yang lemah akan terus terkulai layu kerana dibuai nafsu.

Semoga ketegasan keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberikan peringatan kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai. Ini bumi Malaysia bukannya negara Barat. Kita tidak sama walaupun mengamalkan demokrasi.

- EZARUDDIN ABD. RAHMAN,

Bandar Bukit Jalil,

Kuala Lumpur.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text