Bersama ini dikirimkan bahan tazkirah sebagai santapan rohani agar ia menjadi iktibar dan peringatan kepada kita.
1. Menjaga kebersihan secara menyeluruh dengan cara mandi dan menyucikan diri.
2. Memotong kuku tangan dan kaki sekali setiap minggu. Janganlah
memanjangkannya walaupun sebahagian darinya kerana dikuatiri tersimpan
najis dan perbuatan demikian menyerupai haiwan yang buruk.
3. Memotong rambut setiap kali ia panjang, menjaga kebersihannya dan
menyisirnya selalu, yakni jangan pula sampai berlebih-lebihan (tidak
membiarkannya dan tidak pula menunpukan perhatian kepadanya)
4. Mengutamakan bahagian kanan, yakni mendahulukan kanan dalam semua
perkara yang mulia, seperti ketika mandi, berwuduk, menghormat,
berjabat tangan. memakai pakaian atau kasut, memotong kuku, mengambil
dan menerima pemberian, makan dan minum. Mengutamakan bahagian kiri
yakni perkara yang tidak mulia, seperti membuang ingus, meludah,
menanggalkan pakaian dan kasut beristinjak, dan menyentuh aurat.
Daripada Aisyah katanya, Rasulullah s.a.w menggunakan tangan kanan
untuk bersuci dan makan, sedangkan tangan kiri untuk bersuci dan yang
kotor-kotor.
5. Jangan menghadap kiblat ketika meludah, membuang ingus dan kahak,
tapi hendaklah ke arah kiri dan pada saputangan yang khusus supaya
tidak mengganggu orang lain.
6. Mengalihkan wajah ketika bersin dari muka manusia, dan dari makanan
dan minuman agar percikan ingus tidak mengenai orang lain, dan
meletakkan saputangan atau tangan ke mulut, memperlahankan suaranya
sedapat mungkin. Daripada Abi Hurairah katanya, Apabila Rasulullah
s.a.w bersin, beliau meletakkan tangannya di mulutnya dan dengannya
suaranya menjadi tidak kuat
7. Memuji Allah sesudah bersin.
8. Orang yang bersin dan memuji Allah hendaklah dijawab dengan
(yarhamukallah) dan orang yang bersin pula menjawabnya dengan doa yang
berikut (yahdikumullahu wa yushlihu balakum)
9. Meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan
yang tidak layak ketika mulut terbuka, juga untuk menghalang sesuatu
masuk ke dalam mulut. Juga disuruh mengurangkan suaranya, dan jika
dapat, jangan sampai mengeluarkan suara. Selepas menguap hendaklah
beristighfar kepada Allah kerana menguap adalah bukti kemalasan. Oleh
itu Allah tidak menyukainya dan menyatakan bahawa ia disebabkan
syaitan.
Dari Abu Hurairah bahawa nabi bersabda, "Sesungguhnya Allah suka akan
bersin dan benci akan menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan
memuji Allah hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan
''Yarhamukallah'' .Adapun menguap adalah dari syaitan, jadi jika salah
seorang dari kamu menguap maka hendaklah ia mengembalikannya sedapat
mungkin kerana apabila kamu menguap, syaitan ketawa melihatnya."
10. Berusaha tidak bersendawa, menghindari makanan yang menyebabkan
sendawa atau makanan yang membanyakkannya. Dan jika tidak dapat
dihindari, bersendawalah dengan suara yang ringan, kemudian bacalah
istighfar sesudah sendawa. Daripada Abu Juhaifah katanya,"Aku memakan
kepingan roti dan daging kemudian aku mendatangi nabi lalu aku
sendawa. Beliau bersabda, pendekkan sendawamu kerana sesungguhnya
orang yang paling lapar pada Hari
kiamat kelak ialah orang yang paling kenyang di dunia."
11. Mengingat Allah dan bersyukur kepadaNya ketika berkaca (melihat
wajah di cermin) kemudian berdoa dengan doa yang warid dari nabi :
''Segala puji bagi Allah, sebagaimana engkau elokkan kejadian aku maka
elokkanlah akhlakku."
12. Menggunakan telefon bila perlu sahaja, bukan untuk bermain-main,
bergurau atau untuk mengejutkan orang lain, dan bertelefonlah pada
waktu-waktu yang sesuai, awali percakapan dengan salam, mengenalkan
diri, kemudian menyebut maksud.
13. Membiasakan diri dengan amal yang salih, seperti beribadah,
bersedekah, sembahyang unat, menghampirkan diri kepada Allah, berzikir
dan membaca Al-Quran. Jangan meninggalkan demikian kerana malas,
enggan atau kesibukan dunia. Daripada Aisyah katanya, amalan yang
disukai Rasulullah ialah amalan yang terus menerus dilakukan
seseorang.
14. Meninggalkan berlebihan dalam segala suatu, tidak melakukan suatu
yang tidak berguna, selalu memperbaiki diri dan berusaha
memperbaikinya. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda
''Sebahagian tanda kebagusan Islam seseorang adalah meninggalkan
sesuatu yang tidak dimaksudnya.
15. Memberi nasihat kepada orang yang mengenali kebaikan, yakni dengan
nasihat yang baik bagi orang itu samaada pada agamanya atau dunianya.
16. Menerima nasihat orang lain, mahu mengakui kebenaran dan kembali
semula kepadanya, juga mengakui kesalahan diri sendiri jika memang
benar sudah salah, dan jangan berterusan padanya, kerana kebenaran itu
ialah barang orang mukmin yang hilang, yang terus dicarinya dan akan
berterima kasih kepada orang yang menyerahkannya kepadanya serta
memuji setiap orang yang sudi memberi nasihat.
17. Membiasakan hidup sederhana, mensyukuri yang sedikit, dan
meninggalkan hidup bermewah-mewah dan bersenang-senang di dunia kerana
sifat itu menjauhkan diri dari takbur dan ujub serta selamat dari
sifat sombong, memuji-muji diri dan angkuh. Dari Aisyah katanya,"Tikar
Rasulullah s.a.w diperbuat dari kulit yang disamak setelah dipenuhi
dengan sabut."
18. Ikhlas kerana Allah dalam semua pekerjaan, menjadikan matlamat
utama dari kehidupan sebagai syiar orang mukmin yang diletakkannya di
hadapan dan terus menerus mengulang-ulang sebutan ''Oh Tuhanku,
Engkaulah tujuanku, dan Redamulah yang ku cari''.
Sekian, wassallam.
________________________________
Di petik dari e-mail bahantarbiah.
Web Utama www.bahantarbiyah.sodeeq.com
Web Log www.bahantarbiyah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment