KUALA LUMPUR 4 April - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang sepatutnya didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ditangguhkan selepas hakim tidak berpuas hati dengan pertuduhan-pertuduhan tersebut.
Hakim Akhtar Tahir mempersoalkan pertuduhan-pertuduhan itu kerana ia tidak menyatakan butiran mengenai aktiviti haram yang dikatakan telah dilakukan oleh tertuduh, Datuk V. Alexander a/l Chako Varghese, 45.
Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun berkata bahawa aktiviti haram itu tidak perlu dinyatakan dalam pertuduhan kerana ia akan dibuktikan melalui perbicaraan.
Menurut beliau, mengikut Seksyen 2 AMLA, pengubahan wang haram ditafsirkan sebagai melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.
``Pengubahan wang haram juga bererti memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa, melupuskan, menggunakan, mengalihkan dan atau membawa masuk aktiviti haram.
``Aktiviti haram pula bermaksud apa-apa yang berhubungan secara langsung atau tidak langsung dengan mana-mana kesalahan berat,'' kata Dzulkifli.
Menurut Dzulkifli lagi, kesalahan berat tersebut tidak semestinya satu sahaja kerana ia boleh jadi lebih daripada jumlah berkenaan.
Sungguhpun begitu, Akhtar menyatakan bahawa beliau ingin mengetahui apakah kesalahan berat yang didakwa dilakukan oleh tertuduh.
Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Alexander pula menyatakan bahawa pertuduhan tersebut adalah prejudis ke atas anak guamnya.
Oleh kerana masih tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diterima, Akhtar menetapkan 12 April ini untuk pembentangan hujah berhubung isu berkenaan.
Alexander yang ditangkap semalam sepatutnya didakwa hari ini atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM10 juta.
No comments:
Post a Comment